Empayar NagaWorld dari Ipoh ke Phhom Penh

kompleks-nagaworld-nagacorpfmt-ohsem-inside-article1Bangunan Kompleks NagaWorld, di Phnom Penh yang menempatkan hotel dan pusat hiburan seisi keluarga tersergam indah dan mewah di kawasan paling berprestij di sini.

Kedudukannya yang menghadap delta Sungai Mekong, NagaWorld bagaikan satu kurniaan kepada penduduk tempatan yang rata-rata bergelut untuk keluar daripada kancah kemiskinan.

Dimiliki oleh jutawan Malaysia Tan Sri Dr Chen Lip Keong, kompleks berkenaan – merangkumi NagaWorld 1 dan NagaWorld 2 – mempunyai kira-kira 7,000 petugas, yang 90% daripada jumlah itu adalah rakyat Kemboja.

Antara mereka ialah petugas spa kesihatan Maia, yang tidak menyatakan nama penuhnya. Beliau dan puluhan rakan-rakannya yang bekerja di pelbagai bidang di kompleks itu, mampu menarik nafas lega apabila dapat keluar daripada kepompong kemiskinan setelah mendapat pendapatan tetap di NagaWorld.

Maia dan rakan-rakannya kini mampu beroleh pendapatan kira-kira USD250 (RM1,022) sebulan dan mampu mencecah USD400 (RM1,636) jika diambilkira tips daripada pelanggan.

Peluang terhidang itu membolehkan Maia dan rakan-rakannya dalam pelbagai bidang seperti perkhidmatan pelanggan, pengurusan hotel, kulinari dan pembersihan, diangkat menjadi tulang belakang hotel bertaraf antarabangsa ini dalam membina impian untuk menjadi warganegara yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi Kemboja.

NagaWorld penghibur Sungai Mekong

NagaCorp adalah syarikat yang memiliki dan menguruskan Kompleks NagaWorld, hotel mewah berasaskan pusat hiburan keluarga terbesar di Kemboja melalui Hotel Naga 1 dan terbaharu Hotel Naga 2.

Kompleks NagaWorld mempunyai resort bersepadu bertaraf dunia termasuk 1,700 bilik hotel, 2,200 tempat duduk teater, kemudahan mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE), pelbagai pilihan tempat makan dan hiburan dan pusat membeli-belah bebas cukai.

NagaWorld, syarikat yang didaftarkan di Hong Kong, adalah kepunyaan usahawan Malaysia dari Ipoh, Tan Sri Dr. Chen Lip Keong yang sudah melabur di negara yang terkenal dengan rejim Polpot ini sejak awal tahun 1990-an.

Jika kita menelusuri Dataran Kemerdekaan bersebelahan dengan Sungai Mekong di kawasan paling berprestij di Phnom Penh, tiada siapa sangka, bangunan tersergam indah dan mewah Kompleks NagaWorld itu adalah bangunan kepunyaan syarikat dari Malaysia.

Sewaktu penulis mengikuti rombongan media ke pelancaran Hotel Naga 2 di Phnom Penh bulan lepas, kebetulan puluhan ribu masyarakat sekitar sedang menyambut Festival Air di depan Dataran Kemerdekaan Sungai Mekong, tempat utama sambutan itu, yang kebetulan mengadap Hotel Naga 1 dan Naga 2.

Mereka berkumpul selama 3 hari untuk perayaan itu sambil ditemani skrin besar yang memenuhi 70% bangunan itu boleh dilihat dengan jelas sepanjang Dataran Kemerdekaan, menjadikan negara sedang membangun ini kelihatan seperti di tengah-tengah kotaraya Tokyo atau New York.

Dari bilik hotel yang menghadap delta itu, kita boleh menyaksikan betapa bangganya rakyat Kemboja bergambar kenangan ke arah Kompleks Naga World, yang bukan terdiri daripada satu bangunan, tapi 2 bangunan ; Naga World 1 dan Naga World 2 malah pembinaan yang ketiga; Naga World 3 juga sedang diusahakan.

