Komuniti pemakan tikus yang terabai di India

musahan-indiafmt-ohsem-inside-article1Di India, ada satu kelas masyarakat yang dipandang hina, terlalu hina sehingga dipandang rendah lebih daripada kasta Dalit yang paling rendah negara itu dan selalu ditimpa diskriminasi.

Mereka adalah golongan Musahar, kumpulan komuniti terabai, tidak “dijaga” dan sering “terlepas pandang” oleh sistem pemerintahan negara itu.

Lebih dari itu, komuniti ini juga terkenal dengan rutin pemakanan mereka. Merekalah golongan yang makan daging tikus, semuanya kerana kesengsaraan ekonomi.

Maut akibat Leptospirosis atau penyakit kencing tikus adalah perkara biasa dalam kalangan penempatan komuniti itu.

“Setiap masa komuniti Musahar berjuang untuk mendapatkan makanan, seterusnya penyakit akibat virus kencing tikus menjadi realiti harian,” kata Sudha Varghese.

Sudha menghabiskan 3 dekad berkhidmat untuk golongan Musahar di Bihar yang mana kebanyakan mereka hidup dan menyara diri dengan pendapatan AS$1 sehari.

Seorang ahli komuniti Misahar, Rakesh Manjhi, 28, dari perkampungan Alampur Gonpura pula akui hidupnya tidak terisi.

“Kami duduk di rumah tidak berbuat apa-apa. Ada hari kami bekerja di ladang, selebihnya kami sibuk mengejar tikus untuk dimasak dan dimakan,” katanya kepada AFP.

Rakesh mahupun aktivis seperti Sudha sedar polisi kerajaan, sistem pemerintahan mahupun perubahan masa dan zaman tidak akan banyak mengubah nasib mereka.

Keadaan mereka masih sama, daripada zaman nenek moyang hinggalah hari ini.

“Kami percaya komuniti ini terdiri daripada lebih 8 juta orang. Tetapi sehingga hari ini belum ada perangkaan sebenar. Kami terus hidup dalam pengabaian,” kata Jitan Ram Manjhi, Ketua Menteri Bihar yang pertama dari komuniti Musahar, mengambil alih pemerintahan pada 2014.

“Tiada apa yang mengubah masa depan dan kehidupan kami kecuali pendidikan,” ulang Jitan Ram. Ketika kontrak pemerintahannya selama 9 bulan memimpin Bihar itu negeri terpadat di India, ia dianggap kemajuan tertinggi golongan Musahar.

Ketika muda, bekas ketua menteri itu membesar dengan menjaga lembu manakala ibu bapanya pula bekerja sebagai kuli.

“Ketika itu, komuniti ini menerima bayaran upah berupa sekilogram gandum setiap hari. Sehingga ke hari ini, amalan itu tidak banyak berubah,” tambahnya.

Tetapi individu seperti J K Sinha misalnya memberi harapan baharu kepada komuniti ini. Mereka menawarkan pendidikan percuma rasmi kepada kanak-kanak lelaki Musahar di luar bandar Putna.

“Saya mulakan sekolah tersebut sedekad lalu dengan hanya 4 pelajar, hari ini ia berkembang kepada 430 pelajar,” jelas Sinha kepada AFP.

Sinha, bekas pegawai kanan polis di Bihar mendapat tahu mengenai kehidupan Musahar sewaktu bertugas di sana.

“Mereka hidup merempat dalam sebuah pondok kecil bersama-sama kotoran dan babi di jalanan. Saya terkejut, ia sangat tidak berperikemanusiaan. Saya tidak dapat lupakannya,” kata Sinha.

Menurut pengetua sekolah, R U Khan, pelajarnya masih berdepan diskriminasi.

“Kebanyakan mereka bekerja di ladang dan terpaksa bergantung kepada tikus, siput dan tanaman rosak untuk dimakan.”

Daripada 430 pelajar di sekolahnya, menurut Shoshit Samadhan Kendra, seramai 117 merupakan anak yatim.

“Apabila mereka berada di sini, kami akan ajar kemahiran hidup dan sosial paling asas, misalnya menggunakan tandas, kebersihan peribadi, mencuci tangan atau cara makan,” katanya.

Walaupun pendidikan akademik bermula agak lewat tetapi pelajar tersebut dikatakan bangga dengan peluang pendidikan diberi.

Menteri di Jabatan Kebajikan Bihar, Ramesh Rishidev pula akui kehidupan golongan Musahar banyak berkembang secara positif.

“Kami berkhidmat untuk golongan ini, termasuk Musahar,” kata menteri itu.

“Mereka terlibat dalam pelbagai program kemahiran dan pendidikan, kami menyediakan mereka sesi latihan dan peluang kerja.”

Rishidev berkata suatu masa dahulu golongan itu terpaksa makan tikus kerana kesengsaraan ekonomi tetapi kini mereka memilih makanan atas pilihan citarasa dan tabiat.

“Ramai generasi baharu sudah tidak memakan tikus lagi,” tambahnya.