Lelaki ini salahkan ‘digital download’ punca menjadi gelandangan

Lelaki-ini-salahkan-punca-menjadi-gelandanganfmt-ohsem-inside-article1Pernahkah kita berfikir nasib pihak yang bertungkus-lumus membikin sesebuah karya tetapi tidak berpeluang menerima sebarang hasil kerana perlakuan kita itu.

Terbaru, seorang lelaki, Mohd Danial Abdullah, berkongsi perbualannya dengan seorang gelandangan berbangsa India, dikenalinya sebagai Raj yang mengaku dirinya menjadi gelandangan akibat teknologi “digital download”.

Fasih berbahasa Inggeris, Raj yang akui bijak bermain peralatan muzik seperti seksafon, dram, gitar dan sebagainya namun berakhir hidup di jalanan selepas tidak mampu lagi “membuat duit” atau “mencari makan”.

“Uncle ini namanya Raj, seorang yang sangat ‘educated’. Seorang bekas pemuzik. Namun dia mendakwa ‘digital download’ memusnahkan kerjayanya.

“Uncle Raj sudah 5 tahun hidup sebagai gelandangan, isteri dan anak-anak sudah lama tinggalkannya. Oleh kerana tekanan hidup setelah ditinggalkan, Uncle Raj mula minum arak.

“Maknya hidup lagi dan masih di Melaka, setiap kali ‘contact’ mak dia, katanya kehidupannya di sini baik-baik saja,” tulis Danial yang pada mulanya tertarik dengan sikap saling membantu dan saling memerlukan sesama gelandangan.

Katanya, dia memulakan bicara dengan gelandangan tersebut, selepas dia memasuki kedainya di Jalan Chow Kit meminta tolong menghubungi ambulans kerana rakan gelandangannya muntah darah akibat berlebihan minum arak.

“Tanpa usul periksa, saya menghalau dia keluar dari kedai. Kebetulan pula ‘mood’ saya harini tak berapa nak elok,” tulisnya.

Bagaimanapun dia sedar kesilapannya selepas seorang wanita Cina membantu lelaki itu dengan menghubungi ambulans.

Danial segera keluar meminta maaf dan mula berbual dengan Raj dan mendapati betapa, dalam kalangan gelandangan, mereka saling membantu.

Katanya ketika sedang berbual, Raj didatangi seorang lelaki Indonesia yang menawarkan makanan.

Sebaik menerima makanan, Raj dikatakan meminta diri balik untuk membahagi makanan kepada rakan gelandangan lain.

“Walaupun susah, walaupun tak begitu senang, saya sedar, ada lagi yang lebih susah dari saya. Saya tidak boleh bongkak dengan apa yang saya ada.

“Uncle Raj yang hanya membawa satu ‘tote’ bag , dia masih fikirkan untuk mengagihkan sebungkus makanan yang dia dapat tadi. Apakah aku yang serba cukup ini sanggup menghalau seseorang keluar dari kedai hanya kerana dia seorang ‘homeless’?” tulis Danial mengakhiri statusnya.

Jadi, lain kali jika mahu muat turun lagu atau filem secara haram, ingatlah kisah ini agar perlakuan kita tidak merosakkan periuk nasi karyawan.