Muzium di Malaysia seperti tiada ‘roh’

Muzium antara institusi penting yang banyak menyimpan rekod sejarah dan perkembangan tamadun sesebuah negara. (Gambar Facebook)

Muzium sememangnya dianggap penyimpan dan “penjaga” khazanah budaya bangsa. Musnahnya muzium, musnahlah segala bukti sejarah, budaya dan ketamadunan bangsa.

Kerana itu, dalam banyak peperangan di dunia seperti yang berlaku di Iraq dan Yemen, kita melihat muzium dan tapak bersejarah menjadi sasaran untuk dimusnahkan.

Ini jelas menunjukkan betapa pentingnya peranan muzium yang bukan sekadar menyimpan bahan pameran, artifak lama dan gambar tetapi sebagai wadah mendidik bangsa.

Sayangnya di Malaysia, kesedaran pentingnya muzium masih rendah. Selain hanya dipandang sebelah mata, muzium dilihat seperti tiada “roh” dalam mengisi pemahaman mengenai sejarah, kebudayaan, jati diri serta semangat cintakan negara. Senario ini boleh memberi kesan negatif dalam pembangunan tamadun bangsa dan negara.

Keadaan itu diharap berubah setelah usaha mendekatkan pelajar dengan muzium melalui mata pelajaran Sejarah dilaksanakan tahun ini dengan pelancaran program 1Pelajar 1Muzium (1P1M).

Sesi lawatan dan pembelajaran di muzium yang diwajibkan kepada semua pelajar dari peringkat sekolah rendah hingga ke tingkatan 5 sewajarnya memberi impak besar dalam pembelajaran sejarah dan kepada institusi muzium itu sendiri.

Tidak minat terhadap subjek Sejarah tidak boleh dijadikan alasan terutama setelah mata pelajaran itu diletakkan sebagai wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak 5 tahun lepas.

1P1M adalah antara usaha untuk memperkasa mata pelajaran berkenaan dengan melibatkan muzium sebagai sokongan kepada sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Program itu dirangka bersama oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada Mac 2015 selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Program berkenaan bertujuan menggalakkan pelajar tahap 2 sekolah rendah (tahun 3-6) hingga tingkatan 5 sekolah menengah untuk melawat muzium sekurang-kurangnya sebuah muzium dalam tempoh satu tahap persekolahan.

“Ini bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada pelajar untuk berinteraksi dengan bahan sejarah melalui koleksi atau artifak tetapi juga membudayakan muzium kepada masyarakat terutama generasi Y hari ini,” kata Timbalan Ketua Pengarah Permuziuman JMM, Mohd Azmi Mohd Yusof.

Kerjasama pintar antara JMM dan KPM boleh menimbulkan keseronokan dalam pembelajaran Sejarah dan tidak lagi melihat Sejarah sebagai satu mata pelajaran yang statik, kaku dan membosankan.

“Muzium yang berperanan separa pendidikan boleh digunakan untuk menjelaskan topik-topik dalam mata pelajaran Sejarah yang dipelajari di sekolah. Pelajar akan lebih mudah memahaminya apabila mereka berpengalaman berinteraksi dengan melihat artifak serta bahan di muzium,” katanya semasa ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Projek perintis 1P1M diadakan sebelum ini untuk melihat perjalanan program bagi penambahbaikan sebelum pelaksanaannya yang dijangka tahun ini.

Dari projek perintis itu, analisis yang dilakukan mendapati pelajar lebih mudah dan cepat memahami topik-topik sejarah selepas menjalani sesi pembelajaran di muzium,” katanya.

Menjelaskan kaedah pembelajaran di muzium, Mohd Azmi berkata, barang-barang maujud (yang boleh dilihat dan dipegang) akan digunakan. Mengambil contoh topik zaman prasejarah iaitu zaman batu, pelajar dibawa melihat peralatan-peralatan yang digunakan pada zaman itu, bentuk-bentuk tulisan masyarakat prasejarah dan berpeluang melakukan aktiviti prasejarah dengan menggunakan peralatan-peralatan yang disediakan pihak muzium.

