Netizen terpukau kreativiti pengendali FB Rapid KL

rapid-klfmt-ohsem-inside-article1“Saya jarang mengikut mana-mana laman sosial milik badan korporat tetapi berbeza dengan Facebook Rapid KL. Anda kelakar, bermaklumat dan responsif. Saya suka posting anda,” demikian kata netizen merujuk kepada laman Facebook Rapid KL @myrapid, dipercayai laman rasmi syarikat tersebut.

Ia antara komen yang diberikan apabila Rapid KL terus memuat naik kenyataan dan gambar serta maklumat yang menghiburkan, dalam masa sama, berinteraksi dengan bijak dengan pengguna.

Terbaharu, Rapid KL memuat naik gambar patung Annabelle yang dikatakan berada di stesen Transit Aliran Massa (MRT).

“Kepada pelanggan yang dihargai, baru-baru ini kami menerima kunjungan mengejut dari Annabelle. Jaga tingkah laku anda semasa berada di dalam tren kami atau dia akan menghantui anda selama-lamanya,” petik keterangan itu.

Gambar itu menunjukkan kedudukan patung tersebut di 2 lokasi iaitu tempat duduk dalam tren dan dekat mesin pengimbas dipercayai Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) KLCC.

anabelle

Gambar yang dimuat naik petang semalam menerima lebih 22,000 “like” dan dikongsi lebih 8000 kali.

Netizen juga banyak memberi komen terhadap gambar yang dimuat naik itu, tidak ketinggalan respon kelakar dari pihak pengendali FB Rapid KL.

Secara keseluruhan, netizen terus memuji usaha kreatif pengendali media sosial Rapid KL ini yang berurusan dengan baik kepada semua soalan serta komen pengguna.

Seorang pengguna bernama Thahirah Jamaludin menulis, “Siapa sahaja yang mengendalikan media sosial RapidKL layal dapat kenaikan gaji.”

Komen itu menerima 27 respon dari netizen lain yang menyokong kenyataan itu, akui pengendali FB Rapid KL sebagai yang terbaik.

“Saya rasa saya dah jatuh cinta dengan anda, admin. Laki ka perempuan masalahnya ni?” tulis Ima Sofieya pula. Komen itu dibalas Rapid KL supaya biar ia disimpan rahsia.

Pengguna bernama, Abang Bear pula menulis, “Page korporat yang boleh layan komen customer is the best. Baru la tahap antarabangsa. Same level dengan page korporat luar negara. Kipidap.”

Seorang pengguna dari Singapura menggunakan nama, Leonard Tan turut tidak ketinggalan memuji pengendali FB Rapid KL.

“Saya membaca ruangan ini. Saya akui, admin ini sangat kelakar la! Semua meme terbaru anda membuatkan orang ramai ROFL (gelak)! Kekalkan!,” tulisnya yang turut menyampaikan “hi” dari Singapura.

Ramai yang teruja dengan perubahan mendadak pengendali Ralid KL yang sebelum ini agak suram.

“Ini admin baru ye? Dulu admin Rapid KL skima je. Paling-paling jawapan dia, ‘We are sorry for the inconvenience caused’.. Sekarang macam ini la bagus. Keep up the good work,” tulis Aidareenna Roslan.

Selain gambar Annabelle yang dimuat naik, pengendali Rapid KL juga banyak berkongsi maklumat, berita semasa dan pengumuman syarikat pengendali pengangkutan awam terbesar negara itu.

Bagaimanapun, pelbagai gambar kelakar dan sarkastik mengenai sikap pengguna yang menyalah guna kemudahan Rapid KL, kelakuan vandalisme dalam tren, pengguna yang tidak menghormati peraturan pengangkutan awam turut dimuat naik dengan mengaburkan muka pesalah.

Ia mendapat sambutan pengguna yang percaya langkah itu akan terus menyedarkan pengguna supaya lebih berhemah ketika menggunakan pengangkutan awam.

Semua respon pengendali Rapid KL juga dipuji kerana bukan sahaja dilakukan pada kadar segera malah menepati kehendak selain ada yang berunsur lawak jenaka.

Tahniah kepada pengendali media sosial Rapid KL daripada, FMT Ohsem! Kalau ada ‘jodoh’ bolehlah bertemubual dengan anda!

https://www.facebook.com/myrapid/