Bomba bukan sekadar padam api sahaja

Bomba melakukan kerja pemadaman api, menyelamatkan mangsa yang terperangkap dan memberi bantuan perubatan kecemasan kepada mangsa kebakaran. (Gambar Facebook)

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bukan sahaja berperanan memadam api atau mengawal kebakaran tetapi juga cuba mengenal pasti punca kebakaran.

Untuk tujuan ini, JBPM mempunyai pasukan khas forensik yang turut mempunyai latar belakang sains serta bidang elektrikal dan mekanikal.

Forensik kebakaran melibatkan siasatan kebakaran yang dilakukan secara saintifik. Ia bagi menentukan punca, tempat bermula dan hal keadaan kebakaran serta pemeriksaan kejadian setelah api kebakaran berjaya dipadamkan.

“Peningkatan ilmu sains dan teknologi serta pengetahuan berhubung tindak balas dan tingkah laku api membolehkan seseorang pegawai penyiasat berasa lebih yakin dalam menentukan tempat bermula dan punca kebakaran.

“Kajian saintifik diterapkan dalam siasatan, agar setiap kejadian yang berlaku mempunyai alasan dan sebab yang kukuh ianya berlaku. Malah, ia akan memudahkan pasukan penyiasatan kebakaran membawa bukti bagi hal pendakwaan di mahkamah nanti.

“Kebakaran yang terjadi tidak boleh diagak begitu sahaja dan perlu siasatan rapi, “ kata Ashari Johari, Penguasa Kanan Bomba 1, Bahagian Penyiasatan Kebakaran, JBPM KL dalam wawancara dengan Bernama.

JBPM KL buat masa ini mempunyai 13 pegawai termasuk 2 pegawai dari Jabatan Kimia Malaysia (Kimia Malaysia) yang bertugas di Bahagian Penyiasatan Kebakaran.

Sembilan daripada 13 pegawai itu adalah pegawai penyiasatan kebakaran yang dibahagikan kepada 2 pasukan penyiasatan iaitu pasukan A dan pasukan B.

Bahagian forensik bomba menyiasat kebakaran bagi menentukan punca, tempat bermula dan hal keadaan kebakaran serta pemeriksaan kejadian setelah api kebakaran berjaya dipadamkan.(Gambar Facebook)

Tugas penyiasat kebakaran

Pegawai Penyiasat Kebakaran JBPM menjalankan skop kerja di bawah Bahagian Penyiasatan Kebakaran. Beliau akan bertindak menyiasat sebab, punca dan hal keadaan kebakaran mengikut Seksyen 5(1) dan (2) Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

Menurut Ashari, setiap pegawai penyiasat kebakaran perlu mengetahui kaedah asas yang digunakan dalam penyiasatan kebakaran dengan mengikuti kaedah standard, mengeluarkan hipotesis, membuat perancangan sebelum memulakan penyiasatan bagi meningkatkan keberkesanan dan peluang keseluruhan penyiasatan.

“Seterusnya, penyiasat kebakaran perlu memastikan segala bahan bukti diambil dan dilindungi bagi menjalankan analisis selanjutnya di makmal sains forensik.

“Hipotesis perlu dibuat dan diuji untuk menjelaskan punca, urutan nyalaan, kemerebakan api, penyebab kebakaran atau penyebab kerosakan atau kematian, atau tanggungjawab terhadap insiden berkenaan. Akhir sekali, kesimpulan sesuatu kes mestilah dibuat sebagai hipotesis yang terakhir untuk diterima,” katanya.

Beliau berkata, pasukan berkenaan diberi tempoh sehingga 14 hari bagi menyiapkan laporan kebakaran yang lengkap sebelum menghantar laporan berkenaan untuk tindakan seterusnya.

Makmal sains forensik

Pada 2004, makmal sains forensik dibina di 9 buah negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Setiap makmal mempunyai 8 instrumen utama untuk menganalisis bahan polimer, bahan organik dan bahan bukan organik.

“Pegawai sains forensik diperlukan untuk kajian serta analisis dan beliau adalah individu penting untuk menjalankan kerja analisis dan kajian. Pegawai ini datang dari Kimia Malaysia dan ditempatkan secara tetap di makmal sains forensik JBPM.

