Aplikasi Towbago selesaikan masalah kenderaan rosak tengah jalan

towbago_600

fmt-ohsem-inside-article1Tiba-tiba kereta anda tersadai di tepi jalan, mungkin kerana kemalangan, tayar pancit, masalah enjin, bateri atau sebagainya. Dalam situasi ini, apakah tindakan anda?

Biasanya kita akan hubungi rakan atau kenalan, kalau kemalangan besar, mungkin melibatkan syarikat insurans, trak tunda, bengkel atau mekanik yang dikenali.

Bagaimana jika semua itu tidak memihak kepada anda? Misalnya mekanik balik kampung, bengkel tutup, panggilan ke syarikat insuran mengambil masa, malah rakan anda juga tidak berada di kawasan berdekatan untuk membantu.

Itulah perkara yang tercetus di fikiran seorang lelaki muda apabila dia sendiri terserempak dengan situasi sama.

Ketika itu Thiban bersama 3 rakan dalam perjalanan ke Pulau Pinang dari Klang, terserempak dengan sebuah keluarga yang berdepan masalah dengan kenderaan mereka, kemungkinan akibat masalah teknikal.

Ketika itu, Thiban yang bekerja dengan syarikat penerbangan tidak dapat membuat apa-apa kecuali berdoa agar bantuan tiba secepatnya supaya keluarga itu tidak terkesan teruk apatah lagi ketika itu hujan lebat.

Perkara itulah yang akhirnya mendorong lelaki berusia 32 tahun bersama 3 rakannya tampil membangunkan aplikasi Towbago, perkhidmatan bantuan kenderaan yang disediakan menerusi apllikasi muat turun.

Tetapi bagaimana ia berfungsi dan apa bezanya perkhidmatan ini dengan mana-mana tawaran lain yang serupa?

Thiban dalam majlis pelancaran Towbago memberitahu FMT Ohsem, perkhidmatan syarikatnya itu merupakan idea segar dan pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Menurut Thiban yang juga ketua pegawai eksekutif dan pengasas Towbago, operasi syarikat itu dilaksanakan menggunakan model yang sama seperti perkhidmatan e-hailing Grab atau Uber.

“Pengguna kenderaan perlu memuat turun aplikasi Towbago dalam telefon pintar mereka, itu adalah syarat paling asas.

“Jikalau kenderaan mereka hadapi masalah, bukan sahaja kemalangan malah masalah sekecil ‘jump start’, tayar pancit atau kehabisan minyak, anda boleh hubungi lebih 300 agen yang berdaftar dengan kami untuk bantuan.

“Mana-mana agen yang terdekat dengan anda sedia menghulur bantuan 24 jam, tetapi tertakluk kepada pilihan sendiri yang mana dibandingkan mengikut harga tawaran,” katanya.

Maknanya, perkhidmatan Towbago ini sangat “handy” di kala kita terlibat dalam masalah seperti kemalangan mahupun seremeh kehabisan minyak. Kita hanya perlu hubungi agen menerusi aplikasi Towbago .

Di awal penubuhan, Towbago berdepan pelbagai “trial and error” lebih-lebih lagi kerana melibatkan pihak penunda kenderaan.

“Selama 2 bulan kami cuba mengenal pasti kelemahan dan kelebihan aplikasi, pihak agen yang menawarkan perkhidmatan, keselarasan undang-undang dan sudut teknikal. Selepas itu baru kami buat pelancaran ini.

“Oleh kerana aplikasi ini menghubungkan 2 pihak (agen dan pelanggan) dalam talian maka agen perlu mendaftar dengan kami. Sebelum meluluskan penyertaan agen, kami akan lakukan segala pemeriksaan latar malah turut komited memberi latihan dari masa ke semasa,” kata Thiban.

Dari segi bayaran yang ditawarkan, Towbago menjamin akan memberi harga 40% lebih rendah daripada pasaran.

Tidak dinafikan Towbago juga ada pesaing walaupun ia berfungsi menggunakan aplikasi. Namun Thiban yakin, Towbago akan menjadi pilihan kerana kemudahan yang ditawarkannya itu.

“Kami tidak nafi syarikat insurans memberi perkhidmatan percuma atau bayaran boleh dituntut, oleh itu kami sedang mengusahakan kerjasama dengan mereka. Prosedur syarikat insurans adalah dengan memberi pilihan bengkel atau mekanik tertentu, selebihnya anda kena tentukan. Bayaran pun anda hanya boleh tuntut kemudian.

“Berbeza dengan Towbago di mana bayaran tanpa tunai menggunakan kad mengambil kira aspek keselamatan dan perkhidmatan ditawarkan secepat mungkin, semuanya dalam tapak tangan,” jelasnya.

Malahan kebanyakan aplikasi lain juga katanya masih menggunakan kaedah separa manual di mana kita perlu bergantung kepada orang tengah dan bukannya dengan agen secara langsung.

Dalam pada itu, aplikasi Towbagi boleh didapati dalam teknologi Android dan iOS menjelang bulan depan.

“Operasi Towbago fasa 2 akan dikemaskini tahun depan dengan lebih banyak kandungan dan penambahbaikan. Bayaran menggunakan tunai juga sedang dalam perbincangan kerana kami sudah ada permintaan itu,” katanya.

Bagaimanapun perkhidmatan ini hanya terhad di sekitar Lembah Klang dan pihak Towbaga akan kembangkan capaiannya mengikut fasa.