Kedudukan Bahasa Melayu dalam sektor kewangan

johan-pidato-bnmfmt-ohsem-inside-article1Pengabaian Bahasa Melayu terutama dalam sektor kewangan bukan satu isu yang baharu.

Penggunaan meluas Bahasa Inggeris di institusi-institusi bank perdagangan, insurans dan syarikat-syarikat korporat seperti menidakkan keupayaan bahasa Kebangsaan untuk bersaing sebagai bahasa ekonomi dan perhubungan yang bernilai tinggi.

Meskipun belum ada gerakan secara meluas dilakukan bagi memertabatkan Bahasa Melayu dalam sektor kewangan namun usaha ke arah itu dilakukan sejak lebih 10 tahun kebelakangan ini.

Satu daripadanya melalui Pertandingan Pidato Antara Institusi Kewangan Piala Gabenor Negara Malaysia yang kini memasuki tahun ke-9 penganjurannya dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Kualiti semakin meningkat

Melalui hujah yang dilontarkan selama 7 minit dengan menampilkan kuasa pujukan dan daya intelek yang tinggi, Jushua Meta Anak Nully berjaya menarik perhatian juri melalui pidatonya yang bertajuk ‘Skim Cepat Kaya: Mengapa Masih Ramai Yang Tertipu’ hingga mengangkat anak kelahiran Sri Aman, Sarawak ini sebagai Juara.

Mewakili CIMB Bank Berhad, anak muda berusia 28 tahun ini membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000.

Tempat ke-2 dimenangi Abdul Hadi Abdul Apet dari AIA Berhad dengan pidato yang bertajuk Insurans Dan Takaful: Keperluan Atau Kemahuan? serta tempat ke-3 juga milik wakil CIMB Berhad, Muhamad Akmal Shuib dengan tajuk Teknologi Kewangan (Fintech) Dan Dunia Kewangan Masa Kini.

Mereka adalah sebahagian daripada 13 peserta akhir dari 100 penyertaan melibatkan 29 institusi kewangan yang melalui 2 siri saringan.

Pertandingan yang menjadi medan perkongsian pandangan mengenai isu-isu kewangan semasa yang sering menjadi perhatian masyarakat hari ini turut menjadi wadah bagi memupuk rasa bangga dan minat yang mendalam terhadap Bahasa Kebangsaan.

Ini dapat dilihat melalui peratusan jumlah markah secara keseluruhan yang lebih tinggi diberikan 3 juri dalam rumusan mereka. Antara yang dilihat dalam aspek penguasaan Bahasa Melayu terutama struktur bahasa dan sebutan yang jelas memandangkan institusi kewangan kebanyakannya mengguna Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan komunikasi rasmi.

Selain itu kandungan isi yang disampaikan dalam setiap persembahan pidato juga lebih bernas dengan penyampaian yang lancar dan berkesan.

Pengalaman rahsia kemenangan

Berpengalaman luas dalam pertandingan pidato sejak bergelar mahasiswa di Universiti Tun Abdul Razak, Jushua mengulangi kejuaraan yang pernah dimenanginya pada tahun 2013.

Hanya memulakan persiapan kira-kira 2 minggu sebelum pertandingan, beliau mengakui persaingan kali ini lebih sengit.

“Mungkin kelebihan berpihak pada saya daripada segi fakta dan gaya persembahan. Secara keseluruhan memang sengit,” katanya yang menyokong usaha yang dilakukan BNM dan DBP dalam mengangkat martabat Bahasa Melayu.

Jika sebelum ini pertandingan pidato hanya dapat dilihat di peringkat sekolah dan universiti kini ia diperluas terutama dalam jabatan kerajaan dan swasta.

Usaha ini perlu diteruskan dan diperluaskan terutama dalam sektor korporat yang banyak menggunakan Bahasa Inggeris agar Bahasa Melayu tidak dipinggirkan, katanya.

