Kami bahagia, saya anggap Nurulhidayah adik, kata madu anak TPM

Papar rakam Instagram Nurul menunjukkan kemesraaan beliau dengan isteri pertama suaminya.

Baru-baru ini, Datuk Nurulhidayah yang merupakan anak sulung Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkongsi pengalaman menjadi isteri kedua di media sosial.

Wanita berusia 39 tahun itu turut memuat naik gambar dan video menunjukkan hubungan mesra beliau bersama madunya, Datin Bahazanariah Baharudin, 48.

Jika selama ini Nurul sahaja yang berkongsi gambar hidup berpoligami, kini Bahazanariah menerusi akaun tertutup turut memuat naik posting bersama Nurulhidayah.

Tindakan itu berjaya menangkis dakwaan Nurul sekadar “berlakon gembira dan saling menyayangi”.

“Sudah lama saya pendam untuk luahkan rasa hati dan berkongsi sedikit tentang perhubungan kami. Saya tidak menganggap Nurul sebagai madu, tetapi lebih kepada seorang adik yang sentiasa mencetuskan gelak dan ketawa bila kami bersama.

“Saya tak pernah ada adik perempuan dan saya anak sulung daripada 5 beradik yang semuanya lelaki. Nurul membawa dirinya sebagai adik dengan berhemah,” katanya.

Beliau berkata, hubungan bermadu adalah satu ibadah yang menyeronokkan dan sebagai isteri, mereka perlu memastikan suami dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin keluarga dengan tenang.

“Untuk orang luar di sana, jangan jadikan saya manusia yang terpaksa jadi jahat. Itu bukan saya. Itu bukan Bahazanariah binti Baharudin.

“Terpulang kepada orang untuk menganggap ini satu hubungan yang berpura-pura. Alhamdulillah kami bahagia. Semoga kami terus kuat dalam menghadapi segalanya demi suami dan anak-anak kami. Saya sayang Nurul dunia dan akhirat,” katanya yang mengakui turut menyayangi anak Nurulhidayah.

Beliau turut berkongsi catatan Instagram Nurulhidayah sebelum ini.

“Spread the love. Hug the people you care about and make sure they know that you care and appreciate them. Make it known to your friends and family that you love them.

“Love is the most powerful healing energy. Everything you do with love spreads healing. No one has any right to tell you that the way you perceive yourself is wrong. Because by doing so, they also discourage the person you aspire to be. Good night beautiful people!”

Status itu disertakan gambar Nurulhidayah dan Bahazanariah saling berpelukan.