Pelancong British dikejar wanita Nepal kerana mengadu teh mahal

teh_gaduh

fmt-ohsem-inside-article1Seorang pelancong wanita dari Eropah kesal dengan perbuatan penjual teh di Annapurna, Nepal yang mengenakan harga £1 (RM5.67) bagi segelas teh hitam.

Gemma Wilson, 35, ketika itu sedang mendaki Litar Annapurna bersama anak lelakinya apabila berhenti sekejap untuk menikmati teh di gerai tepi jalan.

Dia mengadu kepada pemilik gerai itu bahawa harga teh yang dipesan berharga 150 rupees atau £1 itu jauh lebih mahal daripada kebiasaan.

“Saya selalu bertanya harga sesuatu barangan sebelum membelinya tetapi bukan untuk teh ini. Ini kerana saya selalunya membayar 50 rupee untuk segelas teh hitam,” kata Wilson kepada portal Mirror.

“Apabila saya pergi membayar, penjual itu meminta 150 rupee. Saya bertanya semula dan dia menjawab harga yang sama dan saya terpaksa membayar amaun tersebut. Saya memberitahunya harga itu sangat mahal.”

Kira-kira 50% rakyat Nepal hidup di bawah garis kemiskinan dan ia merupakan salah sebuah negara termiskin di dunia.

Ketika beredar dari gerai tersebut, Wilson dan anaknya mengambil gambar premis itu berserta papan tandanya.

Penjual yang sedar kelakuan 2 beranak tersebut mengejar mereka sambil memanggil pelancong wanita itu menggunakan kata-kata kesat selain cuba menyerang dengan kayu.

Sementara Wilson dan anaknya berjalan meninggalkan tempat itu, penjual itu terus mengejar mereka dengan membuang batu ke arah mereka.

“Kamu orang Inggeris sangat kaya, kenapa mahu tawar-menawar?” pekik penjual wanita itu.

Wilson berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan teruk kecuali luka kecil di tangannya.

“Saya merayu kepadanya supaya meninggalkan kami. Dan saya pun tidak mahu bergaduh dengan wanita (penjual) itu kerana ia boleh membahayakan diri saya,” kata Wilson.

Kejadian itu menarik perhatian pelancong lain yang lalu-lalang dan berjaya direkod dalam kamera.