Peningkatan drastik peserta-peserta yang masuk bertanding sejak 3 tahun kebelakangan ini menunjukkan satu perkembangan yang sihat terutama usaha BNM memertabatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan sektor kewangan.

johan-pidato-bnm-2

Pemenang ke-2, Abdul Hadi yang menyertai buat kali ke-3 tahun ini melihat kesan positif apabila kebanyakan institusi kewangan memandang serius pertandingan ini malah ramai yang membuat persiapan lebih awal termasuk menggunakan khidmat pakar bidang pemidato dan pengucapan awam.

“Masa mula-mula BNM adakan pertandingan pidato, kira-kira 20 peserta sahaja yang menyertainya dan apabila masuk tahun ke-9, peningkatan sangat drastik sampai 100 penyertaan.

“Walaupun hanya mendapat tempat ke-2, tetapi melihat kepada penyertaan dan persaingan, saya bangga dengan diri sendiri hingga boleh sampai ke peringkat ini,” katanya yang membawa pulang wang tunai RM3,000 dan trofi.

Memilih tajuk yang bersesuaian dengan bidang kerjayanya sebagai perunding insurans dan takaful memberi sedikit kelebihan kepadanya terutama dari segi fakta yang diutarakan.

Perkembangan Bahasa Melayu dalam bidang insurans dan takaful sudah banyak berubah. Banyak maklumat yang dipaparkan melalui laman sesawang dan media sosial kini menggunakan Bahasa Melayu berbanding dahulu yang memberi fokus kepada Bahasa Inggeris.

Malah, sejak wujudnya takaful yang menarik minat pasaran Bumiputera menyebabkan banyak kursus diadakan dalam Bahasa Melayu.

“Ini juga menyebabkan ramai perunding insurans dan takaful daripada kaum Cina dan India mempelajari Bahasa Melayu dengan lebih mendalam bagi memudahkan komunikasi dengan pelanggan Melayu mereka,” katanya.

Penilaian pengunaan Bahasa Kebangsaan

Sementara itu, Nazura berkata DBP dan BNM turut bekerjasama membuat penilaian penggunaan dan tahap Bahasa Kebangsaan dalam kalangan institusi kewangan khususnya dalam urusan berkaitan pelanggan.

Fasa pertama dilaksanakan pada 2016 di 8 buah bank perdagangan tempatan.

“Kesemua bank dilihat mencapai tahap yang memuaskan,” katanya.

Daripada penilaian itu, beberapa penambahbaikan dilakukan oleh institusi kewangan yang dinilai dengan menambahbaik penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam dokumen perbankan mereka.

Antaranya borang deposit dan borang pengeluaran tunai serta merancang untuk menyediakan laman sesawang dalam versi Bahasa Kebangsaan.

Fasa seterusnya akan melibatkan penilaian ke atas bank-bank Islam tempatan dan institusi kewangan pembangunan yang dijadualkan dari hujung tahun ini hingga tahun hadapan.

“Ia juga akan melihat aspek yang sama seperti mana pada fasa pertama dahulu,” katanya.

Menurutnya lagi, institusi kewangan turut digalakkan lebih kerap menjalin kerjasama dengan DBP untuk melaksanakan aktiviti melibatkan Bahasa Melayu.

Selain BNM, beberapa buah institusi kewangan yang pernah menganjurkan kerjasama dengan DBP antaranya Public Bank Berhad melalui penajaan Minggu Penulis Remaja 2012 dan Program Pembinaan Bakat Siswa 2013.

Bank Rakyat melalui Minggu Penulis Kanak-Kanak 2013, Yayasan Bank Rakyat dengan Program Pembinaan Bakat Remaja 2014 dan Kumpulan AmBank yang menganjurkan Program Pembinaan Bakat Tunas Remaja Sekolah Menengah Persendirian Cina 2014.

“Saya percaya sekiranya usaha-usaha seperti ini diteruskan dan diperbanyakkan, Bahasa Melayu akan dapat dimantapkan terutama dalam sektor kewangan negara ini,” katanya.