Didik rakyat capai sisa sifar

food-wastefmt-ohsem-inside-article1Meminimumkan sisa buangan sehingga ke tahap sifar mungkin sesuatu yang dianggap mustahil. Ini terutamanya melihat kepada keadaan masyarakat moden yang mudah terpengaruh dengan pelbagai tawaran produk pengguna dan perkhidmatan.

Seiring dengan aspek kepenggunaan, timbul pula isu sisa serta masalah seperti kemudahan untuk pembuangan sisa berlebihan, pencemaran, kemusnahan alam sekitar dan sebagainya.

Bagaimanapun, semuanya ini tidak menjadi hal bagi Bea Johnson dan keluarganya dari California, Amerika Syarikat. Keluarga ini membuktikan hanya satu botol kaca diperlukan untuk memasukkan sisa buangan yang terhasil dalam 365 hari!

Paling menakjubkan mereka berbuat demikian sejak 2008.

Bea, pengasas Global Zero Waste Movement, kini menjadi ikon gaya hidup sisa sifar di seluruh dunia berikutan semangat serta usaha beliau dalam membantu mengurangkan sisa di bumi dan mewujudkan persekitaran yang mampan untuk generasi akan datang.

Sisa sifar seperti yang ditakrifkan oleh Zero Waste International Alliance adalah matlamat utama dalam mendidik masyarakat untuk mengurang, mengguna semula dan mengitar semula sumber yang tidak diperlukan supaya sisa itu dapat digunakan untuk tujuan lain atau dikembalikan kepada bentuk asalnya.

Ubah tabiat penggunaan

Sama ada makanan, pakaian, barangan koleksi, produk kebersihan diri dan segala-galanya dalam kehidupan seharian, Bea memastikan setiap keperluan mesti bebas sisa. Kehidupan bebas sisanya adalah hasil daripada percubaan selama setahun untuk mempermudahkan perkara yang sesuai dengan gaya hidupnya.

Segalanya bermula pada 2006 apabila keluarganya berpindah ke pusat bandar California. Dengan adanya kemudahan termasuk ke kedai runcit, restoran dan sekolah, mereka hanya perlu berjalan atau menaiki kenderaan atau dalam kata lain, menjalani kehidupan yang mudah dan ringkas.

“Sebelum berpindah ke rumah baru (sekarang) di Mill Valley, California, kami menyewa sebuah pangsapuri kecil selama setahun dengan hanya membawa bersama beberapa barangan. Tidak lama kemudian, kami menyedari hidup dengan sebilangan kecil barangan boleh membantu kami menjimatkan lebih banyak masa dengan diri sendiri, keluarga dan rakan-rakan.

“Setelah mengurangkan dan meletakkan kebanyakan barang dalam stor selama setahun, kami tidak terasa akan kekurangan 80% daripada barangan yang kami pernah miliki. Kami seterusnya memutuskan untuk menjual barang yang tidak diperlukan itu dan akhirnya beralih ke arah kehidupan sisa sifar,” katanya kepada pemberita selepas berkongsi pengalaman 10 tahun sisa sifar ketika Zero Waste Fest, baru-baru ini.

Sehingga kini, gaya hidup sedemikian membawanya ke lebih 30 negara termasuk Malaysia dengan berkongsi kemahiran bebas sisa dan memupuk inspirasi kepada orang lain mengenai amalan sisa sifar.

Ibu kepada 2 anak lelaki ini juga menulis buku Zero Slaughter Home: The Ultimate Guide to Simplify Your Life by Reducing Waste, yang diterjemahkan kepada 17 bahasa termasuk bahasa Inggeris, Korea, Jepun dan Sepanyol.

Amalan 5R

Sementara kebanyakan orang berpendapat kitar semula adalah penyelesaian utama untuk pengurusan sisa yang lebih baik, Bea dan keluarganya melihat kitar semula sebagai usaha terakhir. Mereka percaya sisa sifar bukan soal kitar semula lebih banyak sisa tetapi sebaliknya, iaitu mengitar semula paling sedikit sisa dan paling utama dan yang pertama untuk dilakukan adalah dengan menghalang sisa daripada masuk ke rumah.

Beliau menambah, orang ramai perlu mengikis idea salah mengenai sisa sifar mereka perlu mengitar semula lebih banyak sisa sedangkan hakikatnya adalah amalan sisa sifar mengajar orang ramai untuk menjalani kehidupan yang ringkas dan mengurangkan sisa isi rumah sebanyak mungkin.

