Kartun Keluang Man bakal difilemkan?

keluang-manfmt-ohsem-inside-article1Ingat lagi kepada watak adiwira tempatan, Keluang Man yang pernah popular dalam kalangan penonton pada era 90-an?

Kalau masih ingat baguslah kerana kartun itu dijangka akan difilemkan untuk tontonan di layar perak dan ia pastinya satu berita baik kepada peminat filem adiwira yang bercita rasa tempatan.

Laman sosial digemparkan dengan berita filem adiwira Keluang Man selepas penerbit, pengarah dan pelakon, Rizal Halin berkongsi beberapa status mengindikasi usaha memfilemkan kartun itu.

Kemungkinan filem itu bakal diterbitkan oleh penerbit yang terkenal dengan filem sains fiksyen, XX Ray, Aziz M Osman.

Kini pelbagai percubaan mempopularkan nama Keluang Man sedang giat dijalankan.

Malah, dalam satu posting Rizal, beliau berkongsi gambar Aziz M Osman memakai baju berlogo Keluang Man di Facebooknya.

Petik status itu, “My Producer for Keluang Man Zero Aziz M Osman already had his Keluang Man tshirt on..”

Beberapa poster termasuk poster karya kreatif peminat turut dikongsi yang memetik nama syarikat produksi Ace Motion Pictures.

Namun, watak bagi filem itu nampaknya belum dibincangkan kerana menurut pencipta watak Keluang Man, Kamn Ismail melalui Facebook rasmi Keluang Man, pihaknya belum menerima sebarang permohonan atau kebenaran mengguna watak tersebut.

Mungkin masih terlalu awal dan pihak terlibat perlu melalui pelbagai prosedur khususnya dari segi kebenaran hak cipta dan sebagainya sebelum watak kartun ini menjadi watak filem.

Portal hiburan Siakap Keli berkongsi serba sedikit mengenai watak-watak dalam kartun Keluang Man yang menjadikan ia sebuah kartun adiwira berbahasa Melayu paling diminati pada era 90-an.

Mari kita mengimbas beberapa watak penting dalam kartun itu dan mungkin pembaca boleh pertimbang pelakon yang dianggap sesuai dengan watak-watak tersebut.

Siri animasi televisyen yang bersiaran dalam saluran TV1 bermula 1996 hingga 1998 diperkenalkan sebagai watak superhero pertama yang turut mengenang watak kartun Hollywood, Batman.

Watak Keluang Man ini dibawa oleh Borhan, seorang pesakit hospital sakit jiwa di Tampoi.

Dia yang merupakan seorang jaguh silat sebelum dihantar ke hospital gila hilang selepas van yang dinaikinya terbabas lalu jatuh ke dalam gaung.

Borhan menjadi gila selepas diserang lelaki bernama Samsir yang turut mencuri tunang Borhan, Suri.

Selain watak Keluang Man oleh Borhan, kartun ini juga terdiri daripada watak:

Samad/Tiong Man: Rakan karib Borhan di Hospital Bahagia Tampoi yang menjelma sebagai Tiong Man pada sebelah malam, sekali gus menjadi kawan baik dan pembantu Keluang Man. Samalah juga dengan watak Robin dalam Batman. Dia juga seorang mekanik yang berjaya dan hilang ingatan selepas berlaku letupan yang tidak disengajakan di bengkelnya.

Samsir Jauhari: Watak jahat dan musuh ketat Borhan. Mengamalkan ilmu hitam untuk membalas dendam kepada guru silat dan membenci Borhan yang berjaya dalam seni mempertahankan diri itu.

Inspektor Sahab: Watak polis yang selalu menghadapi masalah dengan Keluang Man kerana kesnya diganggu adiwira itu. Dia pernah mengarahkan supaya Keluang Man ditangkap tetapi tidak berjaya.

Ated: Pekerja hospital yang sering bermasalah dengan Borhan yang selalu keluar malam walaupun pintu biliknya dikunci. Ated juga adalah pembantu Dr Ramoo.

Ramai lagi watak dalam kartun ini tidak dibincangkan tetapi menjadi intipati utama dalam kartun ini sekali gus membawa pelbagai “twist and turn” dalam siri animasi ini.

Keluang Man baharu jika berjaya difilemkan mungkin akan membawa perubahan atau perbezaan dari segi watak atau mana tahu dikekalkan sahaja, apapun ia harus menepati citarasa penonton masa kini yang lebih “maju”.

FMT Ohsem berharap usaha ini akan berhasil dengan perancangan yang sebaiknya supaya ia tidak menghampakan kami sebagai penonton!