Siti dedah jantina anak, seorang puteri

siti-nurhaliza-mengandungfmt-ohsem-inside-article1Penyanyi dan selebriti nombor 1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza membuat kejutan dengan mengumumkan jantina kandungan anaknya sebagai perempuan.

Pengumuman itu dibuat semalam ketika Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menganjurkan acara makan malam sempena ulang tahun kelahiran Siti yang ke-39 tahun.

“Saya rasa perkara paling bermakna pada saya ialah zuriat yang bakal dilahirkan InsyaAllah pada Mac nanti.

“Doktor telah mengesahkan kandungan Siti merupakan seorang puteri. Doakan puteri kami sihat sempurna dan jadi anak yang solehah,” kata Siti dan suami dalam rakaman video itu.

Perkongsian berita gembira itu ternyata disambut positif oleh peminat penyanyi ini yang tidak putus-putus berteka-teka mengenai jantina anaknya selepas beliau mengumumkan kehamilannya 13 Oktober lalu.

Sebelum ini, pada November lalu, para pengikut laman sosial Siti meneka anak dalam kandungannya adalah perempuan selepas mendengar perbualan beliau dan doktor yang dimuatnaik dalam laman Instagram penyanyi itu.

Namun, oleh kerana Siti tidak membuat sebarang pengakuan rasmi, ia masih menjadi tanda tanya.