Lawat premis belajar anak, terkejut lihat tahap keselamatan

tadika

Berita mengenai kemalangan kebakaran yang berlaku di pusat tahfiz di Jalan Keramat Ujung sangat menyedarkan saya selaku seorang ibu.

Justeru, saya terus muatnaik satu status mengenai kewajipan dan tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan tempat belajar anak kita selamat.

Tanggungjawab kita bukan sekadar menghantar anak dan menjemput pulang, bayar duit bulanan dan penuhi permintaan anak. Jauh daripada itu, kita berkewajipan untuk memeriksa dan buat spot check di pusat pembelajaran mereka, ini termasuk sekolah.

Apapun mintalah kebenaran dahulu. Pasti pihak yang mengendalikan pusat tersebut dengan baik, tiada halangan untuk kita berbuat demikian. Kecuali ada benda yang tak kena, dan yang itulah kita perlu tahu!

Tempat pertama dilawati Jumaat lalu ialah pusat tuisyen anak saya di Shah Alam. Bertempat di tingkat pertama lot deretan kedai, baru saya terfikir jika tempat itu menepati segala kemudahan keselamatan. Sebaik meninggalkan anak saya minta kebenaran pengendali dan memeriksa pusat tuisyen itu.

Mujur, ia memenuhi kriteria keselamatan termasuk menempatkan tong gas pemadam api, selimut api, kamera litar yang berfungsi dengan baik dan 2 pintu kecemasan iaitu pintu utama dan tingkap belakang.

Pengendali pusat tuisyen itu juga memberitahu kaki tangan dan guru di pusat tuisyen itu diberi latihan kemalangan api dan kecemasan sebagai persediaan.

Bagaimanapun saya masih khuatir dengan tindakan membenarkan pelajar menunggu ibu bapa di tingkat bawah tanpa pengawasan sesiapa.

Namun, pengendali pusat memberitahu jika berlaku kelewatan dalam menjemput anak, ibu bapa boleh menelefon atau menghantar mesej supaya pihaknya boleh “menjaga” sementara ibu bapa sampai.

“Ok, puas!” bisik hati saya.

Dua lagi pusat pembelajaran yang saya lawati juga memberi penjelasan mengenai tahap keselamatan yang diatur.

Terakhir saya ke sebuah tadika di seksyen 17 Shah Alam, dan sekali saya berpuas hati sehinggalah pengetua itu membuka pintu belakang premis itu.

Terkejut melihat ruangan belakang yang bukan sahaja kotor dan busuk malah membahayakan kerana ada 2 tong gas dekat dengan pintu belakang tadika.

“Puan, apa ini?” tanya saya.

Guru itu akhirnya mengakui ia sebagai salah satu “gangguan yang menghantuinya” setiap hari walaupun sudah puas memberitahu jiran beliau.

Rupanya jiran bersebelahan rumah belakangnya menggunakan ruang pejalan kaki untuk menempatkan dapur besar dan kuali serta peralatan masakan selain 2 tong gas besarnya.

Walaupun tadika itu sendiri sangat selesa kerana rumah teres setingkat dengan 3 pintu masuk keluar dan ruang tepi yang luas, tong pemadam api dan segala kemudahan lain, tetapi kedudukan tempat masak jirannya agak mengejutkan saya.

“Mereka gunakan ruang ini untuk perniagaan makanan. Saya sudah beberapa kali mengingatkan mereka dan buat laporan tetapi mereka enggan dengar. Kalau pihak berkuasa datang buat serbuan, mereka akan tutup sehari 2 dan kembali beroperasi,” katanya kesal.

Saya segera berjumpa dengan jiran berkenaan bersama pengetua sekolah tersebut dan menyampaikan kebimbangan saya.

“Kak, tolonglah jangan tempatkan tong gas dan dapur di luar. Ia sangat dekat dengan pintu belakang dan kakak dah halang jalan belakang. Nak lari pun susah sebab tempat ini penuh dengan kesan minyak dan sangat licin,” seru saya.

Mujur wanita pertengahan usia itu bersetuju untuk mengalihkan dapur yang ditempatkan di pejalan kaki itu dan berjanji akan masak di dalam rumahnya di samping membersihkan ruang jalanan yang digunakan itu.

Pengetua itu juga menarik nafas lega dan berharap akan menemui satu jalan penyelesaian, sekurang-kurangnya demi keselamatan 50 kanak-kanak yang belajar di pusatnya.

Mungkin hari ini atau esok saya akan pergi dan periksa semula kalau tempat itu sudah dibersihkan dan dikosongkan untuk kegunaan pejalan kaki.