Wanita boleh menari, tapi hanya depan suami, tanpa muzik

(Gambar Youtube)

Seorang pendakwah Islam di Arab Saudi kena “troll” oleh netizen selepas mengeluarkan kenyataan mengenai tindakan wanita menari.

Sheikh Abdullah Al Mane’e, yang merupakan cendekiawan Islam kesultanan Arab paling lama berkhidmat berkata, wanita dibenarkan menari tetapi hanya di hadapan suami tanpa muzik kerana muzik haram.

Ekoran itu beliau terpaksa berdepan “troll” dan dikecam netizen Arab yang menganggap ia padangan yang mendiskriminasi, ketinggalan zaman dan tidak adil, apatah lagi menggunakan nama agama.

Twitter dipenuhi status bahasa Arab mengecam kenyataan pendakwah itu, antaranya, mempersoal jika wanita masih dianggap seperti hamba dalam ajaran Islam.

“Cukup cukuplah, agama bukan hanya berkuasa ke atas wanita, kami penat dengan semua ini. Tuhan tolonglah wanita kerana mereka perlu berurusan dengan Tuhan,” tulis pengguna Twitter, @d12al3tawi.

Manakala pengguna Twitter @669kld pula berkata, “Dia (wanita) perlu menari dalam kesunyian? Mesti ada bunyi muzik. Dia akan menari berlatarkan bunyi pendingin hawa kerana muzik haram”.

Selain itu, soalan lain yang diutarakan kepada pendakwah itu termasuk:

“Adakah wanita dibenarkan berjaga bersama suami sepanjang malam atau kena tidur awal?!”

“Sila berikan fatwa keagaaman bagi soalan ini: Bukankah suami juga kena menari dengan isterinya?”

Dan pengguna Bin [email protected] pula berkata, “Wahai wanita, mari kita menari di hadapan suami kita mengikut syariat Islam.”

Bagaimanapun, kenyataan itu bukan datang dari beliau sebaliknya ia hanya jawapan kepada soalan pengacara rancangan televisyen yang bertanya jika wanita dibenarkan menari dalam Islam.