Apabila melihat dan merasakan sendiri apa yang dikatakan zaman prasejarah seperti mana yang dibaca di dalam buku, mereka akan lebih memahami melalui pengalaman yang ditimba di muzium.

“Kita harus faham, sejarah adalah pengalaman. Sejarah boleh jadi sangat membosankan kerana ia adalah perkara yang berlaku dan mereka pula tidak melalui zaman itu. Sekiranya diberi peluang untuk merasakan secebis pengalaman itu dengan melihat bukti-bukti jelas daripada sejarah, maka sejarah tidak lagi dilihat kaku sebaliknya hidup dalam jiwa mereka,” katanya sambil menambah 1P1M memberi pendedahan baharu sebagai nilai tambah dalam pembelajaran sejarah.

Sebanyak 42 buah muzium akan terlibat dalam program ini termasuk muzium JMM, muzium negeri dan muzium institusi di seluruh Malaysia.

Kakitangan muzium dipersiap untuk menerima kedatangan pelajar dan guru terutama dari segi penyediaan alat sokongan untuk kemudahan sesi pembelajaran.

Beberapa bengkel melibatkan guru sejarah dan muzium diadakan dengan matlamat memberi kefahaman kepada generasi baharu bawah transformasi negara TN50, betapa pentingnya sejarah yang menjadi khazanah negara dengan melawat muzium.

“Kita mahukan pelajar memahami sejarah negara ini agar generasi akan datang dapat belajar daripada sejarah dan tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.

“Melalui bengkel-bengkel itu kita berdiskusi dengan guru mengenai kaedah terbaik yang boleh diterapkan kepada pelajar agar mereka sedar sejarah bukan untuk dihafal sebaliknya memahami peristiwa sebenar,” tambah Mohd Azmi.

Fungsi muzium dalam menyampaikan maklumat dan memberikan pendidikan mengenai budaya dan sejarah akan dipertingkat bagi memenuhi keperluan pelajar akan datang sepanjang tahun melalui program ini.

Pada tahun lepas, kira-kira 3.1 juta pelawat mengunjungi 22 buah muzium bawah JMM, berbanding 3 juta pada tahun 2016.

Mohd Azmi berkata, matlamat program amat jelas. Selain memupuk minat dan memberi kefahaman mengenai sejarah, ia bertujuan membentuk dan melahirkan warganegara yang mempunyai kekuatan jati diri dan semangat cintakan negara yang tinggi.

“Kita juga mahu menjadikan institusi muzium sebagai rujukan utama dalam bidang pendidikan dengan memantapkan peranannya sebagai penyebar maklumat dan pendidikan tidak formal kepada masyarakat.

“Kita tidak mahu orang ramai mengenali muzium sebagai tempat pameran semata-mata,” katanya lalu menambah, melalui program ini, muzium sendiri dapat mempertingkat segala kemudahan dan keperluan dari semasa ke semasa agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau mengakui, muzium di negara ini agak berbeza berbanding kebanyakan muzium di luar negara yang lebih khusus peranannya dan tidak mencampurkan urusan pentadbiran sebagai contoh jika bahagian konservasi, mereka fokus dalam bidang itu sahaja begitu juga dalam bidang penyelidikan.

“Kita di sini tidak, kita buat pentadbiran, kewangan. Jadi tidak fokus disebabkan sistem-sistem sedia ada yang sudah lama. Malahan adakalanya kerja pentadbiran mengatasi tugasan profesional yang sepatutnya dilakukan,” katanya, yang melihat peranan muzium juga semakin terhakis disebabkan sistem yang diamalkan.

Satu ketika dahulu terutama sekitar tahun 90-an, muzium menjadi satu entiti yang dinamik terutama menerusi peranannya sebagai peneraju bidang arkeologi di Malaysia. Apabila tugas itu diberikan kepada jabatan lain, peranan muzium dilihat hanya tertumpu kepada bidang pameran sahaja.

“Kerjasama baharu dengan KPM melalui program 1P1M diharap dapat menghidupkan kembali peranan penting muzium kepada masyarakat dan negara,” katanya.