Bapa dukung anak 2 tahun terjun ‘rope swing’

Gambar Instagram.

Betapa berani sekalipun kita sama ada sanggup melibatkan anak dalam aksi lasak atau membahayakan, namun sesetengah orang akan mengatakan mungkin tidak!

Tetapi bagi seorang bapa ini, beliau bukan sahaja berani buat aksi lasak malah mengendong anaknya yang baru berusia lebih kurang 2 tahun untuk turut sama melakukan terjunan “rope swing” atau tali hayun dari sebuah jambatan di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.

Menurut laporan sebuah portal, bapa tersebut, bekas pemenang bintang realiti, Fear Factor Malaysia, Mohd Redha Rozlan atau Mat Redho membuat terjunan tali hayun sambil mendukung anaknya.

Dua video dimuatnaik di Instagram milik Mat Redho dan anak perempuan sulungnya, Mecca Mikaela ketika terjun dari ketinggian 60 meter.

Walaupun mendapat reaksi positif daripada netizen yang teruja dengan aksi bapa-anak, ramai juga yang mempersoal faktor keselamatan selain kesihatan anak tersebut selepas melakukan aksi yang dianggap tidak sesuai dengan usianya.

Menurut Mat Redho, pada kapsyen yang dimuatnaik, anaknya yang meminta untuk turut serta melakukan aktiviti tali hayun itu.

“Mecca sangat ‘enjoy’ dengan terjunan pertama dan mahu lakukan sekali lagi tapi bapanya (Mat Redho) yang cuak.

“Mecca memakai safety harness (abah-abah keselamatan) yang lengkap. Restas Adventures adalah penganjur tali hayun yang bertauliah,” ujarnya.

“Chill guys
1. Mecca yang request untuk buat ropeswing. Tiada adegan paksa memaksa Untuk ini
2. Mecca sangat enjoy dengan fisrt jump dan request for the second jump. Tapi bapaknya yang cuak
3. Mecca wearing complete safety harness and gear
4. @rentas_adventures adalah certified ropeswing organiser.
5. Dont try with your kids if your kids not ready for this.
6. Watch enjoy , chill guys and please pergi try sendiri at least once.”

Sementara itu, seorang lagi bapa dikatakan turut sama melakukan aktiviti tersebut bersama anak lelakinya pada hari sama.

Pengasas Restas Adventures, Mohd Shafiq Azmi, 31, yang berpengalaman lebih 10 tahun menjadi juru pandu alam sekitar akui Mat Redho mengisi borang indemniti (lepas tanggung) sebelum melakukan aktiviti itu.

Jelasnya aktiviti itu selamat memandangkan sudah dinilai agensi berkaitan dan ahli arbor.

“Tiada had umur dalam melakukan aktiviti ini, namun kami menetapkan berat minimum adalah 40 kilogram (kg) dan maksimum pula 120kg untuk seorang individu atau dengan pasangan,” katanya seperti yang dipetik oleh mStar Online.

Bagaimanapun Ketua Jabatan Pembangunan Masyarakat di Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Nurulhuda Ahmad Khairuddin dalam laporan terbaharu menyatakan, operator sukan lasak tersebut dihentikan operasi sementara waktu.

Ini kerana pihaknya perlu mendapat kebenaran agensi berkaitan yang lain selain memastikan ia selamat untuk orang awam.