Motosikal Bone X buatan tempatan bakal berentap di Jerman

Elemen warisan negara yang diterapkan dalam pembuatan Bone X menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. (Facebook)

Suasana Dataran Merdeka pada petang Ahad itu agak bingit dengan bunyi deruman enjin motosikal peserta serta pengunjung Wilayah International Motofest 2018 (WIM 2018) .

Pameran yang berlangsung dari 23 Feb hingga 25 Feb itu pastinya menjadi tumpuan peminat motosikal terutamanya kalangan anak muda.

Terdapat sekitar 200 reruai yang mempamerkan pelbagai jenis motosikal termasuk yang berkuasa tinggi dan tersohor seperti Harley-Davidson.

Penulis perhatikan ada yang datang ke Dataran Merdeka ini begitu bergaya dengan motosikal berkuasa tinggi masing-masing. Tidak kurang hebatnya juga sekumpulan anak muda berskuter dan menunggang kapcai turut memeriahkan suasana.

Antara banyak-banyak reruai, penglihatan penulis tertumpu kepada sebuah yang terletak berdekatan dengan lokasi jam besar Bangunan Sultan Abdul Samad. Semakin ramai pengunjung menghampiri reruai itu membuatkan penulis mempercepatkan langkah untuk melihat sendiri keunikan motosikal yang dipamerkan.

Semestinya motosikal yang dipamerkan itu belum ada di jalan raya di negara ini justeru pengunjung tidak melepaskan peluang untuk cuba menunggang motosikal berkenaan serta mengambil gambar kerana ia sangat berbeza dengan motosikal yang lain.

“Nama motosikal ini Bone X. Ia buatan khas yang saya cipta sendiri dan bakal dipertandingkan di AMD World Championship of Custom Bike Building tahun ini,” kata Omar @ Maharani Jumiran, 48, kepada Bernama.

Wakil Malaysia ke Jerman

AMD World Championship of Custom Bike Building 2018 yang dijadual berlangsung di Koelnmesse, Cologne, Jerman dari 3-7 Okt ini adalah kejohanan paling berprestij yang amat dinanti-nantikan kalangan pembina motosikal khas dunia termasuklah Omar.

Apa yang menarik ialah beliau yang berkecimpung dalam bidang ini sebagai pembina motosikal khas lebih 9 tahun menerusi jenama Eastern Bobber akan menjadi wakil Malaysia yang pertama menyertai kejohanan berkenaan.

Dengan mempertaruhkan ciptaan terbarunya, Bone X, pemilihan Omar dilakukan akhir tahun lepas menerusi satu pertandingan anjuran Motonation di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selepas berjaya menewaskan 7 pembina lain yang tidak kurang hebatnya.

“Kalau dalam bola sepak, kejohanan ini boleh diibaratkan seperti piala dunia. Ia memang menjadi idaman saya sejak tahun 1995 sebaik terlibat dengan minat mencipta motor dan menjalankan perniagaan mengubah suai serta membina motosikal khas menerusi penubuhan Eastern Bobber pada tahun 2009.

“Malah, saya pernah menjual kedai perniagaan jeriji besi dan mengubah suai motor di Kajang pada tahun 2012 semata-mata ingin membuka bengkel di Amerika Syarikat. Saya fikir impian menyertai pertandingan berprestij itu lebih mudah direalisasikan jika berada di negara berkenaan.

“Saya silap kerana hanya mampu bertahan selama 3 bulan sebelum terpaksa balik ke Malaysia disebabkan kekangan kewangan.

“Bagaimanapun, saya tidak putus asa dan meneruskan minat di sini. Tak sangka, rupanya rezeki saya untuk terpilih menyertai kejohanan itu adalah di negara sendiri,” katanya kepada Bernama.

Anyaman mengkuang untuk tempat duduk

Menjelaskan lebih lanjut mengenai Bone X, Omar berkata proses pembuatannya mengambil masa setengah tahun bermula Februari tahun lepas dan menelan belanja sebanyak RM30,000 dengan menggunakan modal sendiri.

Berkonsepkan gabungan futuristik dan klasik tahun 1950-an dan 1960-an, Bone X adalah hasil kerja tangan Omar yang terbaik berbanding sebelum ini kerana boleh dikatakan hampir 90% bahagian jentera beroda 2 ini diperbuat daripada tangan.

“Peluang ini tidak akan dipersiakan apatah lagi saya membawa nama Malaysia. Kalau ada pembina motosikal khas yang mencipta sesuatu motor dengan menggunakan ‘body’ atau rangka motor lain, saya pula bermula dari sifar.

“Rangka motor, lengan ayun, rim motor, dan banyak lagi bahagian motor saya buat sendiri. Cuma, enjin dan bahagian kecil seperti tayar dan pam brek sahaja saya guna yang ada di pasaran.

