Apa keputusan UPSR anak anda?

keputusan-upsrfmt-ohsem-inside-article1Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diumumkan hari ini. Tetapi sebelum itu pelbagai “amaran” dikeluarkan pihak Kementerian Pendidikan termasuk Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau menerusi Facebook berulang kali mengeluarkan status supaya ibu bapa berfikiran terbuka, sedia menerima apa jua keputusan, UPSR tidak menentukan hala tuju hidup dan meraikan kegigihan anak-anak yang berjaya menamatkan pendidikan sekolah rendah dengan baik.

“Kita raikan usaha mereka selama ini yang bermula dari pendidikan pra sekolah sehingga Tahun 6. Itu yang penting. Ambil berat juga tentang pentaksiran selain penilaian akademik seperti kecergasan, disiplin dan amalan-amalan yang lain. Setiap murid ada kelebihan dan kecenderungan masing-masing,” tulisnya.

Benar, selepas berdekad-dekad menyanjung dan meraikan pelajar berkeputusan cemerlang, kali ini kementerian mahupun pihak berkaitan pendidikan mula membuka pandangan di luar kemampuan akademik.

Bertuah sungguh pelajar-pelajar sekarang, mereka sudah ada banyak “back-up”. Bukan sahaja kementerian malah guru, media dan pensyarah atau pakar motivasi juga bersama anda.

Tetapi jangan jadikan itu sebagai alasan untuk tidak cemerlang dalam ujian. Apapun, kita cuba buat yang terbaik.

Pernah terbaca satu artikel dari laman portal Guardian di UK yang menyatakan peperiksaan sebenarnya bukan hanya mengukur kehebatan murid memahami pembelajaran di sekolah sebaliknya menilai sejauh mana guru berjaya memahirkan pelajar dengan ilmu akademik.

Jelas, peperiksaan atau ujian adalah penilaian 2 hala dan ibu bapa harus bersedia berdepan dengan apa juga “hasil akhirnya”.

Seorang pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Balan Rathakrishnan berkata, kegagalan bukanlah perhentian terakhir ataupun sesuatu boleh dielakkan.

“Peperiksaan adalah satu sistem pemanduan yang membimbing pelajar untuk menetapkan sasaran dan mengikut jalan menuju mencapai gol itu.

“Tanpa sasaran (peperiksaan), murid akan leka dan mudah hilang arah,” katanya menekankan tujuan sebenar sesuatu peperiksaan diadakan.

Oleh itu, beliau menyarankan agar guru dan ibu bapa terus menghulur tangan kepada pelajar supaya mereka dapat menerima dan membuat keputusan secara aktif untuk keperluan jangka panjang. Mereka harus berfikir melampaui keputusan UPSR, jelas beliau lagi ketika dihubungi FMT Ohsem.

Balan turut menasihati pelajar yang menerima keputusan supaya rajin berjumpa dengan dengan guru kelas, guru motivasi atau kaunselor sekolah untuk mendapatkan bimbingan mengenai masa depan mereka selepas menerima keputusan.

Jelas beliau lagi, pelajar yang masih kecil atau tidak cukup matang dalam menanggani hal sedemikian, ibu bapa dan penjaga harus memainkan peranan selain guru dan pihak sekolah.

Katanya, ibu bapa harus sedar kesensitifan dan emosi kanak-kanak generasi kini sehingga apa sahaja reaksi negatif boleh membawa kesan buruk kepada mereka.

“Oleh itu janganlah membandingkan mereka dengan kanak-kanak lain. Berkawanlah dengan mereka dan kongsi pengalaman anda dengan mereka. Jangan biarkan mereka bersendirian jika memperoleh keputusan tidak baik. Seeloknya beri sokongan,” katanya lagi.

Balan yang turut mengucapkan tahniah kepada pelajar cemerlang UPSR meminta agar ibu bapa menyambut kegembiraan itu dalam kesederhanaan.

Ini bagi mengelak kanak-kanak cemerlang daripada “over-confident”. Mereka juga boleh hilang arah apabila dirai di luar jangkaan.

Jadi kalah atau menang, sebagai ibu bapa kena amalkan kesederhanaan dan persefahaman.

Seperti yang dipetik Mahdzir dalam akhbar Utusan Malaysia, setiap kanak-kanak ada kelebihan dan kekurangan sendiri. Ia tidak menjadikan mereka lebih rendah kedudukannya daripada murid lain.

Kecemerlangan anak tidak hanya terhad dalam bidang akademik malah sukan, mahupun kokurikulum juga masih boleh dibanggakan.

Tidak ketinggalan, kualiti paling penting iaitu sahsiah mereka dan disiplin dalam mengikut peraturan sekolah, sosial dan mendengar kata ibu bapa serta guru.