Hargai bumi sambil berhibur pada Earth Hour

Earth Hour adalah kempen kesedaran yang semakin popular demi kesejahteraan bumi.

Malam esok, bermula pukul 8.30 malam hingga 9.30 malam, semua harus bersedia menyambut kegelapan.

Ia usaha menjimatkan dan mesra alam sempena sambutan Earth Hour 2018 ke-11.

Tetapi berapa banyak tenaga yang kita jimat, atau sejauh mana tindakan memadam atau menghentikan penggunaan tenaga untuk tempoh sejam ini benar-benar memberi implikasi kepada alam?

Idea yang bermula di Sydney, Australia pada 2007 dipimpini World Wide Fund for Nature (WWF) berkembang sehingga disertai lebih 7,000 bandar raya di seluruh dunia apabila penggunaan hampir kesemua tenaga dipadamkan.

Bayangkan apabila jutaan penduduk dunia memadam lampu dan penggunaan bahan elektrik lain untuk tempoh sejam, tanpa ragu, ia membawa perubahan besar kepada kesejahteraan bumi.

Menurut WWF Thailand, penggunaan elektrik di Bangkok menurun 73.34 megawatt ketika Earth Hour, menjimatkan kira-kira 41.6 tan pengeluaran karbon monoksida.

Di Christchurch, New Zealand, ia menunjukkan 13% penurunan permintaan elektrik pada waktu itu.

Di Malaysia, menutup lampu selama 60 minit adalah simbolik dalam memberi kesedaran kepada orang ramai supaya mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

Paling gah, apabila bangunan ikonik seperti Bangunan Berkembar Petronas (KLCC) dan bangunan korporat lain turut mengambil bahagian dalam Earth Hour.

Selain sekadar memadam lampu, pelbagai pihak turut menganjurkan banyak aktiviti sepanjang sambutan Earth Hour pada 24 Mac ini.

1. Hargai sampah, bahan guna semula

Badan bukan kerajaan, Zero Waste Malaysia bersama KakiRepair oleh KakiDIY menganjurkan pelbagai aktiviti di The School.
Ia berkonsep pendidikan, khasnya untuk kanak-kanak belajar mengenai kelestarian dan survival daripada bahan guna semula termasuk bahan buangan. Ia terdiri daripada pameran Zero Waste, stesen pembaikpulihan DIY, Makers Lab, pertukaran buku dan pakaian, baja dan pengkomposan, seni dan kraf kelestarian serta permainan untuk kanak-kanak dan sebagainya.

Acara: Sampah, Menyampah and Friends’ EARTH Weekend
Tarikh: 24 dan 25 Mac 2018
Masa: 8.00 malam
Lokasi: The School, Jalan Universiti, Petaling Jaya, Selangor
Bayaran: Percuma dan berbayar

2. Berhibur sambil sahut objektif Earth Day

Berhibur dalam gelap? Ya, itulah konsepnya. Sambil menikmati muzik dan terhibur, sambil menikmati makanan, Sunway Lagoon menganjurkan malam Earth Hour Blackout Fest! Membawa konsert secara ”live” dengan kehadiran penyanyi seperti The Impatient Sisters, V5 Official dan Official RazQa, acara ini dibuka untuk semua warga Malaysia dan pelancong asing berusia 13 tahun dan ke atas.

Acara: Earth Hour Blackout Fest
Tarikh: 24 Mac 2018
Masa: 7.30 malam – 11.00 malam
Lokasi: Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya.
Bayaran: RM 40 seorang (Pembelian dalam talian sahaja)

3. Wayang Kulit dan Earth Day

Mahukan kelainan dengan sentuhan tradisi pada sambutan Earth Hour? Apa kata anda sertai dan menjadi sebahagian pengalaman Wayang Kulit? Pelbagai aktiviti dirancang antaranya, pameran wayang kulit, bengkel wayang kulit dan persembahan wayang kulit. Pengunjung diberi peluang melihat sendiri cara wayang kulit dihasilkan selain membuatnya sendiri. Pendidik, pakar komedi, pemuzik dan penyajak seperti Jason Leong, Nana, Melizarani T Selva, Aiman Azri dan kumpulan muzik Sounds of Kites serta Beverly Matujal akan turut sama.

Acara: Earth Hour – Wayang Kulit
Tarikh: 24 mac 2018
Masa: 12 tengah hari – 10 malam
Lokasi: The School, Jaya One, Petaling Jaya
Bayaran: Percuma

4. Berlari dalam kegelapan

Acara berjalan pada waktu malam sempena Earth Hour diadakan pada 24 Mac 2018 ini di 3 lokasi berbeza. Walaupun tarikh penyertaan sudah ditutup, apa kata kita menjadi penonton dan memberi sokongan kepada peserta nanti.

Acara: Earth Hour 2018 Night Walk
Tarikh: 24 Mac 2018
Masa: 8.30 malam
Lokasi: 1st Avenue Mall, Pulau Pinang dan Sunway Giza Mall, Kota Damansara, Petaling Jaya dan Memorial Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka