Kanak-kanak 7 tahun jadi ‘Annabelle’ demi beg sekolah baru

Rosabelle ditemani adik lelakinya yang disolek seperti zombie.

Selepas beg sekolahnya koyak dan beg baharu agak mahal, seorang kanak-kanak berusia 7 tahun tampil dengan idea mengenakan pakaian dan solekan seperti patung Annabelle demi mengumpul duit dengan menawarkan diri untuk berswafoto.

Rosabelle Xavier Roni dari Kota Kinabalu, Sabah rela dirinya disolek seperti “hantu” Annabelle dan menawarkan khidmat swafoto dengan pengunjung di gerai sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu.

“Selepas beg sekolah yang baru dibeli awal tahun ini koyak, dia asyik minta dibelikan beg baharu.

“Tetapi saya minta dia tunggu selepas mendapati harga beg baharu idamannya agak mahal. Saya janji untuk membeli selepas bapanya mendapat gaji pada hujung bulan ini.

“Tetapi Belle ada idea yang lebih menarik,” kata ibu Rosabelle, Stacy Yong kepada FMT Ohsem.

Rosabelle menerima sambutan menggalakkan pada sesi ‘Selfie with Annabelle’.

Ekoran itu, Rosabelle dipakaikan dengan sepasang gaun putih, rambut perang yang ditocang, bibir dan pipi yang disolek dengan warna merah, alis mata dan kening mata yang “menakutkan” oleh ibunya, Stacy yang merupakan jurusolek separuh masa.

“Pertama kali kami membuatnya di Labuan untuk suka-suka. Dalam masa 3 jam dapat kumpul RM86. Kali ini di pusat beli-belah. Dia hanya duduk dan menakutkan orang yang lalu-lalang,” tambah Stacy.

Ibu itu juga berkata, Rosabelle menerima sambutan yang memberangsangkan apabila ramai yang mengambil gambar bersamanya.

Malah selepas acara itu tamat sekalipun ada insan yang menawarkan diri untuk membeli beg baharu dan meminta nombor akaun Stacy untuk memberi sumbangan.

“Saya terpaksa menolaknya dengan baik. Saya mahu menjadi contoh baik kepada anak-anak, mengajar mereka hidup dalam dunia sebenar. Ajar mereka perkara yang tidak diajar di sekolah.

“Biarlah dia tahu, dia kena berusaha untuk mendapatkan sesuatu. Lagipun kami semua pengunjung menghargai usahanya,” jelas Stacy lagi.

Pada penghujung sesi, Rosabelle bertanya jika wang yang dikutip mencukupi dan sebaik Stacy menjawab “ya”, kanak-kanak itu tidak sabar untuk mendapatkan beg baharunya.

Rosabelle akhirnya membeli beg idamannya berwarna merah jambu di pusat beli-belah yang sama dia membuat persembahan menjadi Annabelle.

“Dia mengajak bapanya untuk terus ke kedai beg dalam persalinan Annabelle untuk membelinya. Jurujual pula memberikan diskaun daripada harga asal RM159 kepada RM140,” tambah Stacy.

Rosabelle mengumpul RM370 daripada “khidmat” yang ditawarkannya itu.