Sistem Parol bagai peluang kedua banduan

Stigma masyarakat dan orang sekeliling boleh dikatakan masih menebal terhadap golongan yang bergelar banduan dan usaha memulihkan mereka agar dapat kembali ke pangkal jalan terletak di bahu Jabatan Penjara.

Sikap tidak peduli serta pandangan sinis yang masih dilemparkan kepada banduan akan hanya melambatkan proses membina keyakinan diri di kalangan mereka yang tersasar ini untuk kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.

Sedangkan poses pemulihan di dalam komuniti seperti Sistem Parol terbukti keberkesanannya dalam memberi peluang kedua kepada banduan untuk mengharungi cabaran hidup bersama keluarga dan masyarakat lebih awal berbanding tempoh hukuman yang perlu dijalankan.

Selepas sedekad perlaksanaan Sistem Parol di Malaysia yang pernah menjadi kebimbangan ramai sebelum dilaksanakan dahulu, ia semakin menampakkan kejayaan dalam melengkapkan program pemulihan di Jabatan Penjara.

Jumlah residivis atau kemasukan berulang tidak sampai 1% atau lebih tepat 0.48% tentunya menjadi indikator kejayaan sistem ini.

Peratusan paling rendah di dunia itu jauh lebih baik berbanding negara luar seperti Australia dan Kanada yang mencatatkan residivis sekitar 20% walaupun berpengalaman antara 50 hingga 60 tahun melaksanakan sistem yang sama.

Malah, peratusan itu juga masih rendah jika dibandingkan dengan banduan yang tidak melalui sistem parol yang mencatatkan 9% residivis.

Bermula dengan 64 banduan yang mendapat perintah parol pertama pada 28 Julai 2008 di Penjara Kluang , Johor, jumlah itu kini meningkat kepada sekitar 21,000 banduan atau Orang Diparol (ODP) yang ditempatkan di 52 daerah seluruh Malaysia.

Sistem pemulihan terbaik

Penekanan kepada Program Pembangunan Insan (PPI) yang perlu dilalui oleh setiap banduan menjadi tunggak utama bagi program pemulihan di dalam penjara.

Menurut Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar perkara itu yang membezakan Malaysia dengan penjara di luar negara.

Di bawah program itu, setiap banduan yang ingin memohon menyertai parol perlu mendapat pencapaian 75% markah dalam keseluruhan fasa pemulihan tersebut di dalam penjara.

“Kita tapis dahulu banduan yang layak memohon menjalani parol. Mereka mesti melalui proses yang ditetapkan dan mendapat markah yang tinggi dalam 4 fasa pemulihan yang ditetapkan,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Bernama di pejabatnya di Penjara Kajang sempena satu dekad perlaksanaan Sistem Parol.

Beliau berkata Jabatan Penjara pernah mencatatkan residivis yang tinggi pada awal tahun 2000 hingga 2004 dengan peratusan antara 24 hingga 30%.

Apabila PPI dilaksanakan, kadar residivis menunjukkan penurunan dan peratusan penurunan itu bertambah baik apabila sistem parol diperkenalkan.

“Sebelum ini kita gunakan pengukuran residivis dalam tempoh 2 tahun. Disebabkan peratusannya rendah, hanya 2 hingga 3%, jadi pada 2012 kita naikkan tempoh itu kepada 3 tahun.

“Ia bertujuan memastikan keberkesanan sistem yang dijalankan. Saya percaya jika kita terus menekankan program pemulihan besar kemungkinan peratus residivis boleh diturunkan lagi dan tempoh pengukuran juga boleh dipanjangkan lagi kepada 4 atau 5 tahun,” tambahnya.

Selain itu, kajian bersama universiti tempatan dijalankan bagi melihat keberkesanan Sistem Parol dan program pemulihan yang dijalankan di Jabatan Penjara.

Lima tahun selepas perlaksanaan parol, satu kajian bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dijalankan yang melibatkan 552 responden daripada ODP, pegawai parol dan masyarakat.

Kaji selidik itu mendapati indeks keberkesanan Sistem Parol adalah tinggi dengan sikap pegawai parol, sokongan masyarakat serta sikap ODP memberi kesan positif terhadap keberkesanannya.

Lebih penting lagi ODP dapat berdikari dan memperolehi kehidupan yang lebih baik selepas bebas daripada Sistem Parol, kata Zulkifli.

Kurangkan beban kerajaan

Masalah kesesakan dalam penjara adalah antara isu penting yang membawa kepada perlaksanaan Sistem Parol yang dibentang dan diluluskan di Parlimen pada 24 Disember 2007.

Bukan sekadar itu, ia juga turut membantu menjimatkan kos kerajaan apabila banduan yang menjalani parol tidak lagi tinggal di dalam penjara.

Menurut Zulkifli, perbelanjaan sehari untuk seorang banduan di penjara adalah RM35 dan apabila ODP tinggal di luar bersama keluarga atau majikan yang mengambil mereka bekerja, kerajaan tidak perlu lagi menanggung keperluan tersebut.

Lebih penting lagi hubungan yang terputus bersama keluarga, anak-anak mahupun isteri ketika di dalam penjara dapat disambung kembali apabila mereka keluar menjalani parol.

Beliau menegaskan penerimaan keluarga, majikan dan orang sekeliling akan membantu mempercepatkan pemulihan banduan untuk kembali kepada masyarakat dan membantu mengurangkan residivis.

“Sistem Parol ini memang banyak membantu membina keyakinan antara banduan dan masyarakat. Mereka masuk penjara disebabkan mengacau masyarakat dengan melakukan kesalahan.

“Apabila diletakkan banduan ini menjalani hukuman bersama masyarakat, orang ramai boleh mendengar, melihat dan menghayati perubahan yang berlaku kepada banduan tersebut dan ini akan membina keyakinan banduan itu serta masyarakat sendiri,” katanya.

