Ibu kongsi kesan regangan lepas bersalin dikecam hodoh

Gambar kesan regangan pada perut Doreen yang dikongsi di laman sosialnya. (Gambar Facebook)

Niat seorang ibu 4 anak berkongsi gambar kesan regangan selepas melahirkan anak di laman sosial bukan sahaja menjadi viral malah dikecam sebagai sangat hodoh dan teruk.

Perbuatan yang dikenali ‘body shaming’ atau memalukan seseorang kerana fizikal yang buruk menguatkan lagi ibu itu menerima kekurangan diri seadanya.

Doreen Ching, 23, dari Johor berkata dia menerima keadaan fizikalnya yang tidak sama seperti sebelum dia melahirkan anak dalam status gambar tersebut.

Foto dengan kesan regangan yang agak banyak pada perut Ching dikongsi lebih 12,000 kali dengan 23,000 “likes”.

Doreen mengakui menerima kesan regangan itu seadanya dan yakin dengan kesempurnaannya. (Gambar Facebook)

Walaupun ramai yang memuji tindakan berani wanita muda yang secara jujur berkongsi gambar perutnya selepas melahirkan anak, ramai yang meninggalkan pesanan yang berunsur kecaman termasuk mengatakan ia “kesilapan sendiri kerana mahukan ramai anak”.

“Saya hanya 21 tahun ketika itu, terfikir bagaimana saya akan terima perut yang kelihatan seperti ini untuk selamanya sepanjang hidup.

“Perkara pertama saya lakukan selepas meninggalkan bilik bersalin adalah melihat pada perut dan menangis,” tulisnya.

Dia juga berkata tiada wang ringgit mahupun pembedahan yang mampu membetulkan keadaan di samping menanda (tag) nama suamiya, Toh Yang Ming dengan menulis: “Kembalikan perut lama saya.”

Doreen bersama suami dan 4 anaknya. (Gambar Facebook)

Perkongsian dalam bahasa Mandarin itu menerima sambutan menggalakkan daripada netizen di Malaysia, Singapura dan Taiwan yang menyifatkan Doreen seorang wanita yang berani dan menawan kerana berkongsi gambar tersebut.

“Ramai juga yang berkata saya kelihatan hodoh dan meluat sehingga mahu muntah.”

“Ada lelaki di sana menyatakan ia adalah salah saya yang mahukan ramai anak.

“Tolong hormati wanita di dunia ini, ibu anda, isteri anda yang menguruskan kehamilan dalam masa sama bekerja untuk mengurangkan beban anda,” tulisnya.

“Saya tidak kisah pasal perut saya, saya masih boleh memakai bikini di dalam rumah. Saya boleh menjadi sesempurna yang saya mampu,” tambahnya.

Wanita ini bagaimanapun tidak mendedahkan jika keempat-empat anaknya itu lahir kembar 4, 2 atau secara berasingan.

Ramai mengakui fizikal badannya yang terlalu kecil, kemungkinan mengandungkan lebih seorang anak menyebabkan kesan regangan yang sebegitu serius namun boleh hilang atau menjadi beransur baik.