Rumah banglo sia-sia kerana sikap tamak

Rumah banglo yang luas masih dibiarkan tanpa pemilik kerana sikap tamak penduduk kampung berkenaan. (Gambar Weibo)

Apabila tersebar berita mengenai kesediaan seorang hartawan membina 258 rumah banglo untuk keselesaan penduduk kampung yang hidup dalam kesusahan, semua orang melopongkan mulut.

Tetapi selepas 5 tahun projek bernilai RM123 juta itu siap dibina, kunci rumah banglo 5 bilik tidur, 2 ruang tamu, garaj dan halaman kecil masih tak dapat diedarkan kepada mereka yang layak.

Menurut laporan akhbar tempatan di China, pengasas dan pengerusi syarikat minuman Tiandi No 1 Beverage Inc, Chen Sheng kesal dengan sikap penduduk kampung yang bukan sahaja tidak menghargai sumbangan itu tetapi bertelagah sesama mereka sehingga menyukarkan proses pemberian kunci.

Chen Sheng yang membelanjakan RM123 juta untuk projek rumah banglo itu. (Gambar Today Online)

Penduduk kampung bertelagah sehingga ada meminta 2 lot rumah.

Pada 2013, ketika bancian dilakukan, 190 keluarga mendaftar sebagai penduduk kampung berkenaan.

Walaupun terdapat tambahan 70 lagi unit banglo, ia masih tidak mencukupi kerana semakin ramai yang tampil mendakwa layak menerimanya.

“Bila saya ke kampung, semua orang membuat pelbagai tuntutan. Sekarang saya tidak mahu kembali ke sana,” katanya.

Sejak itu, Chen sudah 2 tahun tidak kembali ke kampung halamannya kerana tidak mahu berjumpa dengan penduduk yang enggan tampil dengan jalan penyelesaian sebaliknya bersikap tamak.

Banglo mewah itu dibina atas tanah disediakan pihak berkuasa tempatan di kampungnya di Guanhu, wilayah Guangdong, 5 tahun lalu.

Setiap rumah meliputi kawasan seluas 280m persegi.

Memberi nilai penempatan, anak sungai dekat kampung itu dilengkapi jambatan untuk melintasinya, disempurnakan dengan gelanggang bola keranjang dan badminton dan pentas persembahan opera tradisional.

Chen juga ada perancangan membina ladang ternakan khinzir dan kebun laici untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk bagi menjamin kerjaya mereka selain menampung kos pendidikan anak-anak.