Cetus buli siber, aplikasi Sarahah dibuang

sarahah

fmt-ohsem-inside-article1

Aplikasi Sarahah membolehkan sesiapa sahaja “memuji” atau “menyerang” pengguna aplikasi tanpa identiti didedahkan.

Ia menjadi platform mudah bagi mana-mana pihak menyampaikan apa sahaja mesej terkubur dalam hati, lebih teruk jika mesej itu berbaur buli, mengecam, menghina atau menyerang.

Bagaimanapun, aplikasi tersebut sudah dibuang daripada Apple dan Google Store, lapor BBC.

Menurut laporan itu, aplikasi yang dibangunkan oleh pakar perisian dari Arab Saudi, Zain Al-Abidin Tawfiq, ditarik balik selepas didakwa mempromosi buli siber.

Ia juga ekoran permohonan petisyen oleh seorang ibu warga Australia selepas anak perempuannya menerima pelbagai mesej kesat menerusi aplikasi tersebut.

mother-1
Ibu kepada mangsa buli, Katrina Collins, gembira dengan keputusan Apple dan Google Store. (Gambar Twitter)

Sarahah bermaksud jujur dalam bahasa Arab, popular dalam kalangan pengguna media sosial sekitar awal 2017 dan menjadi salah satu aplikasi popular di dunia ketika itu.

Ia membenarkan pengguna menghantar mesej tanpa mendedahkan identiti yang akhirnya digunakan untuk mengkritik.

Lebih teruk ia menjadi platform membuli dan menghantar mesej kebencian.

Akhirnya, ia menjadi “ruang kebencian” oleh pengkritik sehingga memaksa netizen melancarkan petisyen membuang terus aplikasi itu daripada digunakan awam.

Wanita yang memulakan petisyen itu dalam Change.org, Katrina Collins, akui anaknya berusia 13 tahun itu menjadi mangsa buli siber.

“Saya patah hati, takut dan seperti jatuh sakit membaca mesej diterima anak perempuan saya berusia 13 tahun itu. Ia termasuk, ‘Harap dia bunuh dirinya, serius tiada siapa yang akan peduli’,” petik mesej itu.

“Tiada ibu bapa sanggup melalui penderaan siber dialami anak mereka dan saya tak dapat bayangkan kehilangan anak saya, untuknya membunuh diri. Ini sebabnya kita perlu melindungi mereka,” tambah ibu itu lagi.

Petisyen itu menerima lebih 470,000 tanda tangan dengan gesaan supaya Apple dan Google serta-merta membuang aplikasi itu dari stor maya mereka.

screenshot
Antara tangkap layar menunjukkan mesej berunsur kecaman. (Gambar Twitter)

 

Menurut Newsweek, pengguna baru tidak lagi dibenarkan memuat turun aplikasi ini kerana tidak dipaparkan dalam carian Google Play atau Apple Store.

Namun, pengguna yang sudah memasang aplikasi Sarahah masih boleh menggunakannya.

Collins menerima keputusan itu sebagai satu kejayaan teknologi digital menentang buli siber.

Manakala Tawfiq pula menggambarkan situasi berkenaan sebagai malang dan berkata, “sangat optimistik akan mencapai pemahaman yang adil dalam masa terdekat.”

Jelas Tawfiq, pihaknya sedang mengemas kini aplikasi itu dengan sistem penapisan di mana mesej berunsur kecaman akan dihapuskan daripada mencapai pengguna.

Mari kita lihat sejauh mana Sarahah mampu bertahan dan setakat mana kemas kini tersebut membantu.