Imam Universiti Al-Azhar dikutuk, digantung tugas kerana menyanyi

Sheikh-Ehab-Younes-Seorang-imam-dari-Universiti-Al-Azharfmt-ohsem-inside-article1Seorang imam dari Universiti Al-Azhar, Mesir menjadi mangsa kecaman netizen kerana menyanyi di saluran televisyen ketika berpakaian keagamaan, berkopiah dan berjubah.

Ekoran insiden itu, imam tersebut, Sheikh Ehab Younes meminta maaf secara terbuka di laman Facebooknya atas kesilapan tidak disengajakan itu.

Menurut laporan Arabnews, imam itu digantung tugas selepas dikritik teruk oleh orang ramai selepas perbuatannya dilabelkan sebagai tidak sopan.

“Saya menghargai perasaan mereka yang terganggu dengan lagu nyanyian saya,” katanya di Facebook.

Ketika itu, imam tersebut sedang dirakam dalam satu program bual bicara dan pengacara memintanya menyanyi lagu penyanyi lagenda Arab, Umm Kulthum.

Sheikh Ehab menyanyi beberapa lirik lagu penyanyi itu berjudul “Lesa Faker” dengan berlatarkan muzik okestra.

Bagaimanapun rakaman itu membawa padah kepadanya kerana menyanyi ketika memakai baju seragam keagamaan universiti, kopiah dan jubah, sekali gus mencetus kritikan berterusan dan menyebabkan menteri negara itu terpaksa menyiasat kejadian tersebut.

“Saya mahu pastikan mereka yang menyayangi saya dan mereka yang peka terhadap saya, bahawasanya saya di soal selidik hari ini dan segalanya berjalan baik.

“Saya hargai kedudukan anda di sisi saya dan saya hormati keputusan menteri Awqaf untuk menggantung tugas saya,” tulis Sheikh Ehab.

Menurut kementerian, Sheikh Ehab digantung tugas sebagai imam dan penceramah di masjid Ali bin Abi Talib.

Al-Azhar juga mengutuk nyanyian imam dengan berkata, “Mereka yang terlibat dalam bidang keagamaan Islam berpakaian seragam universiti tidak sepatutnya mempersembahkan lagu atau apa jua seni.”

Manakala, Professor Syariah, Mohammed Shahat El-Gendy dalam satu kenyataan memberitahu Arab News, Islam tidak menghalang muzik selagi ia tidak menggerakkan nafsu seks.

Beliau berkata imam itu sepatutnya menghormati pakaian seragam keagamaan yang dipakainya. “Ketika berpakaian demikian, dia menjadi contoh kepada orang Islam lain,” katanya.

Bagaimanapun ada pemikir Mesir berpendapat perbuatan imam itu tidak salah.

Penulis Sameh El-Zahar misalnya menyenarai nama beberapa imam Mesir yang terlibat dalam muzik.

“Sheikh El-Naqshbandi sangat menyukai muzik Umm Kulthum dan menyanyi untuknya.

“Sheikh Mohammed Refaat pula seorang imam yang sangat popular dengan ilmu dalam muzik klasikal, tidak ketinggalan Sheikh Abdul Basset Abdul Samad,” tulisnya.