Aktiviti cuti sekolah bagi ibu bapa bekerja

Kanak-kanak akan berasa teruja apabila melakukan aktiviti seni di rumah bersama keluarga secara bertema. (Gambar hiasan)

Cuti sekolah sudah bermula! Walaupun hanya seminggu, tetapi ia dinanti-nantikan kebanyakan pelajar yang berharap ia diisi dengan aktiviti yang berbaloi.

Namun, jika ibu dan bapa yang bekerja tidak mendapat cuti kecuali hujung minggu, maka pasti ia menghampakan, bukan sahaja anak, tetapi ibu bapa itu sendiri.

Jangan risau, bagi ibu bapa yang terikat dengan komitmen kerja harian 8 pagi hingga 6 petang, anda masih boleh meluangkan masa berkualiti dengan anak anda.

Anda hanya perlu korbankan sedikit waktu rehat selepas kerja dan paling penting, elak membawa pulang tugas pejabat ke rumah.

Anda boleh longgarkan sedikit masa tidur anak atau membenarkan mereka membuat aktiviti selepas lewat petang. Jika letih pun, mereka masih boleh berehat pada pagi esoknya.

Baik, mari kita lihat 10 pilihan aktiviti cuti sekolah yang boleh dipertimbangkan oleh ibu bapa bekerja.

1. Tonton filem di pawagam

Apa kata bawa anak anda menonton filem selepas waktu kerja. Rangsang ghairah mereka dengan sedikit input mengenai filem yang bakal ditonton. Kalau mahu ditambah elemen keseronokan, anda boleh berpakaian mengikut tema filem sesama ahli keluarga. Atau pakai sahaja “pyjama”, itu pun kalau anak sekeluarga berani melakukan kelainan di tempat awam!

2. Teroka bandar dengan pengangkutan awam

Meneroka kota dengan pengakutan awam tentu mengujakan bagi anak-anak yang terbiasa dengan rutin turun naik kenderaan ibu bapa atau bas sekolah.
Lebih seronok, lakukannya selepas lewat petang atau malam dengan kerlipan bintang dan lampu berwarna-warni mengiringi penerokaan anda sekeluarga.
Pilihlah antara bas, keretapi, LRT, atau komuter, atau pilih kesemuanya bersilih ganti ke pelbagai destinasi! Ooops, pastikan anda balik tepat pada masanya supaya tidak terkandas!

3. Berkhemah di laman atau ruang tamu rumah

Kerja atau tidak mendapat cuti bukan alasan ibu bapa tidak meluangkan waktu berkualiti bersama anak pada musim cuti sekolah. (Gambar hiasan)

Mudah, sediakan khemah, dapur induksi (jika ada), buku dan bantal. Anda sekeluarga boleh makan dan memasak di luar rumah, membaca buku cerita atau sekadar “mengira bintang” di awan sambil melakukan aktiviti santai.
Kalau di dalam rumah (bagi yang tinggal di apartmen) sediakan aktiviti yang mengujakan seperti hidangan makanan unik, aktiviti seni, waktu bercerita dan sebagainya.

4. Pergi ke pusat beli-belah

Pelbagai aktiviti diadakan di pusat beli-belah sepanjang cuti sekolah. Pastikan anda memeriksa jadual terlebih dahulu supaya tidak terlalu lambat atau terlepas peluang yang ada.
Lazimnya, pusat membeli-belah akan menyusun taman mainan indoor di tengah-tengah lobi serta beberapa aktiviti lain seperti seni lukis wajah, kertas seni pasir berwarna, melukis dan mewarna dan banyak lagi.

5. Memasak

Aktiviti seperti memasak atau membuat kek menggalakkan kanak-kanak belajar kemahiran baharu. (Gambar hiasan)

Banyak bezanya antara memasak untuk anak dan memasak bersama mereka pada musim cuti sekolah. Ibu bapa perlu lebih kreatif supaya aktiviti memasak menjadi momen menyeronokkan. Lakukannya secara profesional dan terancang. Sediakan menu lebih awal, khususnya menu mudah pilihan anak anda. Jika mereka cukup matang, biar mereka yang memasak dan anda jadi pemerhati sahaja. Kalau cukup yakin, ajak rakan-rakan anak anda untuk terlibat sama.

6. Projek kraf tangan

Masih ingatkah zaman kita sendiri membuat layang-layang? Apa kata suntik pengetahuan tersebut kenapa anak anda. Kalau layang-layang tidak sesuai dengan cuaca semasa, anda mungkin membuat topi (graduasi, tiara, topi chef) atau patung permainan menggunakan bahan semula jadi atau daun dan bunga dan sebagainya.

7. Buku skrap

Idea yang baik khususnya bagi kanak-kanak muda. Ajar mereka buat buku skrap secara bertema. Lebih seronok jika ia adalah mengenai diri dan keluarga mereka sendiri.
Sepanjang hari anda di tempat kerja, mereka boleh mencari bahan dan selepas anda pulang, pimpin mereka untuk membuat buku skrap bersama. Mereka mungkin akan lebih tahu mengenai salah-silah keluarga anda selepas cuti ini!

8. Mengecat dan mengemas bilik

Ia pastinya menyeronokan khususnya bagi kanak-kanak yang suka menconteng dinding! Beri satu bahagian dinding untuk ekspresi seni mereka.
Biar mereka gunakan imaginasi dan kreativiti untuk mengecat dan melukis. Belikan perhiasan untuk ditampal atau digantung. Ingat, beli cat atau warna yang murah kerana anak anda sendiri mungkin bosan atau mahu mencuba lagi aktiviti itu pada masa hadapan.

9. Lawat pusat penjagaan kanak-kanak atau orang tua

Pilihan aktiviti yang memupuk moral. Rancang satu hari untuk tujuan ini. Buat temu janji lebih awal dengan pihak berkenaan dan bawalah anak anda ke pusat jagaan kanak-kanak atau orang tua berdekatan.
Elak pergi dengan tangan kosong. Bawa bersama hadiah, makanan atau buah tangan lain. Jadilah contoh yang baik di hadapan anak anda. Mereka akan belajar banyak nilai murni melalui pengalaman mereka di sana.

10. Majlis malam kanak-kanak

Ajak rakan anak anda dan buat majlis itu di rumah. Anda boleh merancang bersama ibu bapa yang lain. Majlis tidak semestinya dilakukan di dalam rumah. Laman rumah, taman permainan berdekatan, kolam renang atau sebagainya adalah pilihan yang sesuai.
Oleh sebab ia dibuat pada waktu malam, pastikan keselamatan semua terkawal. Rancang aktiviti fizikal seperti permainan, tarian, sukan kecerdasan dan lain-lain. Ibu bapa juga boleh saling berkenalan.

Selamat mencuba!