Dari Ipoh ke Phnom Penh

Mengenai sejarah dan kisah kejayaan NagaCorp, orang kuatnya, Dr Chen berkata pihaknya memberi sumbangan penting kepada ekonomi Kemboja untuk setanding maju dengan negara lain termasuk Malaysia sendiri.

“Saya ke sini (Kemboja) pada tahun 90-an sebagai sebahagian daripada program ‘Kemakmuran ASEAN’, iaitu ahli-ahli perniagaan dari Malaysia dan Singapura melabur di Kemboja untuk mempercepatkan kemajuan negara ini.

“Sejak itu, kami tidak menoleh ke belakang lagi dan bertapak kukuh di negara ini dengan memberi fokus utama kepada kemajuan dalam pelbagai bidang seperti Hotel Naga 1 dan Hotel Naga 2,” kata Dr Chen yang juga pemilik Nexus Resort Karambunai di Teluk Sepanggar Sabah.

Pada tahun 2016, syarikat menyumbang kira-kira 3% daripada KDNK nasional dan kira-kira 25% daripada KDNK sektor hotel dan restoran.

“Kami melatih lebih 20,000 lepasan sekolah di Akademi Naga kami sendiri di bawah pelbagai program untuk pekerjaan yang berkaitan dengan hospitaliti.

“Sehingga 30 Jun 2017, bilangan pekerja kami melebihi 7,000 orang dengan lebih 90% daripada mereka adalah orang Kemboja,” katanya.

Di Kemboja, Dr Chen adalah juga penasihat Perdana Menteri negara ini Hun Sen serta penasihat keluarga diraja Kemboja.

Beliau bukan seorang yang menggemari publisiti, bahkan temubual dengan wartawan dari Malaysia selepas taklimat media pelancaran Naga2 adalah yang pertama sejak 28 tahun lepas.

Perasmian Naga2 bulan lepas dilakukan sendiri oleh Menteri Pelancongan Kemboja Dr. Thong Khon bersama-sama 10 Duta ASEAN ke negara ini, termasuk Duta Malaysia ke Kemboja Datuk Seri Hasan Malek yang diberi penghormatan untuk sama-sama memotong reben perasmian.

“Pembukaan Naga2 adalah perayaan, bukan hanya untuk keluarga Nagaworld, tetapi untuk semua penduduk Kemboja,” kata Pengerusi NagaWorld Timothy Patrick McNally.

“Melalui projek kami dan rancangan masa hadapan, kami ingin memberitahu dunia masih ada kilauan emas di Sungai Mekong,” jelas bekas Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

Sedia kembang sayap ke benua lain

Mengenai masa hadapan syarikat Naga World di Kemboja, Dr Chen yakin syarikat beliau akan menjadi penggiat di liga global bagi sektor hospitaliti.

“Kami melihat kemungkinan untuk membangunkan Naga3, berikutan gelombang pelanggan dari China sebelum melebarkan sayap di pasaran luar berpotensi selain Kemboja dan di arena global,” katanya.

Kumpulan itu merancang untuk menembusi pasaran lain termasuk Rusia, Macau, Mongolia dan China.

Beliau berkata model perniagaan yang sama di Kemboja boleh diguna di rantau lain, terutama China dengan rekod keuntungan, pembayaran dividen tinggi serta ketiadaan halangan untuk menghantar balik modal atau keuntungan.

“Saya yakin kami boleh berjaya dan akan memberi lebih banyak sumbangan kepada ekonomi., Wawasan saya ialah Naga Dragon akan dapat berkembang ke China dan Mongolia Utara.

“Saya juga bangga untuk menyatakan yang baru-baru ini kami dijemput kerajaan Australia untuk berkongsi kejayaan kami. Saya beritahu mereka perkara yang sama yang kami tidak membina tugu tetapi pekerjaan dan mereka sukakan pendekatan kami.

“Jika kami berpendapat ia boleh dilaksana, kami akan menjalankan projek di Australia dengan menggunakan konsep yang sama yang kami gunakan di Kemboja,” tambahnya.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan pelaburan NagaWorld melibatkan RM6.35 bilion (AS$1.5 bilion).

Sumbangan Naga World di Kemboja pasti mengharumkan nama Malaysia selain seiring dengan dasar negara memakmurkan jiran.