Nak berjaya, bangun awal pagi!

bangun-pagifmt-ohsem-inside-article1Kita ada 2 jenis manusia, aktif pada waktu pagi dan aktif pada waktu malam. Mereka digelar “morning person” atau “night person”. Tertakluk kepada masing-masing tetapi pagi yang ceria dan aktif sememangnya lebih penting. Ini kerana pagi yang proaktif akan memberi keputusan yang lebih positif kepada kehidupan anda.

Menurut kajian oleh sekumpulan penyelidik University of Leipzig, setiap manusia yang mahu melakukan sesuatu yang benar-benar memberi impak kepada diri sendiri harus mulakan hari tersebut awal pagi lagi.

Jadi bagaimana kita mulakan pagi yang bersemangat jika hari sebelumnya tak terurus? FMT Ohsem memetik laporan portal The Independent berkongsi tips bangun awal pagi yang berkesan untuk anda:

1. Rancang hari anda malam sebelumnya

Sebelum tidur, selepas makan malam atau sementara menonton TV merehatkan diri, anda boleh rancang pelan hari esok. Bak kata pepatah Inggeris, “Fail to plan, plan to fail” yang bermaksud apabila kita gagal merancang maka kita merancang untuk gagal, jadi jangan jadi seperti itu. Untuk menjadikan pagi dan seterusnya hari anda lebih produktif, senaraikan tugasan yang perlu diselesaikan pada keesokan hari, sebaiknya jadualkan dengan masa.

Dengan cara ini, anda sudah bersedia berdepan pagi yang terancang, malah ia akan menjadikan anda lebih bersemangat.

2. Bangun awal pagi

Bunyinya sukar atau luar biasa? Buku penulis Laura Vanderkam, “What the Most Successful People Do Before Breakfast” memetik 90% daripada orang kedudukan tinggi yang berjaya dalam hidup bangun awal pagi, seawal 4 pagi!

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PepsiCo Indra Nooyi juga pernah akui bangun seawal 4 pagi dan berada di pejabatnya paling lewat pun 7 pagi.

CEO Disney, Bob Iger bangun pada 4.30 pagi untuk membaca berita, CEO Twitter, Jack Dorsey sudah terjaga pada pukul 5.30 pagi untuk berjoging.

Kepada mereka yang tak biasa bangun pagi, termasuklah saya, amalkan rutin tidur lebih awal dan latih diri anda. Beri ganjaran tiap kali anda bangun awal!

3. Mulakan hari anda dengan senaman

Setiap malam saya berhasrat melakukan yoga selama 1/2 jam sebelum memulakan pagi, tetapi harapan tinggal harapan sahaja. Sebenarnya amalan bersenam termasuk yoga, membuat latihan kecerdasan, berjoging, berjalan tidak akan memenatkan hari anda, sebaliknya membekalkan tenaga luar biasa.

CEO Xerox, Ursula Burns misalnya meluangkan masa sejam untuk bersenam sebelum memulakan harinya. Malah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama juga memulakan harinya dengan latihan kardio.

Sementara itu, CEO Twitter, Jack Dorsey melakukan 3 pusingan ”7-minute workout”.

“Orang-orang ini sangat sibuk. Tetapi jika mereka sedia meluangkan masa untuk bersenam, maknanya senaman itu penting!” kata Vanderkam.

4. Buat senarai keutamaan

Lazimnya waktu pagi sangat sesuai untuk menyiapkan kerja-kerja penting. Sekurang-kurangnya jika kerja itu agak rumit, anda ada waktu sepanjang hari untuk selesaikan perkara itu. Lagi pun, first things first!

5. Luang masa untuk diri sendiri

Sebenarnya ia dipanggil “masa untuk meneroka diri sendiri”. Bagaimana anda melakukannya? Mudah sahaja, dengan menutup masa dan bermeditasi. Kalau tak biasa melakukan meditasi, anda boleh duduk diam di satu sudut memikirkan perkara-perkara baik dan indah. Ataupun sekurang-kurangnya berimaginasi mengenai masa depan anda. Hari anda bakal menjadi sibuk dan anda mungkin tiada masa untuk diri sendiri, jadi inilah masanya, waktu pagi yang segar dan dingin.