“Untuk enjin, saya mendapat bantuan daripada seorang rakan yang sudi meminjamkan enjin AJS satu silinder berkapasiti 350cc tahun 1967 kerana antara kriteria diambil kira dalam kejohanan berprestij itu adalah menggunakan enjin yang jarang ditemui,” kata anak kelahiran Klang ini.

Istimewanya, nilai kejuteraan dan kreativiti bapa kepada 4 orang anak ini sangat terserlah apabila beliau menerapkan elemen warisan negara dalam pembuatan Bone X dengan mengaplikasikan corak anyaman mengkuang pada tempat duduk dan pemegang jentera berkenaan.

Menurutnya, corak anyaman mengkuang dipilih kerana ia terkenal dengan keunikan dan kecantikannya selain sebagai lambang dan identiti motosikal Malaysia.

“Lebih 3 kali percubaan barulah berjaya dapatkan corak anyaman mengkuang pada tempat duduk dan pemegang Bone X. Proses anyaman mengkuang besi ini, saya gunakan besi jenis ‘mild steel’ kerana mudah untuk dilenturkan kepada pelbagai bentuk.

“Caranya sama seperti kita menganyam tikar mengkuang cuma untuk besi ia perlu dibentuk dahulu melalui satu proses tertentu bagi menjadikannya cantik. Kalau tidak, ia akan jadi renggang, “ katanya.

Pengalaman banyak membantu

Bagaimanapun, jangan ditanya berapa atau apakah pengukuran yang digunakan Omar dalam penciptaan Bone X mahupun lebih 150 buah motosikal binaan khas yang beliau hasilkan sebelum ini.

“Saya hanya berkelulusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tetapi pengalaman saya dalam perniagaan besi seperti membuat jeriji besi, pagar sejak tahun 1992 banyak membantu saya dalam penciptaan motosikal khas.

“Ini termasuk pengalaman bekerja dengan orang luar semasa di Amerika Syarikat dan Abu Dhabi. Malah, idea Bone X diperoleh ketika saya bekerja di sebuah bengkel mengubah suai motor di Abu Dhabi pada tahun 2015.

“Boleh dikatakan setiap kali dapat ilham, saya akan melakarkannya dalam sebuah buku tetapi tidak ada spesifik ukuran kerana semuanya sudah ada dalam minda saya,” katanya.

Selain mencipta jentera beroda 2 untuk kepuasan sendiri dan memenuhi permintaan pelanggan yang turut berminat dalam dunia pameran motosikal khas, bengkel Omar di Jalan Reko, Kajang ini juga ada menerima tempahan mengubah suai motor dan jeriji besi.

Antara konsep modifikasi popular di bengkelnya adalah motosikal berkonsepkan “cafe racers, “boardtrekker”, “bratstyle” dan “trekker”.

“Perniagaan modifikasi motor ini tidak menguntungkan sangat dan ia lebih kepada minat saya. Untuk menampung perbelanjaan keluarga, saya usahakan perniagaan jeriji besi

“Bagaimanapun, saya tidak akan menerima tempahan mengubah suai sehingga membahayakan nyawa penunggang mahupun tidak boleh digunakan di atas jalan raya,” katanya.

Mencari dana daripada rakyat Malaysia

Biarpun gembira dapat mewakili negara ke acara penuh berprestij itu, Omar masih belum lagi berpuas hati dengan Bone X terutamanya dari sudut aspek kemasan dan perincian akhir pada permukaan besi motosikal ini.

Bagaimanapun, beliau berhadapan kekurangan modal sebanyak RM40,000 untuk menjadikan rekaan itu setanding antarabangsa, mempunyai pelbagai fungsi dan memenuhi piawaian yang ditetapkan.

“Ada lagi 80% kerja perincian dan kemasan akhir pada motosikal ini perlu saya perbaiki dan saya hanya ada masa selewat-lewatnya sehingga Julai ini untuk menyiapkannya.

“Bukan mudah untuk saya sampai ke tahap ini dan disebabkan itulah saya memerlukan pertolongan rakyat Malaysia atau mana-mana pihak yang sudi menaja untuk menjadikan motosikal ini setanding kualiti antarabangsa,” katanya.

Dalam proses mendapatkan dana ini, Omar aktif menyertai pelbagai pameran motosikal bagi menarik perhatian orang ramai menderma setiap kali mereka menunggang, bergambar dengan Bone X atau mana-mana sahaja jentera beroda 2 hasil ciptaannya.

Selain Bone X, antara hasil kerja beliau yang turut mendapat perhatian ramai adalah motosikal Batman iaitu Batpod yang menelan kos belanja puluhan ribu ringgit.