Sikap membuli di media sosial semakin luar kawalan

social-media

fmt-ohsem-inside-article1“Eh kenapa pakai ‘veil’ macam tu? Dah macam roti tisu kedai mamak!”

“Gemuk dan gelapnya pengantin lelaki, tak sangka perempuan tu ‘taste’ kat dia, ni mesti sebab harta”.

“Sudah-sudahlah menunjuk tu, meluatlah tengok. Macam dia sorang ada suami!

“Tak berkenan langsung dengan dia ni termasuklah ‘family’ dia yang sombong tu.

Itu antara komen atau lebih tepat lagi kecaman para netizen yang lazim kita baca dalam media sosial terutama di Facebook dan Instagram.

Meskipun komen-komen sebegini biasa kita lihat apabila netizen mengulas isu melibatkan selebriti, namun orang biasa-biasa pun (bukan selebriti) tidak terkecuali turut berhadapan situasi sama apabila media sosial hari ini menjadi ‘ruang melepas perasaan’ buat kebanyakan kita.

Tidak kiralah rasa yang dilepaskan itu bernada positif atau negatif, yang pasti kebanyakannya dilihat terlalu bebas melontar kata sehingga langsung tidak memikirkan natijah yang bakal menimpa.

Bukan sahaja lenggok bahasa yang diguna tidak sesuai dan kasar malah bertentangan dengan adab dan budaya kita selaku orang Melayu, orang Timur.

Lebih buruk, ia meninggalkan kesan mendalam buat individu terlibat.

Masih ingat isu seorang pelajar Kolej Tuanku Kurshiah Negeri Sembilan yang meraih keputusan cemerlang 9A bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa tahun lepas?

Tujuan media mahu berkongsikan kisah kejayaan si pemilik nama Natasha Qisty Mohd Ridzuan, malangnya isu beliau bersolek, gaya percakapan dan pemakaian tudungnya pula yang diperbesarkan oleh netizen.

Antara komen yang diberikan berbunyi “aku dulu pergi ambil result SPM serabai ja, tak reti mekap-mekap”, “dahsyat kau dik, ambil result siap buat kening, tudung ala hijabista bagai”, “advancenya budak-budak sekarang, mak bapak tak tegur ke?”, “Orang Melayu, cakap Melayu tapi kenapa ada slang English, macam dibuat-buat je”.

Tindakan netizen yang memberi kecaman dan kritikan bertubi-tubi membuatkan si empunya diri tidak cukup kuat lalu memilih untuk menutup akaun media sosialnya.

Kejayaan yang sepatutnya dirai dan dikongsi agar boleh menjadi pembakar semangat buat orang lain, bertukar menjadi ‘mimpi buruk’ kepada si gadis akibat kelantangan netizen bersuara.

Ada sahaja yang tidak kena di mata mereka.

Pendek kata, begini salah, begitu pun salah jadi bagaimana mahu memuaskan hati semua orang?

Sifat suka ‘kondem’ atau menjatuhkan orang lain seolah-olah sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita.

Ada saya perhatikan seorang selebriti yang mencipta kejayaan demi kejayaan pada usia muda termasuklah mengharumkan nama negara dengan beberapa pencapaian namun setiap inci pergerakannya termasuk apa yang dipakai tak sudah-sudah mendapat kecaman netizen.

Mengapa sampai begitu agaknya?

Kenapa apabila orang lain melakukan perkara yang sama tidak pula dipertikai tetapi apabila melibatkan si polan ini, ada sahaja yang tidak kena.

Benar dia berstatus selebriti, dia milik masyarakat namun dia juga manusia biasa dan bukan malaikat serba serbi sempurna.

Melihat pula kepada isu yang lebih besar sebagai contoh yang melibatkan pemimpin negara, kecaman malah komen berbaur hinaan dan fitnah yang adakalanya membuatkan saya mengucap panjang apabila membacanya.

Yang pernah saya baca, sampai ke tahap sifat fizikal seseorang itu pun dijadikan ‘bahan’ sebagai contoh pendek, gemuk malah kekurangan seperti penyakit yang dihidapi dan pelbagai lagi turut menjadi isu kepada para netizen.

Dahsyatnya kita menghina orang lain semata-mata mahu memuaskan hati dan menunjukkan kita juga punya hak untuk bersuara.

Itukah ajaran, prinsip dan budaya yang kita pegang selama ini sedangkan kita dikenali sebagai masyarakat yang penuh dengan adab sopan dan nilai budaya yang tinggi?

Benar, laman sosial itu kepunyaan individu dan masing-masing berhak untuk menyuarakan apa yang mereka rasa.

Namun begitu, mengapa kebebasan bersuara yang diberi dijadikan tiket untuk sengaja mewujudkan suasana tidak harmoni, kutuk-mengutuk, menghina, mencerca dan mengeji antara satu sama lain?

Tanpa sedar, perbuatan itu sebenarnya menunjukkan betapa rendahnya nilai adab sopan dan mentaliti masyarakat kita.

Didiklah diri menjadi lebih rasional dalam menggunakan media sosial dengan cara yang lebih berhemah.

Media sosial tiada salahnya, tetapi cara kita manusia mengendalikannya yang perlu dikaji semula.

Pada saat ramai yang menggunakannya untuk tujuan mengembangkan perniagaan, menyebarkan perkara-perkara baik agar menjadi manfaat kepada masyarakat, ramai juga yang memilih untuk memanipulasinya sebagai agen penyebar perkara negatif sekaligus menjadi barah kepada manusia lain.

Berhentilah menjadi hakim tidak bertauliah kononnya tahu dan sempurna serba serbi untuk mengadili orang lain melalui papan kekunci atau lebih tepat disebut sebagai ‘keyboard warrior’.

Tidak dinafikan, keupayaan untuk bersuara dan memberi komen itu menunjukkan kita juga semakin ke hadapan dan tidak lagi bersifat pasif membuta tuli menerima apa sahaja yang dihidangkan.

Namun, janganlah ruang kebebasan dan kelebihan itu disalah guna sehingga membelakangkan adab, budaya serta agama.

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis)