Gooddeeds, usaha murni yang bermula dengan RM20

Ibu bapa mengakui terdapat perubahan positif dalam kalangan kanak-kanak selepas menghadiri pelbagai kelas tambahan di sini.
Ibu bapa mengakui terdapat perubahan positif dalam kalangan kanak-kanak selepas menghadiri pelbagai kelas tambahan di sini.

fmt-ohsem-inside-article1

Bermula dengan RM20, beliau kini aktif membantu golongan memerlukan terutamanya membimbing pembelajaran anak asnaf.

Menceritakan penubuhan Kelab Gooddeeds Kedah (Gooddeeds), pengasasnya Fariza Ahmad Yasifon, 39, memberitahu bahawa badan bukan kerajaan (NGO) itu bertitik tolak daripada Gooddeeds Malaysia yang ditubuhkannya bersama-sama 2 rakan ketika tinggal di Kuala Lumpur beberapa tahun lepas,.

Segalanya bermula ketika beliau dan rakan-rakannya itu menghadiri seminar 4 hari yang disertai lebih 2,000 peserta. Sewaktu rehat mereka mendapati makanan yang dijual sangat mahal.

“Satu pek kecil bihun bodoh (kosong) berharga RM7.50, kuih seketul antara 80 sen dan RM1.20. Kami masing-masing mengeluarkan RM20. Dengan RM60, kami beli kuih-muih dari tempat lain dan mengagihkannya kepada para peserta.

“Begitulah hari-hari berikutnya. Memang sumbangan itu terlalu kecil berbanding jumlah peserta tapi itu saja yang kami mampu,” katanya kepada Bernama.

Selepas beberapa aktiviti kebajikan, usaha mereka tidak dapat bertahan kerana dana amat terhad, sedangkan banyak kerja-kerja kebajikan perlu dilakukan. Lama-kelamaan kedua-dua rakannya ‘tawar hati’ dan menarik diri.

Balik dan berbakti di kampung

Terfikirkan ada baiknya menyambung hasrat menyumbang tenaga dan berbakti di kampung halaman, Fariza yang berkelulusan Sarjana Muda Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu nekad pulang ke Alor Setar pada 2015.

Sebaik saja kembali, beliau tidak membuang masa lalu menganjurkan tuisyen untuk pelajar tahun 6 yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Tuisyen itu untuk budak-budak yang dilabel sebagai GALUS iaitu gagal-lulus, yang selalu dapat E dan F.

“Mereka dari keluarga miskin, ibu bapa nelayan atau pesawah di tanah orang. Ada yang hidup dengan latar belakang sosial tidak sihat,” katanya yang pernah menjadi guru pengganti di sekolah menengah selepas tamat pengajian di UIAM.

Selesai kelas UPSR itu, Fariza memperkenalkan Klass of Hope, khusus untuk kanak-kanak asnaf. Pada masa sama beliau mendaftarkan Gooddeeds.

“Kelas itu dihadiri 12 kanak-kanak berusia antara 7 hingga 10 tahun, kelas selama 3 jam setiap Jumaat, dan beberapa kali seminggu pada musim cuti sekolah dengan bantuan 2 sukarelawan.

“Kelas merangkumi membaca dan menulis khas untuk kanak-kanak yang ketinggalan dalam pembelajaran, dan kelas pengukuhan Bahasa Inggeris,” jelas beliau sambil menambah bahawa kanak-kanak itu turut dilatih bersolat.

Ikut kaedah sendiri

Bercerita lanjut, Fariza berkata, “Saya bernasib baik kerana mendapat kerjasama guru sekolah itu yang sangat memahami keperluan kanak-kanak ini. Setelah mengenal pasti murid yang sesuai, saya bertemu dengan ibu bapa agar memberi sokongan kepada anak masing-masing.

“Nampaknya kanak-kanak ini memang mahu belajar. Kami mengajar ikut kaedah sendiri agar mereka mudah faham, kami cari sumber sendiri sebagai alat bantu mengajar,” jelas Fariza.

Mungkin agak sukar mempercayai kelas-kelas berkenaan adalah percuma, namun itulah hakikatnya.

Malah, bagi memastikan kanak-kanak itu hadir ke kelas, Gooddeeds turut menyediakan perkhidmatan bas sekolah dari sekolah ke premis Gooddeeds di Kompleks Persiaran Sultan Abdul Hamid, kira-kira 15 kilometer dari sekolah berkenaan.

“Kami juga menyediakan makanan untuk kanak-kanak ini kerana sering mendapati kebanyakan mereka kelaparan ketika menghadiri kelas,” kata Fariza.

Tidak mustahil

Selain itu, dengan sumbangan orang ramai, Gooddeeds turut membantu menyediakan keperluan sekolah menjelang sesi baharu persekolahan selain keperluan harian keluarga asnaf terutamanya di sekitar Alor Setar.

Mengakui tidak mudah untuk menggerakkan sebuah badan sukarela, Fariza yang pernah bertugas sebagai wartawan menegaskan, ianya tidak mustahil dan yakin selagi ada kemahuan, pasti ada caranya.

