Pada cuti persekolahan hujung tahun baru-baru ini, penulis berkesempatan ke negeri paling kecil di Malaysia, Perlis setelah hampir 20 tahun tidak menjejakkan kaki ke sana.
Kedatangan ke negeri indera kayangan hampir 2 dekad dahulu bukan lawatan biasa atau bercuti sebaliknya untuk menyertai satu misi ekskavasi arkeologi di tapak Kota Kayang yang kini dijadikan kompleks sejarah yang menempatkan Muzium Sejarah Kota Kayang.
Sebagai pelajar bidang arkeologi, pengalaman menyertai ekskavasi atau carigali di tapak sejarah adalah pengalaman yang begitu berharga. Kami bukan sahaja membantu mendalami tugas sebagai kurator tetapi juga perlu memahami setiap aspek kajian di tapak ekskavasi sepanjang tempoh 2 minggu berada di sana.
Pada percutian kali ini, penulis kembali ke tapak Kota Kayang yang letaknya kira-kira 5km dari Kuala Perlis dengan membawa kembali memori indah ekskavasi yang dijalankan pada 1998. Ekskavasi berkenaan diketuai Kurator Arkeologi Lembah Bujang, Merbok, Kedah, Allahyarham Drs Mohd Supian Sabtu. Ekskavasi yang dijalankan selama 2 tahun dari 1997 dan berakhir pada 1998 itu berjaya membongkar sejarah kewujudan tapak kota istana yang menjadi tempat bersemayam keluarga diraja Kedah-Perlis yang dikenali Kota Indera Kayangan.
Ini berdasarkan fakta peninggalan sejarah di sekitar kawasan di sini terutama dengan adanya Makam Sultan Dhiauddin al-Mukarram Shah 1 (1661-1687) selain artifak lain yang ditemui.
Walaupun dibuka kepada orang ramai sejak September 2001 namun kedatangan pengunjung ke Muzium Bersejarah Kota Kayang boleh dikatakan masih belum memberangsangkan.
Mengimbau kenangan di Kota Kayang
Pemandangan hijau dilatari bukit batu kapur yang cukup tenang dan menyegarkan mata menyambut kedatangan penulis di Muzium Kota Kayang. Sambil cuba mengingati setiap kawasan di sini, penulis bagaimanapun tidak dapat mengenalpasti tapak ekskavasi kerana keadaannya berubah dengan binaan muzium yang tersergam indah.
Namun apa yang pasti, penulis masih ingat ekskavasi itu dilakukan di atas kawasan berlumpur seperti kawasan bendang. Walaupun pernah mengikuti ekskavasi di tempat lain seperti di dalam kawasan gua, di dalam kebun serta tanah lapang, cabaran ketika mengikuti carigali di sini sangat berbeza dan lebih mencabar.
Kawasannya yang berselut dan berair menyebabkan kami lebih kurang 30 orang termasuk dari Muzium Negara, pelajar Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kumpulan penyelidik terpaksa masuk ke dalam kawasan berair hingga ke paras pinggang ketika mencari artifak sejarah yang ditinggalkan di dalamnya.
Paling banyak ditemui ketika itu serpihan tembikar yang diperbuat daripada tanah liat. Penulis sendiri masih ingat bagaimana gembiranya kami setiap kali menemui artifak sepanjang proses carigali berlansung dan yang paling tidak dilupakan apabila beramai-ramai menjerit apabila berjaya menemui kepingan mata wang berbentuk duit syiling.
Itulah kepuasan berada di lapangan ketika proses carigali dan setiap kepayahan menemukan artifak itu perlu dihargai peninggalan sejarahnya. Ini kerana melalui kepakaran bidang arkeologi bukan sahaja kita dapat mengetahui sejarah lampau tetapi juga mengetahui kebudayaan dan cara hidup masyarakat dahulu.
Keunikan Muzium Kota Kayang
Menurut pegawai Muzium Kota Kayang, Zaidi Harun, tapak ekskavasi itu dijadikan kawasan tempat letak kenderaan untuk kemudahan pengunjung yang datang ke Muzium Kota Kayang.
Penemuan artifak semasa ekskavasi tersebut pula disimpan dan dipamerkan di dalam galeri utama muzium.
Kota ini dibina dibina di kawasan yang dikelilingi bukit terdiri daripada Bukit Papan, Bukit Kubu, Bukit Tok Poh, Bukit Lambung Panah, Bukit Nasi Sebungkus, Bukit Besi Hangit, Bukit Lagi dan Bukit Menara. Kawasan ini terletak di dalam mukim Kayang iaitu berhampiran terusan buatan manusia tertua di Semenanjung yang dikatakan menjadi laluan pengangkutan antara Kota Kayang, Kuala Perlis dan Alor Setar.
