Anak lewat bertutur jika asyik dengan gajet

kids-gadgetfmt-ohsem-inside-article1Nazirah cuba menenangkan anaknya yang baru berusia setahun dengan menawarkan Ipad.

Warna-warna pada skrin, bunyi latar yang datang dari aplikasi permainan pendidikan yang dimuat turun terus mendamaikan anaknya daripada terus membuat hal.

Nazirah kini selesa dan dia terus mempratik amalan itu setiap kali anaknya merengek.

Di zaman teknologi, kanak-kanak semuda beberapa bulan didapati meluangkan masa di hadapan skrin, tak kiralah komputer, Ipad, telefon bimbit atau televisyen.

Namun tahukah anda ia boleh memberi kesan sehingga melewatkan perkembangan pertuturan anak itu?

Dalam satu kajian yang disampaikan pada Perjumpaan Persatuan Akademik Pediatrik 2017, mendedahkan bayi berusia 6 bulan hingga 2 tahun yang meluangkan masa di hadapan skrin kemungkinan besar berhadapan masalah lewat bertutur.

Kajian itu membabitkan 900 kanak-kanak yang terdedah kepada amalan tersebut secara harian. Penyelidik menilai pembangunan bahasa kanak-kanak dengan mengawasi faktor seperti bunyi dan perkataan yang digunakan kanak-kanak itu dalam mendapatkan perhatian ibu bapa termasuk jumlah perkataan yang digunakan.

Hasilnya, 20% kanak-kanak yang menghasilkan purata setengah jam di depan skrin terkesan dan peningkatan pada setiap setengah jam lagi menyebabkan 49% risiko kelewatan pertuturan ekspresif.

Pakar Pediatrik dan Saintis Hospital Kanak-kanak Sakit di Toronto, Dr Catherine Birken memberitahu CNN, pihaknya percaya ia merupakan kajian pertama seumpamanya melibatkan peralatan media dan kesan kelewatan pertuturan dalam kalangan kanak-kanak.

“Saya rasa bagi membangunkan lagi bukti, kita perlu memberitahu ibu bapa dan pakar perubatan mengenai tindakan susulan supaya kajian dijalankan secara lebih teliti,” katanya.

“Ini satu penyelidikan yang penting memandangkan ia menitik berat risiko berpotensi tinggi pengunaan media khususnya telefon bimbit,” kata pengarah penyelidik untuk badan bukan berkeuntungan Common Sense Media, Michael Robb.

“Apa yang memacu kepada kesan itu lebih penting. Kesan negatif yang dinyatakan mungkin wujud kerana masa kanak-kanak bersama skrin mengurangkan interaksi mereka dengan ibu bapa seperti bermain, membaca, bercakap, menyanyi yang mana merupakan pembangunan kritikal yang penting untuk mereka.”