Raja Ilya tolak filem Marvel

Raja Ilya berkongsi gambar di laman Instagram ketika lawatannya ke Amerika Syarikat.

Ingat lagi berita mengenai tawaran filem Marvel kepada artis tempatan Raja Ilya? Nak tahu apa keputusannya?

Dikhabarkan Raja Ilya menolak tawaran itu selepas mempertimbangkan beberapa isu termasuk terma dan syarat diatur oleh studio filem.

“Saya menerimanya dengan hati terbuka di sebalik hakikat terpaksa melepaskan peluang besar tetapi saya sedar ia tidak sesuai dengan saya. Saya tidak boleh komen lanjut dan saya harap semua orang faham,” petik katanya kepada sebuah portal tempatan.

Laporan mengaitkan Raja Ilya dan Marvel memang hangat diperkatakan sepanjang tahun lalu, sehingga ada mula mempersoal jika ia benar atau sekadar mencari publisiti.

Raja Ilya didakwa bertungkus-lumus menyediakan diri fizikal dan mental, sanggup mengambil risiko melakukan perubahan pada diri dengan melakukan pembedahan untuk dilihat setanding dengan pelakon antarabangsa.

Ia termasuk menjalani pembedahan dan menghasilkan otot tubuh.

Katanya, ada pihak yang sudi menajanya dari atas ke bawah demi penampilan dalam filem tersebut kelak.
Bukan itu sahaja, dalam laporan Oktober lalu, Raja Ilya mendedahkan sudah menerima skrip filem Marvel tetapi enggan mendedahkan sebarang butiran lanjut.

Walaupun tawaran Marvel tidak menjadi, lawatan wanita itu ke Amerika ada hikmahnya apabila usaha Raja Ilya atau nama sebenar Raja Ramilah Begum Raja Mohammad menyertai beberapa uji bakat di Los Angeles yang akhirnya berhasil.

Dia dikatakan mendapat tawaran Hollywood untuk karya terbitan lain di samping berpeluang berjumpa pengarah, penerbit serta krew filem di sana.

Raja Ilya turut dipercayai mengambil bahagian makan malam gala pasca Oscar.