Konsert 5 jam komposer Kollywood tawan 13,000 penonton

mestro-3Baru-baru ini penulis berpeluang menghadiri konsert komposer terkenal dari India dengan jolokan “The Maestro” Ilayaraaja, “Raaja The One Man Concert”.

Sebut sahaja nama lelaki ini, peminatnya pasti akan dapat mengimbas beberapa daripada lebih 6000 lagu hasil gubahan beliau pasti bermain di minda. Manakan tidak, lelaki berusia 74 tahun ini sedikit pun tidak pernah berhenti dari industri muzik sejak beliau melibatkan diri 50 tahun yang lalu.

Walaupun menempa nama di arena muzik Tamil, antara gubahan lagu dalam filem-filem Hindi yang popular beliau ialah seperti filem Paa 1 dan 2 lakonan Amitabh Bachan dan Abishek Bachan, Hey Ram lakonan Kamal Hassan, Lajja lakonan Jackie Shroff dan Madhuri Dixit.

mestro2

fmt-ohsem-inside-article1Sabtu lalu, Ilayaraaja mengadakan konsert mega beliau yang pertama di Malaysia di stadium tertutup, Axiata Arena, Bukit Jalil sekaligus menghiburkan kira-kira 13,000 peminat muzik yang hadir.

Sebelum ini, kira-kira 4 tahun lepas, Ilayaraaja sepatutnya membuat konsert pertama beliau tetapi tidak dapat hadir pada minit terakhir kerana jatuh sakit. Tetapi kali ini, nampaknya pihak penganjur, MyEvents International amat berhati-hati dalam memastikan janji ditepati.

Manakan tidak lebih 80% tiket dikatakan terjual 2 hari sebelum konsert dan harganya bukanlah murah, daripada RM88 hinggalah RM1,000.

Bagaimanapun, pastinya penonton mendapat pulangan yang lebih, konsert yang bermula pada pukul 8 malam hanya tamat selepas pukul 1.30 pagi, bayangkan kira-kira 5 jam dan lebih!

Ya, mungkin penonton tidak mahu melepaskan Ilayaraaja pergi begitu sahaja, malah beliau sendiri seolah komited dengan pentas yang turut menempatkan kira-kira 100 krew terdiri daripada okestra dan penyanyi beliau sendiri dari Chennai.

Menariknya mengenai konsert Raaja The One Man Concert ialah dedikasi komposer yang hanya mahu menyampaikan karya terbaik.

Beliau dilihat beberapa kali menghentikan lagu ketika sedang dipersembahkan semata-mata untuk memastikan ia “bebas kesalahan”.

“Anda sokong dan bertepuk tangan walaupun lagu itu ada kesalahan pada not atau sebutan lagu,” katanya apabila setiap lagu menerima tepukan gemuruh yang luar biasa daripada penonton.

mestro-1

Mungkin, sebagai seorang “guru” muzik, hanya beliau sahaja yang sedar kesalahan itu.

Selain itu, Ilayaraaja juga berkongsi beberapa kisah ketika lagu yang disampaikannya itu digubah, termasuk mengenang memori bersama rakan baiknya dalam industri muzik iaitu penyair Vaali.

Keterujaan konsert berjalan lancar malah lebih rancak dengan pilihan lagu-lagu era 80an dan 90an yang menjadi signatur beliau.

Bagaimanapun Ilayaraaja terpaksa mengambil rehat selepas bertahan 4 jam, mungkin kerana letih, sementara persembahan diteruskan oleh krewnya. Ternyata, ketiadaan beliau memberi kesan apabila ada penonton yang mula beredar pulang.

Penulis bersama rakan media serta ribuan peminat tegar yang lain terus menunggu dengan penuh harapan demi kepulangan Ilayaraaja ke pentas sebelum konsert itu tamat. Seperti yang dijangka, beliau kembali ke pentas selepas hampir 40 minit berehat dan meneruskan persembahan untuk sejam lagi.

Kali ini, Ilayaraaja ditemani anak sulungnya, yang juga seorang komposer, Karthik Raaja untuk memimpin bapanya dengan pilihan beberapa lagu secara rawak sebelum konsert tamat.

Apa yang pasti, Ilayaraaja hanya memberi yang terbaik pada konsert pertamanya kepada peminat Malaysia.

Selain beliau turut menawarkan biasiswa bernilai RM300,000 kepada seorang pelajar perubatan di Asia Metropolitan University (AMU) selain menandatangan memorandum untuk memulakan sebuah akademi muzik di sini.

mestro-4

Ilayaraaja juga dianugerahkan Ijazah kehormat Falsafah Kedoktoran bergelar profesor oleh AMU atas sumbangannya dalam industri muzik selama lebih 50 tahun disaksikan oleh penganjur konsert, Ketua Pegawai Eksekutif MyEvents International, Shahul Hamid Dawood.