#NoHijabDay terima pelbagai reaksi

muslim-womanfmt-ohsem-inside-article1Sejak diperkenalkan pada 2013, Hari Hijab Sedunia menerima sambutan seluruh dunia. Tidak kiralah sama ada dalam kalangan warga Islam mahupun sebaliknya.

Sambutan tersebut juga dikatakan melonjakkan pasaran perniagaan tudung dunia dari segi komersial.

Pemakaian tudung yang dikaitkan dengan keperluan agama khususnya bagi wanita Islam kini menerima tentangan menerusi kempen #NoHijabDay, terutama di negara yang mewajibkan pemakaian tudung.

Menurut portal Stepfeed, wanita Islam di Timur Tengah melancarkan #NoHijabDay sebagai saingan kepada Hari Hijab Sedunia dan menyokong wanita yang dipaksa memakai tudung bebas daripada peraturan itu.

Laporan itu menambah, kontroversi pemakaian tudung dalam sesetengah masyarakat dikatakan menekan kebebasan wanita, justeru ramai yang tampil dengan #NoHijabDay di laman sosial dengan memuatnaik rakaman mereka menanggal dan membakar tudung mereka.

Pengamal dan penyokong #NoHijabDay ini menyuarakan solidariti kepada wanita yang memakai tudung atas dasar paksaan khususnya menggunakan insiden protes anti hijab di Iran baru-baru ini.

Dalam insiden itu, pihak penguatkuasaan Iran menahan 29 wanita kerana menanggalkan tudung di tempat awam sebagai protes terhadap peraturan mewajibkan pemakaian tudung di republik Islam itu.

“#NoHijabDay Ya, saya dipaksa memakai tudung, bukan sahaja oleh ahli keluarga tetapi di sekolah. Kami terpaksa memakainya, jika tidak, akan diberikan markah rendah. Kini tidak lagi. Saya rasa sangat bebas. Tudung bukan simbol liberalisasi, ia simbol penindasan.” tulis pengguna Twitter bernama Anoud.

nohijabday-1

Manakala wanita bernama Marwa Ai pula menulis, “Saya pernah ditampar, disepak keluar dari kereta keluarga, dikunci bersendirian di rumah dan banyak lagi sejak berusia 9 tahun kerana enggan memakai tudung. Jadi saya sokong 100% #NoHijabDay. Anda tidak tahu apa berlaku di sana!” tulisnya.

nohijabday-2

Namun, bukan semua menyokong #NoHijabDay atau menganggap amalan pemakaian tudung dalam kalangan wanita Islam menekan atau simbol penindasan.

Ramai tampil mempertahankan World Hijab Day sebagai sambutan mengiktiraf budaya dan kebebasan beragama dalam kalangan wanita Islam yang secara sukarela memilih berhijab.