Si cantik dari India, kapten Boeing 777 termuda dunia

divvya-1fmt-ohsem-inside-article1Gadis muda ini cantik, bijak dan kini dia cipta rekod dunianya yang tersendiri.

Anny Divya, warga India dari Andhra Pradesh menjadi wanita termuda di dunia bergelar kapten pesawat Boeing 777.

Dia menerima tanggungjawab tersebut pada usia 30 tahun tetapi perjalanannya bergelar kapten tidaklah semudah yang disangka.

Lahir dalam masyarakat konservatif, Divya akui dia bertuah kerana impiannya sejak kecil yang dianggap mustahil oleh masyarakat tempatan tetapi dijayakan dengan sokongan ibu bapanya.

“Saya beruntung kerana mereka memberi sokongan penuh walaupun ramai di luar sana memandang serong pilihan saya untuk belajar dalam bidang penerbangan. Kami hadapi pelbagai masalah khususnya dari segi kewangan memandangkan saya bukan dari keluarga berada,” katanya.

Ketika belajar di Kendriya Vidyalaya, kebanyakan rakan Divya hanya mahu menjadi jurutera dan doktor atas nasihat ibu bapa mereka, tetapi Divya tetap dengan pendiriannya.

Anny Divya.
Anny Divya.

“Sejak kecil, cita-cita saya menjadi juruterbang. Tetapi saya tidak tahu bagaimana untuk mencapainya,” katanya memetik The Independent.

Divya kemudian menyertai Akademi Indira Gandhi Rashtriya Uran, belajar dalam bidang penerbangan pada usia 17 tahun.

Dia terus berusaha dan menerima biasiswa sebelum mengakhiri latihan tersebut pada usia 19 tahun.

Kemudian, dia ditawarkan bekerja di Air India.

Setelah melalui beberapa tahap kenaikan dalam jabatan dan mengasah bakat dalam menerbangkan Boeing 737 di Sepanyol. Selepas itu, dia melalui sesi latihan di London dan akhirnya menerbangkan Boeing 777 .

Kini, dia bergelar wanita termuda mengemudi jet kembar terbesar di dunia, Boeing 777.

“Saya mendapat kesempatan untuk membawa Boeing 737, tetapi Boeing 777 adalah pesawat yang ingin saya kendalikan, jadi saya terpaksa menunggu lebih lama,” kata Divya.

Divya menerima kelayakan Sarjana Bidang Penerbangan semasa dia berkhidmat dengan Air India.

Kini Divya mengubah kehidupan keluarganya. Dia menjadi tulang belakang keluarganya, membiayai pembelajaran luar negara 2 adiknya selain membeli rumah untuk ibu bapanya.

Dia menjadi ikon kepada wanita India, mendorong mereka untuk berani menentukan impian dan berusaha demi untuknya.

“Semua wanita berhak mengejar cita-cita mereka, terutama pada waktu ini,” kata Divya.