“Kami mendapati menyingkirkan barang-barang adalah agak mudah mengikut peraturan 5R – iaitu menolak apa yang tidak diperlukan, mengurangkan apa yang diperlukan, mengguna semula dengan membeli barangan terpakai dan menukar barangan pakai buang dengan yang boleh diguna semula, kitar semula barangan yang tidak boleh dibuang, atau kurangkan, atau guna semula dan akhir sekali adalah mengompos sisa buangan seperti makanan.

Beliau juga menggalakkan orang ramai agar membeli barangan tanpa pembungkusan dan memilih barangan terpakai selain membeli barangan pengguna secara pukal dengan membawa bersama bekas seperti balang kaca, kain atau beg jinjing.

“Selain itu, anda patut berhenti menerima barangan percuma kerana penggunaan bukan bermakna hanya dengan membeli tetapi juga barangan yang diberikan kepada kita. Bagi saya, menerima tiada beza dengan membeli,” katanya.

Sisa sifar masa depan Malaysia

Kagum dengan maklumat balas menggalakkan daripada orang ramai ketika Zero Waste Fest yang dianjurkan badan bukan kerajaan, Malaysia Zero Waste, di sini, Bea berkata terdapat kemungkinan besar rakyat Malaysia akan menjadi masyarakat sisa sifar asalkan mereka mengikut cara yang betul.

“Peraturan 5R yang saya cadangkan boleh diguna pakai di mana-mana di seluruh dunia dan boleh disesuaikan dengan peraturan mengikut adat, budaya atau agama serantau. Terpulang kepada orang ramai untuk memikirkan mana yang sesuai dengan mereka dan mengamalkan peraturan itu mengikut kesesuaian.

“Di Malaysia, saya melawat pusat kitar semula dan sangat kagum dengan usaha pengurusan kitar semula. Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu menunggu kerajaan atau mana-mana pengeluar untuk memulakan usaha ini. Individu itu sendiri perlu bertindak,” katanya.

Pesta pertama tanpa sisa

Pengasas Malaysia Zero Waste, Aurora Tin berkata, inisiatif Malaysia First Zero Waste Fest diadakan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengurangkan sisa harian selain bertujuan mendedahkan masyarakat kepada pelbagai perniagaan yang mengamalkan sisa sifar.

Acara yang diadakan di Slate @ The Row, di sini dan menampilkan Bea sebagai anggota panel motivasi, pameran mini sisa sifar, bengkel dan lebih daripada seratus produk sisa sifar yang dijual oleh 15 vendor tempatan dan antarabangsa.

Antara produk sisa sifar yang diperkenalkan dan dijual di pesta itu adalah sabun cecair pekat pelbagai guna yang diperbuat daripada minyak masak yang sudah digunakan; lampin wanita yang boleh dibasuh; straw untuk menyedut minuman daripada buluh dan losyen organik.

“Di sepanjang berlangsungnya pesta ini, orang ramai digalakkan membawa pembungkus atau bekas yang boleh diguna semula untuk membeli semua produk di sini, dan hanya sampah kitar semula dan tong sampah kompos yang disediakan.

Pesta sehari itu menarik kira-kira 1,000 pengunjung, melebihi sasaran asal, dan bagi Tin, ia adalah petunjuk rakyat Malaysia sudah bersedia untuk mengamalkan sisa sifar dalam kehidupan seharian dan ia juga akan mengubah corak perniagaan dalam tempoh 5 tahun akan datang.

“Jika permintaan untuk produk sisa sifar meningkat, saya rasa lebih banyak pengeluar industri akan bergabung untuk menghasilkan lebih banyak barangan sisa sifar dan mungkin membawa kepada perniagaan yang mampan pada masa akan datang.

“Dalam jangka panjang, mungkin tiada pembungkusan untuk semua produk di pasaran dan ini adalah berita baik untuk menyelamatkan kesihatan kita, melindungi alam sekitar dan alam semulajadi,” katanya.

Tambah beliau, pada 2017, Malaysia Zero Waste memulakan ‘Zero Waste Pasar Malam Shopping Tour’ dengan mengundang orang ramai untuk membawa beg masing-masing untuk membeli-belah dan mengadakan perkelahan sisa sifar di KLCC.