2018 tahun untuk anda melancong!

melancong-pelancong-tourist-vacation-holidayfmt-ohsem-inside-article1Hari ini sudah penghujung tahun. Genap 30 hari sahaja lagi sebelum kita melabuhkan tirai 2017. Satu lagi tahun baharu dan satu lagi resolusi baharu.

Salah satu resolusi yang dianggap paling berharga kepada seseorang ialah berjelajah atau, orang putih kata, travel!

Jadi, apakah negara atau lokasi seterusnya dalam wishlist anda untuk tahun depan? Atau apakah semua lokasi dalam senarai anda tahun ini sudah dipenuhi?

Tak kiralah di dalam atau luar negara, sekali anda mengambil inisiatif untuk berjalan, anda akan peroleh pengalaman unik mengenai cara hidup, makan minum, bahasa dan orang di tempat baharu.

Maknanya, lagi banyak anda jelajah, lagi banyak ijazah berbentuk pengalaman anda akan peroleh. Seperti yang dipetik beberapa portal jelajah, aktiviti ini akan menjadikan seseorang lebih matang, bijak berdepan pelbagai situasi, lebih bersikap bebas, dan tidak bergantung kepada sesiapa.

Mari kita lihat secara lanjut 4 kebaikan berjelajah dan 10 lokasi paling “hot” untuk dikunjungi pada 2018.

1. Lebih sihat, kurang tekanan, umur panjang!

Ya, penjelajahan memberikan anda pelbagai kepuasan dan kegembiraan maka ia akan mengurangkan tekanan dan menjadikan anda lebih sihat. Banyak kajian membuktikan 3 hari selepas bercuti, individu itu akan rasa lebih relaks, kurang resah dan dalam mood lebih positif serta ia bertahan untuk beberapa lama. Keadaan ini sekaligus memberi kesan kepada kesihatan secara menyeluruh dan umur lebih panjang.

2. Anda lebih ‘fit’

Okay, berjelajah di sini bermakna anda kena banyak “berjalan”, tak kiralah menggunakan kemudahan pengangkutan atau benar-benar berjalan. Berjelajah memberi pelbagai cabaran untuk anda turun padang dan menjadi aktif. Sewaktu berjelajah, kita peka untuk mencuba perkara baharu, membuat sesuatu di luar dugaan dan menimba pengalaman baharu. Maka kita akan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi. Walaupun anda sekadar pilih bersantai tepi pantai, berjalan sepanjang pesisir laut akan memberi “tugas” kepada otot anda.

3. Otak sihat, lebih kreatif

Berjelajah meningkatkan kemampuan otak anda kerana kemampuan mengadaptasi diri kepada persekitaran yang bertambah dan ia secara tidak langsung meningkatkan fleksibiliti kognitif. Jurnal Personality and Social Psychology, menyatakan orang yang suka berjelajah mempunyai minda yang lebih terbuka dan stabil secara emosi. Tambah kajian itu, lebih banyak anda berjalan, lebih tinggi peluang untuk mengadaptasi diri terhadap sistem kebudayaan baharu, lebih kreatif dan lebih berjaya. Kalau kerja anda perlukan lebih kreativiti, sila minta bos luluskan surat cuti dan pergi berjelajah!

4. Anda menjadi aktif secara sosial

Berjalan-jalan memberi pelbagai peluang untuk anda bertemu orang baharu yang tidak mungkin anda temui dalam hidup jika tidak berjelajah. Apabila anda berada di luar zon selesa, di negara orang, anda tiada pilihan tetapi mencari rakan baharu yang berpeluang menjadi kawan baik sepanjang dan selepas sesi jelajah itu. Walaupun orang yang anda temui itu memberi pengalaman buruk, ia akan tetap menjadi sesuatu yang berguna untuk anda menilai antara yang baik dan sebaliknya. Sekali-sekala pengalaman buruk itupun ada hikmahnya. Anda akan lebih mempelajari selok-belok dunia dan manusia.

Okay, sekarang kita pantau 10 lokasi pilihan untuk tahun 2018, seperti yang disyorkan majalah Forbes.

1. Xian, China

Ibu negara purba China ini mempunyai keluasan lebih kecil dari Beijing dengan populasi 13 juta orang sekaligus menjadikannya bandar yang lebih mesra. Penemuan Terracotta Warriors meletakkan Xian sebagai satu lokasi tarikan arkeologi pada tahun 2018.

2. Gaziantep, Turki

Bandar yang semakin mendapat perhatian dunia ini hanya 90 minit penerbangannya dari Istanbul. Gaziantep ialah salah satu daripada 8 bandar raya Unesco Creative Gastronomy. Bandar ini lebih membawa budaya Turki yang lebih asli pada kos yang lebih murah daripada Istanbul.

3.Fiji

Ramai yang berpendapat pulau di Pasifik Selatan ini mahal tetapi Fiji sebenarnya destinasi bajet untuk “backpackers” yang amat bernilai dan memuaskan.

4. Amritsar, India

Pusat keagamaan untuk penganut Sikh ini terkenal dengan Golden Temple. Amritsar salah satu destinasi menarik untuk tahun depan. Senibina kuil dan sejarahnya sering menjadi kebangsaan penganut Sikh yang turut mengalu-alukan kedatangan pelancong.

5. Koh Lanta, Krabi, Thailand

Dekat dan murah, walaupun tak sepopular mana, pulau-pulau di Thai antara yang menerima kunjungan pelancong paling kerap. Maka, ia tentu menjanjikan sesuatu di luar jangkaan pada harga berpatutan atau lebih murah.

6. Koh Dach (Silk Island), Phnom Penh, Cambodia

Salah satu destinasi tersembunyi di samping potensinya yang di luar jangkaan. Silk Island pasti memberikan anda gambaran mengenai tempat ini dan keistimewaannya.

7. Bosnia Herzegovina

Tahukah anda ia sebahagian daripada benua Eropah yang sering terlepas pandang daripada penerokaan? Kaya dengan sejarah dan sebuah negara yang cantik, dibina di atas pelbagai budaya serta alam semulajadi dan sebuah peperangan yang tidak boleh dilupakan.

8. Montreal, Canada

Walaupun berbunyi mahal, bandar raya ini masih dalam senarai destinasi pelancongan bajet. Kaya dengan pengaruh Perancis, negara di utara Amerika ini boleh memberikan pengalaman pelancongan terhebat untuk 2018.

9. Morocco

Sebuah negara yang kaya dengan warna, bau-bauan dan citarasa. Berjalan-jalanlah di lorong Fez sambil berjelajah ke Sahara, seperti anda melewati masa dan waktu dahulu. Ia destinasi mesra bajet yang memberi kepuasan luar jangkaan.

10. New Zealand

Satu lagi destinasi bajet jika anda bijak memanipulasi kemudahan di negara itu. Lawatlah negara ini dan berikan diri anda sedikit kemewahan.