Wanita dapat layanan istimewa dalam penerbangan Vistara

vistarafmt-ohsem-inside-article1Keselamatan wanita sentiasa menjadi isu bagi negara-negara tertentu, India adalah salah satu daripadanya.

Mengambil kira perkara itu dalam strategi pemasarannya, sebuah syarikat penerbangan di India memilih untuk menawarkan khidmat pelanggan khas untuk pengguna wanitanya.

Penumpang wanita solo akan diiringi hingga ke pesawat dengan penuh adab dan tertib selain menawarkan mereka tempat duduk sama ada dekat tingkat atau lorong pejalan, tentu sekali bukan di kerusi tengah.

Syarikat penerbangan Vistara yang berpusat di New Delhi mula menawarkan khidmat itu sejak Mac lalu kepada kira-kira 75 hingga 100 wanita yang menggunakan perkhidmatan itu setiap hari.

Ia sekaligus menjadi syarikat penerbangan pertama menawarkan perkhidmatan sedemikian.

Ketua Strategi dan Pegawai Komersial Vistara, Sanjiv Kapoor berkata, syarikat penerbangan itu tampil dengan idea tersebut selepas menyedari kesukaran yang dihadapi wanita apabila terbang secara solo.

“Petugas kami membantu penumpang wanita dari aspek seperti menempah teksi lapangan terbang yang sah serta mengiringi jika ada permintaan,” kata Kapoor, petik laporan Bloomberg.

“Perkhidmatan ini, satu usaha yang ikhlas bagi memastikan keamanan pelanggan wanita kami,” tegasnya.

Menurut Persatuan Perniagaan Pelancongan Global, India dijangka menjadi negara perniagaan pelancongan ke-6 terbesar di dunia menjelang 2019.

Namun amaran iaitu negara itu tidak selamat kepada pelancong wanita menjejaskan reputasi tersebut, khususnya selepas kejadian pada 2012 apabila seorang pelajar perubatan diseksa dan diserang seksual di dalam sebuah bas awam di New Delhi.

Susulan itu, pelbagai negara termasuk Amerika, Australia dan United Kingdom memberi amaran supaya pelancong wanita membataskan lawatan ke negara itu.

Sebagai menjaga keamanan dan keistimewaan wanita ketika dalam pengangkutan awam, pelbagai langkah diambil kerajaan negara itu misalnya menyediakan koc wanita bagi semua tren dan bas khusus untuk penumpang wanita.

Bagaimanapun ia masih dilihat sebagai tidak cukup berkesan untuk jangka masa panjang, sekadar “pembetulan jangka pendek”.

Ini kerana perlakuan itu seolah mengukuhkan mesej bahawa wanita mesti diasing dan dijauhkan untuk melindungi maruah mereka.

Dalam pada itu Vistara terus berhasrat memperluaskan perkhidmatan istimewa mereka kepada wanita termasuk apabila penerbangan itu dikembangkan ke tahap antarabangsa.