Limkokwing cetus fenomena dalam pendidikan Afrika

limkokwingfmt-ohsem-inside-article1Suasana kampus Limkokwing University of Creative Technology di Mbabane amat mengagumkan. Pelbagai rentak dan lagu daripada gandingan paluan kompang dan gendang Cina berkumandang memenuhi ruang udara mengalu-alukan kedatangan tetamu istimewa – Tan Sri Lim Kok Wing.

Sorakan ceria dan persembahan tarian tradisional sangat meriah menyambut kedatangan lelaki berwawasan yang menampakkan impak dalam mengubah landskap pendidikan di Afrika.

Berpakaian serba hitam yang menjadi identitinya – kemeja-T bercetak “Be The Best. Be A Limkokwing Graduate” yang dipadankan dengan celana hitam, kakitangan dan pelajar universiti bersorakan dan riuh dengan jeritan kegembiraan ketika pengasas yang juga presiden universiti itu berjalan keluar dari keretanya.

Lim dihormati khalayak sebagai lelaki berwawasan dan dianggap rakan negara-negara Afrika sejak beberapa dekad lepas.

Beliau yang juga Wakil Khas Perdana Menteri untuk Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) dikagumi, disayangi dan sangat dihormati di rantau ini kerana sifatnya yang sentiasa rendah diri dan wawasannya yang hebat.

Lim memberi impak dalam mengubah landskap pendidikan di beberapa negara Afrika dengan membuka kampus-kampus cawangan Limkokwing University.

Ubah lanskap pendidikan benua Afrika

Lim mula menerokai peluang pendidikan di benua Afrika ketika bekerjasama rapat dengan Nelson Mandela, bekas presiden Afrika Selatan dan pejuang kemerdekaan ikonik untuk menyediakan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) menghadapi pilihan raya bebas pertama negara itu pada 1993.

Beliau ditugaskan mencipta slogan pilihan raya ANC “A Better Life for All” serta mereka kerja seni poster pilihan raya untuk Mandela. Parti ANC pimpinan Mandela mendapat kemenangan besar. Kemudian, Mandela menulis surat penghargaan atas sumbangan Lim.

Pada 2005, Lim mencipta rangka tindakan untuk menubuhkan kampus pertama di Afrika selepas bertemu dengan pemimpin-pemimpin Afrika semasa Dialog Antarabangsa Langkawi di Malaysia.

Atas jemputan daripada kerajaan Botswana, Lim melancarkan kampus pertama Limkokwing University of Creative and Technology (Limkokwing University) Botswana di Fairgrounds Mall pada Mei 2007.

Tahun 2017 menandakan ulang tahun ke-10 Limkokwing University Botswana, kampus pertama cawangan universiti berkenaan di rantau Afrika Selatan. Kampus lain terletak di Lesotho, Swaziland dan Sierra Leone.

Sebagai antara jenama terkenal Malaysia bagi pendidikan antarabangsa di rantau Afrika, Limkokwing University Botswana melantik kira-kira 14,000 individu muda untuk pembangunan negara republik itu sejak 10 tahun lepas.

Hari ini, Limkokwing University adalah antara jenama Malaysia yang terkenal untuk pendidikan antarabangsa dan memainkan peranan penting dalam mengubah landskap pendidikan di rantau Afrika. Ia adalah satu daripada institusi pengajian tinggi yang paling inovatif dan kreatif di dunia yang bertapak di benua Afrika. Universiti ini melahirkan 22,000 graduan di benua Afrika.

Malaysia dalam peta pendidikan dunia

Pengarah Pemasaran dan Pengambilan Serantau bagi Limkokwing University, Marcia Mangadi berkata, “Malaysia dikenali melalui Tan Sri di benua Afrika”.

Beliau berkata, sejak penubuhan kampus pertamanya di benua ini, Limkokwing University Botswana membawa harapan kepada golongan miskin dan terpinggir dengan menyediakan pendidikan bertaraf dunia kepada rakyat di sini.

Tambah beliau, universiti itu menawarkan peluang unik kepada kanak-kanak Afrika untuk memperoleh ijazah dan diploma yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan menawarkan pendidikan inovatif dan kreatif serta pelbagai kemahiran industri bertaraf dunia.

