Urutan sejahtera lelaki MyPapaCare diperkenal

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim ketika majlis pelancaran MyPapaCare. (Gambar Facebook)

Ekoran kejayaan program penjagaan kesihatan wanita MamaCare sehingga dikenali di peringkat antarabangsa, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini memperkenalkan program urutan kesejahteraan lelaki atau MyPapaCare.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata selain membantu meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan golongan lelaki, MyPapaCare juga bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pengesanan awal kanser testis dan prostat dalam kalangan lelaki Malaysia.

Sebagai permulaan, katanya seramai 30 pengamal MyPapaCare dipilih oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Wilayah Persekutuan sebagai perintis program tersebut dan khidmat mereka setakat ini boleh diperoleh di Klinik Nur Sejahtera di aras 4 KPWKM.

Bercakap kepada pemberita pada majlis prapelancaran MyPapaCare di KPWKM, Rohani berkata kos khidmat urutan MyPapaCare ialah RM1 bagi satu minit iaitu sama dengan kos urutan MamaCare.

Beliau berkata KPWKM merancang melatih 100 pengamal MyPapaCare dalam tempoh setahun bagi membolehkan 10,000 lelaki memanfaatkan khidmat MyPapaCare itu.

“Kesemua pelatih MyPapaCare yang menamatkan kursus dan latihan akan diberikan sijil yang melayakkan mereka memohon pekerjaan di hospital atau di mana-mana sahaja,” katanya lagi.
Mereka yang layak untuk mengikuti kursus sebagai tukang urut MyPapaCare adalah warganegara Malaysia yang berumur antara 24 dan 60 tahun, dengan pengalaman mengurut selama 3 tahun dan mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia aras 3 serta daripada kumpulan mereka yang berpendapatan rendah atau B40, katanya.

Rohani berkata khidmat MyPapaCare akan diperluaskan di seluruh negara melalui 50 Klinik Nur Sejahtera LPPKN sedia ada.