China hasil tisu daripada najis panda

Chinese-firm-turns-panda-waste-into-toilet-paper

fmt-ohsem-inside-article1Kalau dulu Indonesia menjual kopi yang dihasilkan daripada najis sejenis musang yang dikenali sebagai luwak, kini kita ada tisu yang dihasilkan daripada najis beruang panda pula.

Ya, tisu tersebut dijual secara komersial dikenali sebagai Panda Poo berharga 43 yuan (RM26) sekotak.

Sama dengan kopi luwak yang dijual pada harga mewah menjadikan kopi tersebut sebagai termahal di dunia, tisu dari najis panda ini juga dikatakan 10 kali ganda mahal daripada harga tisu biasa.

Menurut laporan Chengdu Business Daily, tisu itu turut menggunakan daun buluh selain najis panda.

Namun najis panda yang digunakan bukan sebarangan tetapi dipilih secara khusus oleh pekerja yang bertugas di kandang milik Pusat Pemuliharaan dan Kajian Beruang Panda China di Dujiangyan, Wolong dan Bifengxia di wilayah Sichuan.

Ia dikukus dan disteril, hasil gentian tersebut digunakan untuk membuat kertas atau tisu.

Projek itu adalah usaha sama antara pusat pemuliharaan panda itu dengan syarikat Sichuan Jianwei Fengsheng Paper yang mengeluarkan 60,000 tan kertas setahun.

Pegawai di pusat pemuliharaan panda, Huang Yan berkata setiap panda dewasa memakan 12 hingga 15 kg buluh sehari dan mengeluarkan najis seberat 10 kg sehari.

Selain itu, daun buluh yang tidak dimakan pula mencecah 50 kg sehari.

Pengerusi Sichuan Jianwei Fengsheng Paper, Yang Chaolin memberitahu, panda hanya menyerap gula pada buluh dan mengeluarkan serat tumbuhan berkenaan.

“Panda menjimatkan usaha pekerja untuk memisahkan serat daripada buluh untuk membuat kertas,” katanya.

Serat itu digunakan syarikat berkenaan untuk membuat tisu tandas, tisu kotak dan tisu poket.

“Panda dapat apa yang dia nak, kami dapat apa yang kami mahu. Ia satu kolaborasi ‘win-win’,” demikian kata Yang.

Syarikat tersebut mengumpul najis dan daun buluh dari pusat pemuliharaan berkenaan setiap 3 hingga 7 hari dan memperoses tisu yang boleh digunakan sebagai tisu tandas, kotak dan poket.