Mufti Mesir larang Bitcoin, bertentangan dengan Islam

bitcoinfmt-ohsem-inside-article1Penggunaan bitcoin dalam urusan jual beli semakin diguna pakai dalam dunia perdagangan dan komersial.

Pelbagai pihak mula menggunakan Bitcoin secara aktif sehingga mencetuskan fenomena baharu dalam dunia kewangan.

Namun, di Mesir lain pula ceritanya apabila mufti besarnya melarang penggunaan Bitcoin selain memberi amaran mata wang maya itu boleh digunakan untuk kegiatan jenayah.

Shawqi Allam dalam keputusannya berkata, Bitcoin bertentangan dengan Islam dan boleh menimbulkan “risiko tinggi kepada individu dan negara.”

“Ini kerana, penggunaanya boleh menjadi sumber kewangan yang stabil dan selamat untuk pengganas dan kumpulan jenayah,” katanya.

Pengeluaran mata wang adalah “hak mutlak” institusi kewangan dan “satu daripada fungsi paling khusus sesebuah negara,” katanya.

Mengambil kira aspek itu, beliau tidak mengiktiraf penggunaan Bitcoin yang merupakan wang maya hasil kod komputer.

Ia dan mata wang maya lain menggunakan ”blockchain” yang mencatatkan transaksi dan dikemas kini dalam masa nyata pada lejar dalam talian dikendalikan oleh rangkaian komputer.

Nilainya melonjak setinggi AS$19,500 (RM77834.25), Disember lalu daripada kira-kira $1,000 (RM3991.50) pada Januari 2017.

Bagaiamanapun, laporan terbaru mencatat penurunan nilai Bitcoin sejak beberapa siri amaran daripada kerajaan dan penganalisis berhubung risiko dan ketidaktentuan kriptografi.

Negara Jepun misalnya mula menggunakan Bitcoin secara aktif dan pengasas Facebook, Mark Zukerberg juga tidak menafikan penggunaannya dalam urusan laman sosial tersebut pada masa depan.