“Mereka banyak membantu kita (pegawai penyiasat) menganalisis bahan bukti. Bahan bukti memang diketahui cuma melalui proses makmal, kita akan dapatkan kepastian serta laporan yang sah dari pegawai makmal dalam menentukan hipotesis punca kebakaran untuk digunakan di mahkamah kelak. Pelaporan dokumentasi perlu disediakan dari pihak makmal,” jelasnya.

Tidak seperti pegawai penyiasatan kebakaran, Ashari berkata pegawai di makmal hanya menerima sampel yang diberikan oleh pasukan forensik dengan mendaftar nombor pendaftaran makmal dan membantu kajian dengan menentukan hipotesis oleh pegawai penyiasat dalam tempoh 7 hari.

Kerjasama bomba dan polis dalam forensik kebakaran

Pada 28 Jan lepas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JBPM menandatangani nota kerjasama siasatan kebakaran dalam satu majlis yang turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Nota kerjasama itu ditandatangani Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim di Maktab PDRM. Melalui kerjasama itu, semua siasatan kes kebakaran yang dilaksana PDRM akan diserahkan kepada JBPM.

Kerjasama itu membuktikan keupayaan JBPM melalui pasukan forensik kebakarannya, yang mempunyai tenaga pakar dalam pelbagai bidang sains.

Antara keberkesanan siasatan pasukan forensik bomba ialah menyelesaikan kes kebakaran besar dalam tempoh yang singkat seperti kes kebakaran tingkat 2 Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada 25 Okt, 2016 dan kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, pada 14 Sept, 2017.

Anjing pengesan unit K9 bantu siasatan

Selain siasatan oleh pasukan penyiasatan kebakaran, JBPM turut menggunakan khidmat anjing pengesan iaitu unit K9.

JBPM membeli anjing daripada baka “English Springer Spaniel” (ESS) yang dilatih di Sekolah Latihan Anjing, Vikkas K9, di United Kingdom.

Anjing-anjing ini kemudiannya diberi latihan kemahiran yang dibuat secara berterusan oleh pegawai terlatih di Unit Anjing Pengesan K9 sepanjang perkhidmatan.

Menurut Ashari, Unit K9 mempunyai 4 tugas utama iaitu pertama, membantu pasukan penyiasatan kebakaran dalam mengesan punca kebakaran yang melibatkan kes pembakaran dengan sengaja atau punca kebakaran yang sukar dikenalpasti.

Tugas kedua ialah melibatkan operasi mencari dan menyelamat mangsa dalam kejadian seperti tanah runtuh dan operasi mencari serta menyelamat individu yang hilang di hutan, gua dan kawasan tinggi.

“Selain itu, tugas Unit K9 merangkumi ‘Cadaver’ iaitu operasi mencari mangsa yang mati dalam air atau di darat.

“Unit K9 digunakan bagi mengukuhkan lagi bahan bukti dalam kes kebakaran. Melalui anjing-anjing ini, mereka akan buat pemeriksaan dalam satu-satu premis atau kenderaan. Ini dapat mengukuhkan pengumpulan bahan bukti itu jika terdapat sesuatu dicurigai oleh anjing-anjing ini.

“Selepas mengenal pasti punca, Unit K9 akan mengeluarkan laporan beserta gambar untuk diserahkan kepada bahagian penyiasatan kebakaran untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pakar luar negara latih pegawai tempatan

Untuk memantapkan lagi pegawai penyiasat dengan ilmu baru, JBPM sentiasa menjemput tenaga pengajar bukan sahaja dalam kalangan pegawai bomba, malah turut mengundang pakar terutama dalam bidang sains forensik.

“Sejak tertubuhnya pasukan penyiasat ini pada 2002, JBPM pernah menghantar pegawai kita ke luar negara untuk menimba ilmu. Namun apabila dihantar ke sana, ilmu yang digarap mungkin untuk seorang 2 pegawai sahaja.

“Dengan kos yang sama kita boleh mengambil pakar dari luar negara untuk datang ke Malaysia bagi melatih dan mengajar sehingga 30 pegawai serentak.

“Dengan ini, pasukan penyiasatan kebakaran dapat menambah ilmu selain mempertajamkan lagi kemahiran siasatan di samping mempelajari teknologi baru bagi membantu kerja-kerja siasatan nanti,” kata Ashari.