Pelajar diberi biasiswa, peluang pekerjaan selepas calar kereta mewah

china_student

fmt-ohsem-inside-article1Buat baik dibalas baik. Benar, itu yang berlaku kepada seorang pelajar perempuan di wilayah Yunan di China selepas secara tidak sengaja mencalar sebuah kereta mewah.

Pelajar perempuan bernama Zhang bukan sahaja dimaafkan atas kesalahannya malah ditawarkan biasiswa belajar selain jaminan kerja selepas tamat pengajian.

Pada 2 September lepas, Zhang, 18, dalam perjalanan pulang dengan basikalnya selepas mendaftarkan diri di sebuah kolej sebelum ke bank untuk memasukkan duit belanja.

Bagaimanapun, dia secara tidak sengaja tercalar sebuah kereta mewah (Lexus ES 350) di parkir.

Panik seketika, Zhang bagaimanapun enggan berganjak malah mengambil keputusan menunggu pemilik kereta untuk memohon maaf.

Selepas sejam lebih menunggu di bawah terik matahari, dia akhirnya menemui pemilik kereta tersebut.

“Pakcik, ini kereta anda kah? Saya mahu minta maaf . Saya tercalar kereta pakcik dengan basikal saya jadi saya tunggu pakcik.”

Lelaki tersebut yang juga mempunyai nama yang hampir sama, Zang, pemilik sebuah firma hartanah mendapati ada 3 kesan calar di pintu keretanya yang bernilai 700,000 Yuan (RM446,300).

Menurut lelaki itu, pada mulanya dia aneh melihat seorang budak perempuan berdiri berhampiran keretanya.

“Dia kelihatan panik dan takut bila saya berjumpa dengannya. Tetapi bila saya dapat tahu tujuan sebenar dia berdiri lama di bawah panas matahari saya tersentuh dengan kejujurannya. Saya beritahu, dia tidak perlu bayar apa-apa,” kata Zang.

Pelajar perempuan itu segera mengucapkan terima kasih dengan menunduk kepalanya beberapa kali di hadapan lelaki itu.

Pertemuan itu juga membawa kepada perbualan kecil di antara mereka di mana lelaki itu mendapat tahu secara lanjut mengenai keluarga pelajar perempuan yang miskin dan duit 8,000 Yuan (RM5,100) yang dibayar untuk pendaftaran kolejnya itu merupakan duit pinjaman.

Teruja dengan kejujuran Zhang, Zang mengambil keputusan bukan sahaja menanggung kos membaiki keretanya yang menelan belanja 2,000 Yuan (RM1,280) malah memberikan sokongan kewangan kepada pelajar jujur itu.

Ya, lelaki itu bersedia menanggung kos pendidikan kolej dan menawarkan pekerjaan di firma hartanah sebaik pelajar itu menamatkan pengajiannya.