Gangguan elektrik paksa doktor bedah guna lampu suluh

Satu rakaman menunjukkan prosedur bedah yang dilakukan seorang doktor di India dengan hanya menggunakan lampu suluh telefon bimbit selepas hospital mengalami gangguan elektrik.

Wanita tersebut terbaring tidak sedarkan diri, sementara seorang doktor menjahit tangan kanannya sambil disuluh oleh seorang lelaki yang berdiri bersebelahan.

Menurut laporan berita tempatan, pesakit tersebut memerlukan rawatan perubatan segera yang memaksa doktor meneruskan pembedahan dalam ketiadaan elektrik.

Selepas video tersebut viral dan diketahui pihak berkuasa, pihak hospital diminta memberi laporan terperinci berhubung kejadian itu.

Menteri Kesihatan Bihar, Mangal Pandey berkata, kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku; operasi sebuah hospital tanpa penjana yang memberi sokongan tenaga elektrik boleh menyebabkan kejadian tidak diingini yang lebih buruk.

Bagaimanapun perkara seperti ini bukanlah sesuatu yang baru atau asing, malah kerap kali berlaku ekoran terputusnya bekalan elektrik di negara itu.

Misalnya, pada April 2016, seorang doktor melakukan pembedahan di bawah cahaya lampu mudah alih di pusat kesihatan di Fatehpur, daerah Mau di Uttar Pradesh.

Orang ramai membangkitkan persoalan mengenai sumber belakan elektrik yang sentiasa mengalami gangguan, apatah lagi kes seperti ini lazim berlaku di hospital sehingga menyebabkan maut.