Ngauman rakyat Malaysia bakal gegar Stadium Shah Alam

sea-games

fmt-ohsem-inside-article1Buat masa ini, tiada yang lebih menyatupadukan rakyat Malaysia selain Sukan SEA.

Ya, lihat sahaja semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat Malaysia dalam menyokong pemain Malaysia tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.

Semua orang hanya melihat pemain itu sebagai produk Malaysia… kan bagus kalau selalu begini.

Sebelum ini seorang anak berbangsa Melayu, raja pecut negara Khairul Hafiz Jantan diraikan oleh semua orang selepas muncul sebagai manusia terpantas di rantau Asia Tenggara dengan meraih pingat emas acara 100m Sukan SEA.

Rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan kaum bercakap dan berkongsi berita mengenai manusia terpantas negara ini termasuk menukar gambar profile laman sosial kepada wajah Khairul.

Khairul, 19, dari Melaka muncul juara selepas melintas garisan penamat dalam masa 10.38s, mengatasi juara bertahan Eric Cray dari Filipina yang terpaksa berpuas hati dengan tempat ke-2 dengan catatan 10.43s.

Kemudian, baru-baru ini, tandukan emas N.Thanabalan pada perlawanan semi final bola sepak Sukan SEA menentang Indonesia mengemparkan Malaysia apabila semua orang mula menaruh harapan tinggi terhadap jejaka India dari Seremban ini.

Sehingga gaya jambangnya menjadi trending di laman sosial.

Thanabalan menjaringkan 4 gol dalam 5 perlawanan menjadikannya sama “level” dengan pemain Myanmar, Aung Thu dan pemain Vietnam, Nguyen Cong Phruong. Pemain Thailand, Phithack Kongmathilath pula menjaringkn 3 gol setakat ini.

Dalam erti kata lain, malam ini kita juga tunggu siapa bakal dapat gelaran “golden boot”.

Pemain jadi harapan semua rakyat

Semangat ini bukan sahaja terhad untuk Sukan SEA, malah dalam semua sukan atau kejohanan membabitkan maruah negara.

Ingat lagi kejohanan badminton dunia dan acara badminton sukan Olimpik membabitkan pemain berbangsa Cina, Datuk Lee Chong Wei?

Lain macam semangat yang ditunjukkan rakyat kita.

Malam ini, semua orang hanya bercakap dalam satu bahasa, bahasa bola sepak! Perlawanan Malaysia menentang Thailand.

Mengharapkan malam ini akan menjadi detik kegemilangan, ramai yang menumpu pada N.Thanabalan selain pemain harapan lain seperti Irfan Zakaria dan Haziq Nadzli.

Walaupun pada awalnya kita ada sedikit ragu-ragu, tetapi 5 kemenangan berterusan lebih-lebih lagi mengatasi Myanmar dan Indonesia menyemarakkan lagi harapan kita malam ini.

Yang pasti Stadium Shah Alam malam ini pasti akan digegarkan dengan laungan peminat Malaysia.

Untuk makluman, Malaysia dan Thailand pernah bertemu sebanyak 23 kali dalam acara bola sepak sukan SEA di mana 9 kali memihak kepada Thailand dan 7 kali kepada Malaysia.

Jadi tak keterlaluan jika kita harapkan kemenangan buat kali ke-8, dan kita masih hutang satu kemenangan. Kita simpan untuk tahun depan pula.

Semoga sejarah Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur tidak berulang apabila Thailand mengalahkan Malaysia 1-0 dalam acara bola sepak final Sukan SEA.

Kali ini kita mahu pemain Malaysia menjaringkan sebanyak mungkin dan menaikkan nama sukan bola sepak negara yang selama ini berada dalam kepudaran.

Peluang semua rakyat tonton dari stadium

Bukan itu sahaja, sebagai peminat dan penonton kita juga kena menghargai peluang yang diberikan kepada rakyat dalam menonton sama ada secara langsung, di tempat awam dan kaca tv.

Seorang rakan, Yusof Ghani dalam posting di Facebooknya menyatakan betapa pihak kerajaan dan persatuan sukan di Malaysia memberi rakyatnya peluang sama rata memiliki tiket bola sepak yang terjual seperti pisang goreng panas.

“Jika diukur dari permintaan tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak, contohnya antara Thailand dan Malaysia pada malam ini, harga yang ditawarkan amatlah ‘murah’.

Murah dalam erti kata harga yang ditawarkan itu sangat rendah (sekitar RM20) berbanding dengan permintaan yang sangat tinggi. Dalam mata pelajaran ekonomi Tingkatan 4, hampir keseluruhan buku membincangkan mengenai hukum permintaan dan penawaran. Jika permintaan tinggi dan penawaran terhad, harga boleh dinaikkan,” tulisnya yang mana ada kebenaran.

Yusof turut membandingkan harga tiket perlawanan bola sepak di Amerika Syarikat di stadium terutamanya perlawanan akhir yang hanya mampu dibeli oleh orang kaya dan “super rich”.

Tiket perlawanan tinju Mayweather vs PacMan misalnya berharga berpuluh ribu dan terhad kepada 500 penonton.

Manakala, perlawanan akhir American football, Superbowl pula, kata Yusof dijual pada harga purata lebih dari AS$5,000.

Kesal ada yang jual balik tiket harga cekik darah

Kalau jual mahal pun, kita pasti akan ada penonton yang sedia beli, cuma kuranglah masa menunggu berjam-jam dan beratur beberapa kilometer panjang.

Seorang lagi rakan, Syahril A.Kadir juga mengenang pengalaman menonton perlawanan akhir sukan SEA di Bangkok pada 2014.

Syahril akui “terbang” ke Bangkok untuk mengikuti perlawanan, tidak kisah dihimpit penyokong tempatan.

“Masa di Bangkok 3 tahun lepas, kami para penyokong ‘terhimpit’ antara puluhan ribu penyokong tuan rumah Thailand. Sambil jalan pergi balik stadium perasaan berdebar takut kena pelangkung dengan penyokong fanatik Siam ni jangan cakaplah. Tetapi demi Negaraku, kami tekadkan semangat. Dalam stadium sorakan kami membuatkan orang Thai kagum dan berita tersebut tular di internet dan media mereka,” tulisnya.

Beliau yang hampa selepas tidak berpeluang menonton acara itu di “rumah sendiri” kerana tidak dapat membeli tiket walaupun sudah berusaha, kesal dengan sikap mereka yang tidak dapat menghadiri perlawanan malam ini tetapi memiliki tiket menjualnya semula pada harga cekik darah atas alasan “susah payah beratur panjang”.

Syahril juga mengaku harga tiket asal di Malaysia bagi perlawanan acara akhir Sukan SEA sudah dikira sangat murah walau dibandingan dengan harga tiket yang dibelinya di Bangkok iaitu sekitar RM45 (350 Bhat), 3 tahun lalu.

Kredit gambar: Syahril A.Kadir
Kredit gambar: Syahril A.Kadir

Malam ini, kita bukan sahaja akan mendengar ngauman Harimau Malaya tetapi seluruh rakyat Malaysia yang menanti saat kemenangan.

Bagaimanapun, satu perkara harus diingati, kalah menang adat permainan dan FMT Ohsem serta rakyat Malaysia akan tetap menyanjungi pemain kita walau apa juga pengakhirannya.

Lebih daripada semangat kesukanan, jangan lupakan nilai murni kita sebagai rakyat Malaysia.

Jangan terburu atau emosi, kawal sikap anda khususnya mereka yang di stadium.

Semoga perlawanan ini berakhir dengan baik dan aman.