Sementara itu, kolobrasi bersama pihak swasta melalui program “Corporate Smart Internship” (CSI) sejak tahun 2017 juga menambah baik Sistem Parol dengan menyediakan peluang kerjaya kepada ODP.

ODP diberi latihan kerjaya dalam 4 bidang iaitu perladangan, pembuatan, perindustrian dan perkhidmatan melalui kerjasama dengan badan berkanun, swasta dan badan bukan kerajaan.

Walaupun baharu setahun jagung ,CSI menampakkan kesan positif terutama membantu meningkatkan kemahiran ODP dalam bidang pekerjaan selain mempercepatkan proses mengintegrasikan banduan dalam masyarakat, katanya.

“OPD ini akan diberikan kemudahan penempatan, latihan secara teori dan amali serta peluang pekerjaan oleh majikan mereka. Impak perlaksanaan tentunya dapat mengurangkan kos kerajaan, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga asing dan secara tidak lansung dapat mengurangkan aliran tunai ke luar negara,” katanya.

Pada tahun 2017, seramai 576 ODP terlibat dalam CSI ini yang melibatkan 4 syarikat di 4 buah negeri.

Jumlah itu dijangka meningkat pada 2018 apabila 8 buah syarikat di 8 buah negeri bersetuju untuk turut serta dalam pengambilan ODP bagi program CSI ini.

Program CSI ini juga dikatakan lebih tersusun berbanding kaedah yang digunakan sebelum ini.

Di bawah kaedah yang dipraktikkan sebelum ini, setiap Pejabat Parol Daerah (PPD) diberi tanggungjawab mencari dan merancang peluang pekerjaan kepada ODP. Sebagai contoh, di restoran, kilang, ladang dan sebagainya yang kurang memberi jaminan kepada ODP untuk membina kehidupan baharu selepas dibebaskan.

“CSI lebih menjamin sebab ODP akan berpeluang mendapat kerja tetap, lebih berkemahiran dan mereka diberi peluang dan ruang yang sama tanpa prejudis.

“Melalui program ini juga akan dapat menjayakan perancangan Jabatan Penjara Malaysia untuk memastikan 2/3 banduan menjalani program pemulihan di luar tembok menjelang 2030,” kata Zulkifli.

Penambahbaikan sistem parol

Sedekad usianya, penambahbaikan parol akan terus dilakukan dari masa ke semasa agar terus relevan dengan perubahan zaman.

Menurut Zulkifli salah satu langkah ialah dengan merancang untuk memperluaskan sistem parol melalui perintah mahkamah yang diamalkan banyak negara seperti di Amerika Syarikat.

Mahkamah boleh memutuskan sama ada seseorang yang bersalah itu layak untuk menjalani hukuman dipenjara dan parol tanpa perlu melalui Lembaga Parol, katanya.

“Di luar negara sudah ada… dan kita ke arah itu. Mahkamah sendiri boleh memberi hukuman untuk banduan menjalani parol bergantung kepada kes iaitu kes-kes ringan sahaja.

“Ini salah satu ke arah mentransformasikan Jabatan Penjara Malaysia ke arah memperluaskan sistem hukuman dalam masyarakat dan pemulihan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau menambah apabila 2/3 banduan menjalani hukuman dalam masyarakat seperti yang disasarkan pada 2030, pembinaan penjara baru bagi menampung keperluan banduan tidak diperlukan lagi.

Ini juga akan membolehkan 2/3 kakitangan penjara bertugas di luar penjara bagi mengawal banduan yang layak menjalani hukuman pemulihan dalam masyarakat.

“Kita sasarkan hanya 1/3 banduan yang berisiko tinggi sahaja yang tinggal di dalam penjara tetapi kita harus juga melihat pandangan masyarakat sama ada mereka bersetuju atau tidak kerana yang kita mahukan keadilan masyarakat,” katanya.

Trivia

Apa itu sistem parol?

1. Sistem Parol adalah pelepasan bersyarat yang membolehkan banduan menjalani baki hukuman di luar penjara berdasarkan syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Parol.

2. Kesalahan yang boleh diparol adalah kesalahan kes kecil dengan sabitan hukuman minimum setahun.

3. Bagi kesalahan berat di dalam jadual Keempat Akta Penjara seperti banduan hukuman mati, banduan yang ditahan di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri, banduan hukuman seumur hayat, banduan kesalahan seksual, banduan di bawah kesalahan Akta Senjata Api dan banduan reman tidak layak untuk diparol.

4. Proses untuk mendapatkan parol mestilah banduan yang menjalani separuh hukuman di dalam penjara, menjalani program pemulihan di dalam penjara, permohonan mendapat sokongan keluarga dan terdapat perancangan pekerjaan selepas banduan dilepaskan secara perintah parol,

5. Permohonan akan dipertimbangkan oleh Lembaga Parol yang terdiri daripada 7 orang iaitu seorang pegawai undang-undang dari perkhidmatan kehakiman dan perundangan, seorang pegawai kanan penjara, seorang pegawai kanan polis, seorang pegawai kanan kebajikan masyarakat dan 3 orang ahli yang berpengalaman dan berpengetahuan luas dalam bidang kebajikan, psikologi dan kemasyarakatan.

6. Perintah parol akan dikeluarkan dengan 41 syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Parol dan ODP akan menjalani parol sehingga tarikh pembebasan.

7. Pegawai parol akan memantau ODP sepanjang tempoh parol agar mereka mematuhi syarat yang ditetapkan antaranya tidak dibenarkan ke luar negara selain diwajibkan mengikuti program pemulihan sepertimana yang diatur pegawai parol.