Maestro Ilaiyaraaja ke Malaysia selepas hampakan peminat 4 tahun lepas

raja

fmt-ohsem-inside-article1Tidak mahu lagi menghampakan peminat, tiada lagi alasan, kali ini komposer terkenal di India, Maestro Ilaiyaraaja bertekad untuk membayar hutang 4 tahun yang lalu kepada peminatnya di Malaysia.

Mengenang kejadian 4 tahun lalu, Ilaiyaraaja membatalkan Konsert King of Kings Maestro Ilaiyaraaja live in Kuala Lumpur pada saat akhir atas faktor kesihatan, ternyata memberi kejutan negatif kepada peminatnya yang bersedia dengan tiket-tiket yang dibeli hanya untuk menemui dan menikmati lagu-lagunya.

Tiada lagi kali ini, itu janji yang diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), My Events International, Shahul Hameed Dawood.

“Ilaiyaraaja akan menemui peminatnya dengan membuat penampilan pertama di Malaysia menerusi konsert sulungnya dalam tempoh 20 tahun, pada 7 Oktober ini,” kata Shahul dalam satu sidang media baru-baru ini.

Menurutnya lagi, Konsert Raaja The One Man Show akan diadakan di Stadium Tertutup Bukit Jalil sekali gus menjadi konsert Kollywood terbesar yang pernah dianjurkan di Malaysia setakat ini dengan jangkaan lebih 15,000 penonton.

Ilaiyaraaja pernah menghasilkan kira-kira 6,000 buah lagu melibatkan lebih 1,000 buah filem pelbagai bahasa Tamil, Hindi, Telegu, Malayalam dan lain-lain.

“Beliau mempunyai peminat dari pelbagai latar. Lagu-lagunya pada era 70-an, 80an dan 90an antara yang masih menjadi hit di carta radio.

“Sebagai jaminan awal beliau ke konsert itu, legenda muzik itu akan membuat penampilan istimewa di hadapan peminat pada Sabtu ini. Beliau dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 3 petang esok,” kata Shahul.

Ilaiyaraaja dijangka menemui peminatnya dalam satu konsert mini berhampiran kolam air pancut di Brickfields pada Sabtu ini pada pukul 8 malam sebagai gimik mempromosi serta merasmikan pelancaran tiket konsert itu.

Shahul berkata, konsert mini yang akan bermula dari 6.00 petang akan disertai oleh artis-artis tempatan namun enggan mendedahkan persembahan Ilaiyaraaja pada hari tersebut.

Antara hasil gubahan terkenal Ilaiyaraaj ialah lagu dari filem Thalapathi (1991) yang pernah menguasai tempat ke-4 di carta muzik antarabangsa BBC sebagai lagu paling popular sepanjang zaman dengan mengumpulkan undian terbanyak dari 155 buah negara pada 2003.

Sebuah portal hiburan antarabangsa terkenal, Taste of Cinema menyenarai komposer berusia 74 tahun itu di tempat ke-9 daripada 25 pemuzik terhebat di dunia.

Beliau juga pernah mengadakan pelbagai konsert “live” di seluruh dunia antaranya di Kanada, Amerika Syarikat dan London.