Drama lakonan Farid Kamil ‘trending’ selepas ditahan polis

farid-kamilfmt-ohsem-inside-article1Sebut sahaja nama Datuk Farid Kamil, hanya isu beliau ditahan selepas menyerang polis dan orang awam serta ujian positif ganja yang melintasi di fikiran semua.

Tetapi tahukah anda, pada hari-hari beliau berdepan kontroversi, drama “Lafazkan Kalimah Cintamu” lakonannya yang dimainkan di saluran Astro “trending” di laman Twitter?

Menurut laporan Harian Metro, drama adaptasi novel itu sedang hangat “trending” dengan hashtag #lafazkankalimahcintamu menerima lebih 40,000 tweet pada hari pertama siaran.

Ia dikaitkan dengan sokongan para penonton dan peminat kepada Farid yang juga suami kepada pelakon Datin Diana Danielle tatkala berdepan situasi sukar.

Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, pihaknya langsung tidak menjangka drama tersebut “trending” dan menerima sambutan luar biasa daripada penonton pada hari pertama lagi.

Malah waktu drama itu disiarkan juga dikatakan berlaku secara kebetulan.

“Kami amat berbesar hati dan berterima kasih kepada penonton yang memberi sokongan dan maklum balas positif terhadap drama ini.

“Biarpun pelakon utamanya berdepan ujian besar, peminat terus memberikan sokongan terhadapnya. Diharapkan sokongan peminat untuk terus memartabatkan drama Melayu khususnya naskhah yang ditayangkan di Astro,” katanya petik akhbar itu.

Filem itu turut dibintang Nelydia Senrose, Azhar Sulaiman dan Adibah Noor.

Drama “Lafazkan Kalimah Cintamu” arahan Along Kamaludin disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria 104 dan Ria HD 123.

Buat masa ini, Farid dibebaskan dengan jaminan polis sebanyak RM12,000 di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, selepas ditahan reman selama 5 hari.