Buka peluang niaga untuk Orang Asli

Ketika ramai golongan belia daripada masyarakat Orang Asli suku Jahai Sungai Rual di Jeli, Kelantan bergantung kepada sumber hasil hutan dan kerja kampung, seorang remaja lelaki memilih untuk meneroka bidang perniagaan.

Anak muda itu, Muhammad Samsul Harun, 20, nekad untuk berniaga burger selepas menyertai kursus keusahawanan di bawah progarm Empower Ecer anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Menurut Muhammad Samsul, kursus yang dikutinya itu membuka mindanya untuk menceburi bidang perniagaan bagi menambah pendapatan yang selama ini hanya berpaut kepada mata pencarian tradisi.

“Walupun tidak mengetahui pengurusan perniagaan sebelum ini, saya yakin dengan bantuan dan tunjuk ajar daripada pihak Empower ECER, saya boleh mencapai impian saya,” katanya kepada Bernama dalam wawancara baru-baru ini.

Beliau turut menerima bantuan kewangan untuk memulakan perniagaan berkenaan.

Muhammad Samsul adalah salah seorang daripada 100 peserta Orang Asli dari perkampungan tersebut yang menyertai kursus keusahawanan di Pusat Latihan Empower ECER di perkampungan itu.

Toreh getah pada pagi untuk kumpul modal luas niaga

Dengan bantuan modal sebanyak RM2,500, anak muda ini memulakan perniagaan menjual burger pada awal bulan Mac di perkampungan tersebut.

“Sejak memulakan perniagaan, saya mampu memperolehi pendapatan RM100 sehingga RM200 sehari dengan membuka gerai burger seawal pukul 5 petang sehingga 12 malam,” katanya.

Beliau berkata sebahagian daripada hasil jualan itu disimpan untuk dijadikan modal bagi memperluaskan perniagaan sama ada berniaga di pasar malam mahupun di tempat lain.

“Selain menjual burger, saya masih meneruskan kerja menoreh getah untuk mengumpul modal bagi memperluaskan perniagaan ini. Saya yakin dengan usaha bersungguh-sungguh serta bantuan daripada pihak kerajaan, saya akan berjaya dalam perniagaan yang saya ceburi ini,” katanya.

Ampower Ecer tingkat pendapatan Orang Asli

Menurut Tok Batin Sungai Rual, Dollah Teras, kaum Orang Asli amat memerlukan program Empower Ecer untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup.

“Pendidikan anak-anak kami masih ketinggalan begitu juga dengan tahap sosio-ekonomi. Rata-rata kami hanya bergantung kepada hasil hutan dan menoreh getah di samping melakukan kerja kampung lain.

“Oleh itu kami amat mengalu-alukan program ini yang mahu memperkasakan bidang pendidikan dan ekonomi kaum kami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan yang juga Anggota Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata program berkenaan adalah usaha kerajaan bagi mentransformasikan kehidupan kaum Orang Asli melalui bidang pendidikan dan ekonomi.

“Kita mahu program ini melahirkan lebih ramai usahawan berjaya di kalangan kaum Orang Asli seperti kaum lain yang terdapat di negara ini begitu juga taraf pendidikan mereka. Masih ramai di kalangan mereka yang ketinggalan,” katanya.

Menurut ECERDC, setakat ini, seramai 1,250 orang kaum Orang Asli di negeri ini menerima manfaat daripada Program Pembangunan Modal Insan Empower Eceryang diperkenalkan sejak 2010 yang meliputi program latihan akademik, program latihan kemahiran dan keusahawanan.