Jimat RM12,000 setahun tapi kena tahan peluh

penunggang-basikal-jimat-1fmt-ohsem-inside-article1Dalam keadaan cuaca yang panas dan tidak menentu serta kewujudan pilihan untuk berselesa menggunakan pengangkutan awam atau sendiri berhawa dingin, masih ada yang memilih untuk berbasikal ke tempat kerja.

Kenapa kita perlu berbasikal, menggunakan kudrat pada awal pagi ke tempat kerja sedangkan kita dibekalkan dengan pelbagai pilihan pengangkutan lain?

Ahmad Rushdi Adlan dan Jeffrey Lim antara pemuda yang mempunyai pendapat berbeza apabila memilih untuk berbasikal ke tempat kerja.

FMT Ohsem berpeluang menemuramah 2 jejaka tersebut yang sedia berkongsi pengalaman berbasikal ke tempat kerja sebagai satu pilihan yang bukan sahaja jimat tetapi sihat.

Nikmati suasana awal pagi

“Saya berbasikal ke tempat kerja sekitar pukul 6 hingga 8 pagi ketika cuaca masih nyaman dan selesa.

“Belum ada rasa panas kerana matahari pun baru nak naik. Saya dapati ia adalah waktu paling selasa di samping menikmati kedinginan awal pagi,” kata Rushdi merujuk kepada rutin hariannya.

penunggang-basikal-jimat-2

Rushdi, seorang pengurus komuniti di sebuah syarikat swasta tidak menafikan biologi semulajadi yang menyebabkan dia berpeluh selepas berbasikal kira-kira 8.6km, dari Ampang Jaya ke pejabatnya di Jalan Pudu.

“Apa salahnya berpeluh sikit? Bukankah ia sesuatu yang baik untuk kesihatan? Kalau diikutkan, berjalan dari stesen tren atau bas, tempat letak kereta atau menaiki tangga ke pejabat juga menyebabkan kita berpeluh. Jadi, tiada banyak beza, kecuali berbasikal membawa anda lebih jauh dari segi jarak,” katanya.

Jejaka yang baru berusia 33 tahun itu juga akui tindakannya diperli oleh kenalan sebagai kerja “orang gila” tetapi dia langsung tidak kisah.

“Generasi Y pada masa kini kian melupakan aktiviti seperti berbasikal dalam kehidupan harian mereka. Bagi saya ia sesuatu yang mencabar. Berbasikal itu sihat, menjimatkan perbelanjaan bulanan saya, sekitar RM1,000.

“Bayangkan berapa banyak saya boleh jimat dalam masa setahun? Lebih RM12,000!,” katanya mengambil kira harga minyak, bayaran tempat letak kereta, tol dan kos penyelengaraan lain.

Dia akui berbasikal tetap menggunakan kos, sekitar RM200 untuk penyelenggaran setahun bagaimanapun ia bergantung kepada jenis basikal yang digunakan.

Rushdi yang juga pengasas Pedal Malaya, sebuah organisasi yang menguruskan acara berbasikal amat berharap orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat dengan memilih untuk berbasikal.

Jual kereta sebab terlalu selesa berbasikal

Dalam pada itu, seorang lagi belia yang ditemui, Jeffrey, 38, memilih berbasikal kerana ia lebih mudah, pantas dan jauh menjimatkan berbanding kenderaan berenjin.

Dia yang menggunakan basikal ke tempat kerja sejak beberapa tahun berkata terlalu selesa berbuat demikian sehingga menjual keretanya yang langsung tidak diendah sejak menggunakan pengangkutan 2 roda itu.

Jeffrey menggunakan basikal ketika berada di Singapura pada 2007 dan sekembalinya ke Kuala Lumpur. Dia juga menyertai projek Kayuh Kuala Lumpur pada tahun 2012 sebagai menyokong aktiviti itu dalam rutin seharian.

Bagaimanapun jarak berbasikal Jeffrey jauh lebih mencabar iaitu sekitar 20 ke 40 kilometer sehari demi tuntutan kerjanya sebagai pereka grafik, komunikasi dan cetakan.

“Saya menetap di Sri Hartamas dan selalu berjumpa klien di pusat bandaraya Kuala Lumpur seperti di Bangsar, KL Sentral, Kampung Attap, Jalan Petaling. Jadi saya memang kena banyak berjalan.

“Selain menjimatkan kos, berbasikal merupakan gaya hidup sihat sekaligus mengajar kita berbaik kepada alam sekitar. Pencemaran utama yang berlaku di negara kita disebabkan perlepasan karbon tidak terkawal kenderaan berenjin,” katanya.

Jeffrey menggunakan alternatif lain seperti kereta sewa jika mempunyai barang untuk dibawa atau demi keperluan kerja di samping pengangkutan awam seperti KTM dan bas.

Nurul Azwa dan Afiqah Farieza menyumbang kepada artikel ini.