Majikan Singapura utamakan kesihatan mental pekerjanya
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Bangsa-bangsa Bersatu mentafsirkan tekanan sebagai epidemik global dan menggelarkannya ‘pembunuh senyap’.
Baru-baru ini seorang rakan Facebook berkongsi satu laporan menarik yang disiarkan agensi berita Reuters pada 2008.
Ia mengenai “pekerja sebuah syarikat pemasaran Jepun yang diberi cuti berbayar akibat putus cinta dan tawaran “cuti gangguan emosi ” menjelang usia tua.
Syarikat yang berpangkalan di Tokyo itu, Hime & Company yang juga memberi cuti berbayar untuk pekerja membeli-belah ketika musim promosi jualan berkata cuti gangguan emosi itu membolehkan pekerja yang dilanda kesedihan itu menangis habis-habisan dan boleh kembali bekerja dalam keadaan lega.
“Bukan semua perlu mengambil cuti bersalin tetapi kalau gangguan emosi, semua memerlukan masa cuti, sama seperti sakit,” kata Miki Hiradate, Ketua Pegawai Eksekutif Hime & Company.
Syarikat beliau yang mempunyai 6 pekerja wanita memasarkan kosmetik serta barangan lain untuk keperluan perempuan.
Pekerja wanita berumur 24 tahun atau yang lebih muda boleh mengambil cuti sehari dalam setahun, mereka yang berumur antara 25 dan 29 boleh bercuti 2 hari sementara yang lebih tua, 3 hari.
Pekerja juga dibenarkan keluar waktu pagi, 2 kali setahun sebagai “cuti membeli-belah musim promosi jualan” supaya masing-masing mempunyai cukup masa untuk membeli barangan pada harga yang berpatutan.
Apa yang dibuat oleh Hime & Company ini bermula 9 tahun lepas dan dalam persekitaran kerja yang serba-serbi mencabar ini ada syarikat lain yang turut mengadakan program yang sama.
Di Singapura, 72% pekerja dilaporkan mengalami tekanan serta masalah kesihatan mental dan keadaan ini menjejaskan daya pengeluaran mereka, bukan setakat gangguan emosi semata-mata.
Ini adalah dapatan terkini APAC Benefits Strategy Study 2017 oleh Aon, firma perkhidmatan professional yang menyediakan pelbagai penyelesaian risiko, persaraan dan kesihatan.
Kajian itu juga menunjukkan 62% organisasi di Singapura mempunyai rancangan untuk melaksanakan program kesejahteraan fizikal pada masa hadapan.
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Bangsa-bangsa Bersatu mentafsirkan tekanan sebagai epidemik global dan menggelarkannya ‘pembunuh senyap’.
Ia adalah fenomena yang semakin merebak di kebanyakan negara Asia, terutamanya yang mempunyai kemajuan ekonomi pesat dengan gaya hidup ala kebaratan yang menonjol seperti Singapura, Taiwan, Hong Kong dan China.
Di peringkat awal, tekanan fizikal ini termasuk isu kronik seperti sakit belakang, letih dan pening kepala.
Terdapat juga bukti saintifik yang jelas mengaitkan tekanan dengan kemurungan, penyakit kardiovaskular, dan pelbagai kanser. Semuanya ini mendatangkan kesan ekonomi apabila pekerja tidak datang kerja, daya pengeluaran menurun, pekerja berhenti, bayaran ganti rugi pekerja, insurans perubatan dan perbelanjaan yang berkaitan.
Menarik sekali APAC Benefits Strategy Study 2017 mendapati 74% majikan Singapura mempunyai program kesejahteraan fizikal untuk menangani isu kronik.
“Menerusi analisis kami ke atas data pelan perubatan pelanggan, kami mampu melihat apa yang berlaku. Sebagai contoh, nisbah tinggi kunjungan ke klinik untuk Jangkitan Saluran Pernafasan (URTI) serta pelbagai penyakit salur pencernaan yang boleh dikaitkan dengan isu kesihatan mental seperti tekanan, kemurungan dan kebimbangan.
“Dengan mengenalpasti punca, kami boleh membantu majikan membangunkan program pengurusan risiko untuk menangani kesihatan pekerja dan mendatangkan hasil yang diinginkan,” kata doktor Aon, Dr Menandro Sandoval.
Sementara itu, Tim Dwyer, Ketua Pegawai Eksekutif Aon Kesihatan & Faedah, Asia Pasifik, menekankan majikan di Asia secara proaktif melaksanakan program kesejahteraan fizikal tetapi kurang bersedia mengadakan program kesihatan mental.
“Bagaimanapun, kajian kami yang terkini menunjukkan majikan Singapura kini melihat kesejahteraan kesihatan pekerja sama ada fizikal dan mental sebagai bidang tumpuan ke-3 yang utama.
Aon membuat pelaburan besar di seluruh Asia dalam bidang teknologi, sumber dan sumber manusia yang boleh mengubah cara organisasi berfikir terhadap kesejahteraan pekerja mereka.
APAC Benefits Strategy Study 2017 Aon melibatkan 461 responden di 22 buah negara, untuk memahami bagaimana pengamal Sumber Manusia melaksanakan strategi faedah dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Aon plc adalah sebuah firma perkhidmatan profesional yang menyediakan pelbagai penyelesaian risiko, persaraan dan kesihatan.