Melalui kajian ditapak ekskavasi ini, lebih 350 tahun dahulu terdapat sebatang sungai yang mengalir di kawasan itu namun kedudukannya berubah 100 meter dari bangunan Muzium yang ada sekarang. Zaidi memberitahu Bernama, kedudukan Kota Kayang sebagai pusat pemerintahan satu ketika dahulu sangat strategik kerana terletak di kaki bukit kapur yang dijadikan kubu pertahananan bagi menghalang serangan musuh.
Nama Kota Indera Kayangan dipercayai diambil bersempena gelaran yang sering digambarkan oleh Sultan Dhiauddin Al-Mukarram Shah yang sering mengungkapkan perkataan ‘’kayang” bagi merujuk kota tersebut seperti “kayangan”. Di dalam kota terdapat sebuah istana tempat baginda bersemayam manakala berdekatannya pula terdapat rumah pembesar utama iaitu Temenggung dan Bendahara.
Di Makam al-Marhum Kayang Pertama, pengunjung dapat melihat kecantikan batu-batuan pada dinding bukit dengan kehijauan tumbuh-tumbuhan di sekitarnya.
Pembinaan bangunan muzium pada 1999 diasaskan mengikut seni bina rumah Melayu dengan bumbung panjang rumah Perlis. Bahagian luar dindingnya dilengkapkan dengan kelarai diperbuat daripada buluh yang biasa terdapatdi rumah tradisional Melayu di Perlis.
Landskap yang indah
Pengunjung bukan sahaja berpeluang menyaksikan artifak sejarah serta maklumat mengenai negeri Perlis tetapi boleh juga berehat sambil menikmati kecantikan landskap semulajadi yang di sekeliling bangunan muzium ini.
Di bahagian kiri menuju ke makam al-Marhum Kayang Pertama, pengunjung dapat melihat kecantikan batu-batuan pada dinding bukit dengan kehijauan tumbuh-tumbuhan di sekitarnya. Mereka juga boleh mendaki anak tangga yang dibina untuk melalui kawasan berbukit di bahagian belakang muzium sambil melihat pemandangan yang begitu mendamaikan.
Tarikan lain adalah Gua Kayang dan perigi diraja yang boleh dikunjungi di sekitar muzium. Muzium Kota Kayang dibahagikan kepada 6 galeri iaitu galeri sejarah, galeri arkeologi, galeri senjata, galeri Diraja, galeri kebudayaan dan galeri Menteri Besar Perlis.
Terdapat 300 koleksi arkeologi dan kebudayaan seperti pertanian, alat muzik, pembuatan senjata keris, parang dan pedang, permainan tradisi, perusahaan membuat makanan dan juga pertukangan.
Koleksi arkeologi mempamerkan catatan penemuan arkeologi di Perlis di samping paparan gambar sewaktu diadakan ekskavasi di Kota Keran, Kota Indera Kayangan.
Selain artifak yang ditemui di Kota Kayang, turut dipamerkan tembikar tanah zaman Neolitik yang merupakan sebahagian peralatan pengebumian pada zaman tersebut.
Selain itu terdapat juga koleksi istimewa yang dipamerkan antaranya Watikah Penghargaan daripada Raja Chulalongkorn kepada pemerintah Perlis, Raja Syed Hussein.
Masih kurang dikunjungi
Walaupun dibuka kepada orang ramai sejak September 2001 namun kedatangan pengunjung ke Muzium Bersejarah Kota Kayang boleh dikatakan masih belum memberangsangkan. Ini mungkin kerana kedudukannya yang terletak agak jauh dari bandar Kangar iaitu kira-kira 7km menyebabkan tidak ramai yang mengetahui kewujudan muzium ini melainkan masyarakat setempat.
Menurut Zaidi, pihaknya mensasarkan kedatangan pengunjung pada tahun lepas sekitar 60 ribu orang namun yang datang hanya 53,132 orang sahaja. Pihak muzium katanya sentiasa menggiatkan promosi melalui internet termasuk media sosial untuk memastikan kawasan tersebut menjadi salah satu tempat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara
“Untuk tahun ini kami merancang 5 program bagi mempromosi dan menggalakkan kedatangan lebih ramai pelawat ke muzium untuk mencapai sasaran pelawat 60 ribu orang tahun ini.,” katanya yang berharap peningkatan itu akan membantu masyarakat dalam dan luar negara mengenali Perlis secara keseluruhannya.