“Generasi muda Afrika mendapat keyakinan dan tenaga yang luar biasa. Mereka menjalankan perniagaan baharu dalam industri kreatif yang agak baru di Afrika. Mereka juga menampilkan penyelesaian inovatif yang sesuai dengan komuniti mereka,” katanya kepada Bernama.

Kerjaya dalam industri kreatif hampir tidak ada di benua ini sebelum penubuhan universiti berkenaan, kata Marcia.

Bagaimanapun kini, berikutan penubuhan universiti kami, bidang penyiaran dan kewartawanan, penciptaan muzik dan bunyi, filem dan televisyen, multimedia kreatif, perhubungan awam dan pengurusan acara adalah antara industri yang pesat berkembang.

“Ia dipelopori oleh para pelajar dan siswazah universiti,” katanya sambil menambah dalam tempoh beberapa tahun, Limkokwing University memperluaskan pelbagai program komprehensif dalam pelbagai disiplin yang merangkumi kreatif, inovatif dan yang berkaitan dengan memanfaatkan kelebihan teknologi pintar dan teknologi digital terkini.

Beliau menambah Lim menaja beratus-ratus pelajar agar berpeluang mendapat pendidikan berkualiti di rantau ini.

Merujuk Lim sebagai pemimpin legenda, Marcia berkata beliau berkongsi dengan banyak kerajaan mengenai cara meningkatkan kualiti hidup melalui pemikiran kreatif dan inovatif di benua Afrika.

“Di samping itu, ramai pemimpin memandang tinggi terhadapnya untuk sebarang sokongan dan nasihat terutamanya mengenai pendidikan berikutan idea-ideanya yang di luar kelaziman membawa perubahan positif kepada masyarakat,” katanya.

Membangun modal insan Bostwana

Sementara itu, Lim mengakui berbangga kerana membawa dan mempromosi universitinya, yang jugan satu jenama Malaysia, ke benua Afrika.

Ditanya mengenai sebab-sebab beliau memberi perhatian kepada negara-negara Afrika, beliau berkata ketika universiti memutuskan untuk meneroka di luar Malaysia, “Semestinya, Afrika adalah tempatnya”.

“Kami bekerjasama rapat ketika kempen pilihan raya Mandela. Kami datang ke Botswana dan Lesotho ketika itu.

“Anda tentu akan pergi ke tempat-tempat yang sudah biasa. Jadi, secara semulajadi Afrika Selatan adalah tempatnya. Apabila berada di sini, kami rasakan dapat memberi sumbangan. Kemudian, komitmen dirasakan lebih kuat,” katanya.

Lim berkata kampus di Botswana kekal yang tertinggi kedudukannya dalam teknologi digital dan aplikasi.

Tambah beliau, graduan universiti itu juga mennyertai hampir setiap industri di Botswana dan negara-negara sekitarnya.

“Sebagai contoh, lebih 60% graduan Limkokwing diambil bekerja oleh Botswana Television. Mereka terlibat dalam setiap aspek perniagaan itu terutamanya dalam menyediakan kandungan bagi stesen televisyen itu,” katanya.

Mandat sediakan sumber manusia

Lim berkata universiti itu akan terus memenuhi mandatnya untuk menyediakan keperluan sumber manusia negara berkenaan.

“Para siswazah itu bersedia untuk membuat perubahan dalam industri di negara ini dan meletakkan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi dalam usaha ke arah perubahan. Mereka dilihat sebagai generasi pemimpin kreatif dan inovatif Botswana,” katanya.

Lim berkata penubuhan kampus universiti di benua ini membantu menghalang pengaliran keluar bakat-bakat sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat.

Beliau berkata negara-negara seperti Botswana banyak kehilangan bakat-bakatnya kerana mereka bukan sahaja belajar di luar negara malah kemudiannya akan menetap di negara berkenaan.

“Kini ribuan graduan tinggal kekal di negara sendiri. Lebih penting mereka yang terus tinggal di sini akan dapat membangunkan negara ini,” kata Lim.