Wanita China ‘bela’ kutu hama di mata, akibat bantal busuk

kutufmt-ohsem-inside-article1Kalau anda rasa gatal-gatal di badan, kepala, muka atau bahagian kulit tertentu, sila periksa keadaan kebersihan sekitar anda.

Ini kerana seorang wanita bernama Xu dari Hubei, China yang menghadapi rasa gatal melampau di bahagian mata sejak 2 tahun lalu mendapati kutu aktif membiak di bulu kelopak matanya.

Semuanya kerana dia tidak mencuci sarung bantalnya sejak pertama kali digunakan 5 tahun lalu!

Geli tak?

Kalau geli, amalkan kebersihan barangan peribadi seperti sarung bantal dan cadar sekerap mungkin bagi mengelakkan tubuh badan menjadi “kediaman” bakteria atau kutu-kutu hama yang tidak kelihatan pada mata kasar.

Menurut laporan World of Buzz, Xu selama 2 tahun menahan rasa gatal pada matanya tanpa berunding kepada pakar mata, menyangka ia hanyalah gejala biasa.

“Dia hanya menggunakan penitik mata untuk matanya yang sangat kering dan kelopak matanya yang asyik melekat.

“Sehinggalah suatu hari apabila berkongsi rasa sakitnya kepada ahli keluarga, dia dibawa untuk mendapatkan rawatan di hospital,” petik laporan itu.

Doktor yang merawatnya terkejut apabila menemui ratusan kutu hama pada kelopak mata wanita itu.

Malah, satu bulu mata Xu yang dilihat menggunakan mikroskop mendedahkan 10 ekor kutu hama di atasnya.

Lazimnya, keadaan ini berpunca daripada peredaran udara yang kurang baik dalam bilik, menjadikannya berhabuk sekaligus meningkatkan peluang untuk kutu hama membiak pada sarung bantal.

Pembiakan kutu pada sarung bantalnya dikatakan telah beralih ke bahagian mata dan dia didiagnosis dengan penyakit konjungtivitis dan blefaritis iaitu radang pada mata akibat jangkitan kuman.

Apa pun, Xu bernasib baik kerana keadaan itu boleh dirawat dan tidak berbahaya kepada nyawa.