Ketika mengunjungi Gooddeeds, penulis terlihat seorang kanak-kanak tekun membaca di satu ruang. Mulutnya mengumat-ngamit namun suaranya tidak kedengaran.

“Ini Adam (bukan nama sebenar). Adam rajin datang tuisyen,” kata Fariza, memperkenalkan kanak-kanak itu.

Adam bangun lantas untuk bersalaman namun kepalanya semakin merunduk. Adam berusia 8 tahun dan menghadapi masalah pembelajaran.

Kami ke bilik sebelah yang agak riuh dengan suara kanak-kanak sedang membaca. Masing-masing bangun dan bersalaman dengan penulis.

Yakin dengan kemampuan Gooddeeds

Sementara itu, guru SRK Alor Setar, Intan Shafinaz Che Hasan, 38, yang merujuk kanak-kanak untuk Klass of Hope, yakin akan kemampuan Gooddeeds.

Tambah beliau, Gooddeeds bukan sahaja memberi tuisyen percuma malah turut membentuk pekerti kanak-kanak itu.

Kebanyakan pelajar hanya mengharapkan pembelajaran di sekolah memandangkan ibu bapa mereka sibuk bekerja manakala ada ibu bapa yang tidak berpelajaran.

“Kebanyakan kanak-kanak ini tidak masuk kelas tadika, jadi ketinggalan apabila bersekolah. Mereka juga tidak mampu mennyertai tuisyen berbayar,” jelas beliau.

Sebagai guru yang bertanggungjawab memilih para pelajar untuk Klass of Hope, Intan Shafinaz mengakui terdapat perubahan dalam kalangan kanak-kanak bimbingan Fariza.

Contohnya, Adam, antara pelajar Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) tegar menampakkan perubahan, walaupun agak lambat dalam pembacaan dan penulisan, sikapnya semakin terbuka.

Murid-murid yang ditempatkan di Kelas Pemulihan/Linus/ Linus Tegar adalah yang dikenalpasti mempunyai halangan tertentu dalam pembelajaran.

Cara mendidik tidak sama dengan murid aliran perdana kerana mereka memerlukan khidmat pakar guru-guru pendidikan khas/pemulihan.

Malu minta bantuan

Bapa kepada Adam, Abdul Rahman (bukan nama sebenar), 36, berkata pendidikan anak sentiasa menjadi keutamaannya demi masa hadapan mereka.

Mengakui tidak berpendidikan tinggi, Abdul Rahman menegaskan akan cuba sedaya upaya memastikan pendidikan anak tidak diabaikan.

Ditanya mengenai Adam, beliau memberitahu bahawa ketika di rumah, anaknya itu seperti juga kanak-kanak lain yang ceria, malah selalu berusaha menyiapkan tugasan sekolah.

“Saya belajar setakat Tingkatan 1, tak pandai nak ajar anak. Nasib baik ada ‘teacher’ Fariza. Anak saya memang suka pergi tuisyen di situ.

“Kalau nak hantar ke tuisyen berbayar memang saya tak mampu,” tambah bapa kepada 2 anak itu.

Bagi memastikan mempunyai masa untuk menghantar dan menjemput anak ke sekolah dan tuisyen, Abdul Rahman melakukan kerja-kerja yang membolehkannya berbuat demikian.

Walaupun tidak boleh melakukan kerja-kerja berat akibat kecederaan tulang belakang beberapa tahun lepas, Abdul Rahman tidak pernah meminta sebarang bantuan kerana katanya, “Segan (malu) nak minta bantuan, saya masih ada tenaga dan boleh kerja. Cukuplah makan seadanya, paling penting pelajaran anak.”

Masih boleh bertahan

Fariza berhasrat menyebarluaskan tuisyen percuma kepada lebih ramai kanak-kanak asnaf, namun berdepan masalah tenaga pengajar sukarela.

Gooddeeds juga menganjurkan Bengkel Kemahiran Belajar untuk anak asnaf yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

Bengkel itu percuma tetapi tertakluk pada syarat-syarat iaitu hanya pelajar yang sentiasa mendapat gred C,D,E,F layak menyertainya. Ibu bapa perlu menghubungi Gooddeeds.

Demi menjamin kesinambungan aktivitinya, Gooddeeds tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai, sebaliknya turut menawarkan tuisyen dengan bayaran minimum.

“Untuk menjana pendapatan bagi menampung pelbagai aktiviti kebajikan, kami menubuhkan GDees17 Learning Centre dan menyediakan kelas-kelas Bahasa Inggeris, Seni dan Kraf, Adik Ngaji (Iqra dan Jawi), homework tutoring, dan kelas belajar membaca.

“Gooddeeds masih bertatih tapi kami ingin terus membantu yang memerlukan,” kata Fariza sambil menambah bahawa kedudukan kewangan kelab itu buat masa ini masih boleh bertahan untuk kumpulan kecil pelajar Klass of Hope.